Monday, April 26, 2010

Kuasa

Ada orang hidupnya dikuasai wang. Semuanya berpaksikan duit. Buat semua, demi duit. Tak ada duit, jangan cakap banyak. Duduk situ diam-diam.

Ada orang wang yang menguasai dia. Ada duit ditangan perlu dihamburkan. Jangan simpan. Duit ada untuk dihamburkan. Shopping sakan. Mesti happy kan diri sendiri maaaa!

Ada orang pula tak sempat nak kuasai duit atau biar duit menguasai dia.

Baru masuk duit aje....

turrrtttttt

"Usu, ada duit tak?"

Kenapa???? Oh why? why? why?

Dan hari tu sekali lagi Ratu England senyum sinis kat aku. Cis!




Thursday, April 22, 2010

Soalan & Menjawab

Sekarang ni, rajin sangat mengantuk. Megadap PC pun rasanya boleh tidur dengan jayanya. Dua jam masa berlalu dengan tidak produktif sekali. Selama dua jam aku asyik tenung tiga barus ayat di Word2007. Bila nak habis ni? Mata memang rasa nak terkatup. Kalau ada dua batang lidi agaknya dah aku sendal kat kelopak mata. Payah betul nak fokus. Asyik ternguap-nguap aje padahal kerja nan satu ni harus dilangsaikan sebelum minggu berakhir. Ya Allah! Hindarkan sifat malas dan bagi semangat untuk aku habiskan kerja yang terakhir ni.

Dalam percubaan melawan mengantuk tiba-tiba ada seorang perempuan datang dan menegur. Dia tanya ingat dia lagi tak? Heh? Rasa macam ingat-ingat lupa. Lepas tu dia tanya, apa khabar sister aku? Aik! Salah orang ni. Tapi aku masih cam muka dia. Dia yang dulu mintak aku jadi respondent untuk dissertation dia tahun lepas. Wah! Jap, aku pun kagum dengan diri sendiri sebab boleh cam lagi muka orang setahun lepas huhuhu. Rupa-rupanya dia sekarang ni dah kat Cali Uni dan sekali lagi kena buat thesis. Dan nak aku jadi respondent sekali lagi. Huh! Tak apalah, sekiranya ia boleh menghilangkan kantuk aku, tanya ajelah apa kau nak tanya. Oh! Aku sebenarnya adalah respondent dia yang ke 5.

Do you know about da'wah? Why are you wearing hijab?

Heh? Apa sebenarnya soalan tesis dia? Berputar-putar dia memberi soalan. Apa itu da'wah? Apa maksud hijab pada aku? Kenapa aku pakai hijab? Mak pak aku paksa aku pakai hijab ke tidak? Aku rasa terkurung ke kalau pakai hijab? Dan tak semena-mena masuk pula bab nikah kawen. Laki aku boleh ke tengok aku tanpa hijab? Aku setuju ke dengan perkahwinan aturan keluarga? Boleh ke aku kawen dengan orang lelaki bukan Islam?

Aku jawab sebaik mungkin. Terangkan kat dia ada dua persoalan di sini yang dia kena faham. Garis panduan sebagai seorang wanita muslim yang Allah dah beri melalui Al-Quran dan juga pilihan peribadi seseorang itu. Dan kalau kau faham aturan Allah, secara otomatis kau akan memilih untuk mengikut aturan itu. Jadi tak ada kontradiksi antara aturan/undang-undang dengan pilihan peribadi. Kalau kau memilih untuk tidak ikut aturan ini, maka terpaksalah kau hadapi consequences nya. Ayat terakhir ini memang ayat pancing aku. Sebab aku rasa macam aku tahu apa persoalan pokok yang dia nak tanya tapi SEGAN atau TAKUT nak tanya aku.

Sungguh umpan mengena. Soalan seterusnya dia bertanyakan akibat yang akan diterima sekiranya aku tak bertudung. Aku terangkan konsep after-life dan good deeds and bad deeds. Ini personal yang kau akan dapat terus dari Tuhan. Keluarga pula? Tanya dia. Komuniti? Apa yang mereka akan buat? (Yep, kita sudah sampai pada mukadimah persoalan pokok). Aku ingatkan yang aku datang dari Asia Tenggara dan bukan dari India atau Pakistan dan punya adat tradisi dan pendidikan yang berbeza. Jawapan aku adalah secara peribadi dan aku hanya boleh beri contoh berdasarkan pengalaman dan pendidikan sendiri. Bagi aku, fungsi keluarga adalah menyampaikan/mendidik anak-anak untuk patuh pada ajaran. Sekiranya ada anak-anak yang tidak patuh, maka anak tersebut harus dinasihatkan, dinasihatkan dan dinasihatkan supaya patuh. Dan sekiranya anak tersebut memilih untuk tidak patuh, maka dia terpaksalah menanggung akibatnya sendiri. Tapi proses nasihat itu tetap akan berterusan. Menasihati pun salah satu proses da'wah.

Dari situ dia berpusing-pusing bagi soalan lain. Berulang-ulang sampai aku terpaksa minta dia tanya aku secara direct saja. Kau nak tanya pasal apakah Islam itu agresif? Tanya aku. barulah dia senyum. Betul ke Islam tu agresif? Tak boleh toleransi? Aku pun ikut senyum. Aduh! Barulah aku teringat doa Nabi Musa. Tadi aku tak baca doa sebelum menjawab soalan, patutlah dia pun asyik berpusing-pusing bertanya soalan. Mungkin jawapan yang aku bagi kurang jelas. Ingat, jangan keliru antara budaya dan tuntutan agama. Agama menggariskan hukum tapi bagaimana ia direalisasikan, berbeza mengikut budaya. Bagi negara yang sangat berpegang pada adat dan budaya, mungkin pengaturannya juga ketat, bagi yang agak liberal, mungkin longgar. Keadaan bentuk muka bumi dan iklim juga memainkan peranan penting. Bagi negara yang panas terik, mungkin niqab penuh dapat membantu mengurangkan terik cahaya pada mata. Sunglasses came later than niqab or burqa. Bagi negara lain pula, material hijab itu turut berlainan. Yang penting, bahagian-bahagian yang perlu ditutup, terlindung sepenuhnya.

Soal kahwin pula? Bagaimana kalau aku menolak permintaan keluarga, tidak mahu berkahwin dengan pilihan mereka? Bagaimana pula kalau aku mahu berkahwin dengan orang lain err.. seperti Scottish? Apakah mereka akan marah dan buang aku atau ambil tindakan keras atas aku?

Rasanya macam dah keluar tajuk, tapi aku jawab jugalah. Sekali lagi aku ingatkan dia kena faham latar belakang aku dan dari mana aku datang. Arranged marriage memang ada di mana-mana tidak kira latar belakang agama atau budaya. Itu normal bagi keluarga yang mahukan yang terbaik untuk anak mereka terutama anak perempuan. Perkahwinan campur pun dah biasa berlaku di tempat aku. Kahwin dengan sesiapa saja, tak ada masalah asalkan dia seorang Muslim. Kalau aku memilih untuk berkahwin dengan non-muslim sudah tentu keluarga aku akan marah sebab bagi kami agama mengatasi segala-galanya. Paling kronik, aku mungkin dibuang keluarga sebab memilih untuk membelakangkan agama.

Bagaimana kalau aku adamant dan memilih non-muslim sebagai pasangan hidup, soal dia lagi Suami aku mesti jadi muslim dan InsyaAllah, aku tak akan membelakangkan agama dan keluarga aku.

Lama juga dia bertanya pasal perkahwinan dengan aku. Akhirnya aku tanya apa sebenarnya tajuk tesis dia? Dia kata soalan tesis dia berdasarkan teori Michael Foucault tentang perhubungan kuasa dan seorang lagi theorist yang aku tak ingat siapa tapi lebih ke arah woman's lib. Dia mahu kaitkan dengan Islam dan hijab. Aku senyum lagi. Huh! kalau aku tentu seronok kalau aku dapat tajuk ni. Senang aku nak hujah against theorists ni. Dan aku teringat hujah-hujah ahli da'wah yang lain terus aku beritahu dia tentang hijab bagi seorang perempuan Muslim. Secara TEORI, hijab menghindar inequality bukan setakat antara lelaki perempuan tetapi sesama perempuan. Hijab menggalakkan kesamarataan kerana kami dinilai melalui keupayaan dan kepandaian bukan segi kecantikan. Bagi aku, tak ada masalah bad hair day cuma sarung tudung dan keluar. Hijab itu identiti dan sebahagian dari kostum aku. Macam kau, dari jauh lagi kau dah nampak aku dan tahu aku seorang Muslim.

Tempat wanita dalam Islam itu pun sebenarnya tinggi. Aisyah r.a menjadi sumber rujukan para sahabat setelah nabi kami Muhammad s.a.w meninggal dunia. Kalau martabat wanita itu rendah, Aisyah r.a terus akan dilupakan dan hanya diingat sebagai balu nabi kami. Wanita mesti dilindungi dalam pelbagai aspek. Tapi, wanita juga boleh memilih hendak menjadi ketua sekiranya dia mahu. Tidak ada kekangan langsung untuk wanita progresif. Cuma wanita tidak dibenarkan menjadi ketua ibadat, itu saja. Dalam Al-Quran sendiri ada surah-surah khas untuk wanita.

Kuasa yang dimaksudkan oleh Foucault lebih menjurus ke arah perbezaan budaya (bagi aku). Paternalism atau patriarchy wujud kerana kaum lelaki mahu mendominasi wanita sehingga kadang-kadang menafikan hak wanita itu sendiri. Tidak semua negara Islam mengamalkan sistem patriarchy. Gender unequlity ada dimana-mana, bukan setakat antara lelaki dan perempuan tetapi juga perempuan sesama perempuan. Kenapa ini berlaku? Sebab 1) lelaki memang mahu mendominasi 2) sebab antara wanita itu juga tidak ada kesamarataan taraf. Hijab memansuhkan perbezaan taraf ini. Sekiranya semua wanita itu berhijab, keupayaan kerja menjadi kayu pengukur seseorang itu dan ini memudahkan setiap wanita bersaing dengan lelaki. Dan lelaki, sekiranya mereka tahu apa yang terbaik untuk mereka, mereka tidak akan mahu bersaing dengan wanita yang sangat-sangat teliti dan pandai dalam multi-tasking.

Lelaki juga, sekiranya sangat-sangat faham dengan peranan mereka, pasti akan menghormati dan menghargai setiap wanita.

Aku harap, kau faham sedikit sebanyak tentang hijab dan wanita Islam. Bagi kami, Islam itu sempurna mencakupi semua aspek dalam kehidupan samada secara peribadi dan hubungan dalam komuniti. Jangan salah faham antara hukum dan perlaksanaan yang banyak dipengaruhi unsur-unsur budaya. Alhamdulillah, dia kata banyak informasi yang aku beri padanya dan harap dia dapat selesaikan tesisnya secepat mungkin. Aku cuma harap aku beri jawapan yang boleh dicerna akal dia dan tak terlalu menyimpang jauh dari yang sepatutnya.

Aku kembali menghadap skrin. Walaupun kantuk sudah hilang. Tiga baris ayat belum mampu beranak menjadi enam atau sepuluh. Huh! Baca pasal black think tank konservatif di US. Poning den!

Syukur, beberapa hari yang lepas aku baru jer baca tentang da'wah. Sesiapa yang nak tips untuk belajar atau macam kes aku ni, tiba-tiba berada dalam situasi kena berda'wah boleh dapatkan nasihat di sini.

Friday, April 16, 2010

Undangan Tetamu Allah - Akhir

Di Madinah

Payung-payung yang 'berkembang' ibarat kelopak bunga di Masjid Nabawi
Akhirnya tiba juga kami di Madinah Al-Munawwarah. Aku cuba kejutkan Cik Mimi yang terlentok tepi tingkap. Memang perjalanan yang panjang sangat meletihkan maka sepanjang-panjang perjalanan tu kami penuhi aktiviti dengan tidur. Aku gerakkan bahu Cik Mimi tapi dia tak sedar juga. Rasanya ada yang tak kena ni. Aku betulkan kedudukan Cik Mimi dan picit jari-jari tangannya sambil berzikir perlahan. Alhamdulillah Cik Mimi sedar :) Rasanya kota Madinah tidaklah sehiruk-pikuk kota Makkah. Ustaz pun ada beritahu yang keadaan di Kota Madinah ini lebih aman dan orang-orangnya lebih tertib dari orang Makkah. Berkat doa Rasulullah s.a.w, menurut Ustaz lagi. Memang aku rasa tenang dan damai berada di Madinah, apatah lagi dalam perkarangan Masjid Nabawi yang dihias dengan payung-payung besar untuk menghindar terik matahari pada jemaah yang bersolat di luar.
Alhamdulillah kami selamat tiba di hotel. Keadaan hotel ini pun lebih selesa dari hotel di Makkah tapi selepas 'terpaksa' melakukan pertukaran bilik, kami dapat bilik yang punya masalah toilet. Alahai, untuk beberapa hari terpaksalah menumpang ihsan kawan-kawan di bilik lain apabila 'hajat memanggil' huhuhu. Tapi, kedudukan hotel yang tidak jauh dari Masjid Nabawi memudahkan kami berulang alik dari masjid ke hotel. Hari pertama, baru nak berkenal-kenalan dengan Masjid Nabawi. Kawalan di masjid ini lebih ketat dari Masjidil Haram. Kamera atau kamera fon tidak dibenarkan dibawa masuk. Siapa yang ada alat-alat elektronik ni kenalah solat di bahagian luar. Aku suka sangat Masjid Nabawi ni sebab memang sistematik. Yang bahagian perempuan memang khas untuk perempuan, tak ada 'pencerobohan' dari jemaah lelaki. Di sini pun lebih nyaman. Aku suka pandang lelangit masjid yang cantik dan lampu-lampu yang menarik. Dan bila lepas subuh, kubah masjid terbuka menghamparkan pemandangan langit biru yang indah.
Hari pertama aku tak mencuba untuk ke Raudhah, tapi adik-adik yang lain dengan semangat terus aje menuju ke Raudhah selepas solat Isya'. Seronok bercerita tentang pengalaman masing-masing di Raudhah dalam keadaan berasak-asak dan bertolak-tolakan. Tidak seperti jemaah lelaki yang boleh masuk ke bahagian Raudhah pada bila-bila masa, jemaah muslimah ada masa-masa yang tertentu untuk ke Raudhah. Tiga slot masa diberikan untuk jemaah muslimah. Pagi selepas Subuh dalam pukul 7am hingga 10am, selepas Zohor sehingga 3pm dan selepas Isya' hingga tengah malam. Cemburu dengan adik-adik yang sudah ke Raudhah, kami mencuba nasib keesokan harinya. Tanya adik-adik yang sudah berpengalaman dan ikut pesan mereka. :) Alhamdulillah. Sebaik saja selesai solat Zohor, Jenazah dan solat sunat, kami bergerak mencari kumpulan untuk muslimah dari Asia Tenggara. Untuk kumpulan kami, kami dijaga oleh 'pegawai' yang boleh berbahasa Melayu sedikit. Setakat "hajjah dudu' dudu'" dengan pelat Arab, buat kami tersenyum saja sepanjang menunggu. Memang perlu banyak bersabar ketika menunggu giliran ke Raudhah. Sabar itu sebahagian dari iman - itulah yang diulang-ulang oleh pegawai yang menjaga kami. Tapi, ada juga jemaah yang tidak sabar, sebaik saja pintu kayu terbuka, ramai yang bertebaran bangun untuk menyerbu masuk. Yang tinggal hanya satu kumpulan kecil aje. Tak apalah, ikut ajelah cakap pegawai tu. Dia suruh duduk, kami duduk saja. InsyaAllah pasti ada rezeki kami untuk masuk ke Raudhah.
Dari bahagian solat muslimah, kami bergerak melepasi pintu kayu ke bahagian jemaah lelaki dan duduk menunggu di situ lagi. Penantian semakin panjang. Dalam hati berselawat, bertahmid dan bertasbih silih berganti. Sesekali mengerling ke arah jam dinding di hujung. Lagi 40 minit dan jarum terus bergerak sehingga hanya tinggal setengah jam lagi sebelum pintu Raudhah ditutup untuk kaum muslimat. Hati mula resah. Takkanlah Allah tidak beri rezeki pada kami melawat Rasulullah s.a.w hari ini? Alhamdulillah Quraan tafsir ada aku bawa bersama, maka surah Waqiah terus aku tuju. Perlahan-lahan surah aku baca dengan doa semoga Allah buka pintu rezeki kami semua - kumpulan kecil yang menunggu giliran untuk ke Raudhah. Berkat semua yang sabar menunggu, akhirnya kumpulan kecil ini dipanggil masuk ke tempat menunggu yang terakhir. Subhanallah, kami dapat tempat yang paling hadapan sekali. Mereka yang dari tadi menyerbu masuk ke bahagian kumpulan Arab yang lain terpaksa menunggu lagi dan mendengar tazkirah pula. Kami kira potong queue. Masa tu gembiranya Allah saja yang tahu. Mungkin inilah contoh ganjaran orang-orang yang sabar. Seronok tak terkata!
Hati berdebar-debar bila kaki melangkah mendekati Raudhah. Mata aku pandang bawah saja, memerhatikan warna karpet. Merah... merah... masih lagi di karpet merah. Hijau! Yay! Kaki kanan aku sudah memijak karpet hijau menandakan kawasan Raudhah. Terus aku beri salam pada Rasulullah s.a.w. Masa tu dalam kepala dah tak ingat siapa yang memesan untuk berkirim salam dengan Rasulullah s.a.w. Aku cuma sampai pesan secara general aje huhuhu. Hebat sungguh muslimat-muslimat yang masuk ke Raudhah. Macam di Hajarul Aswad, tapi kali ini aku terpaksa berhimpit-himpit dan bertolak-tolak dengan muslimat saja. Nak solat sunat pun kepala ditolak-tolak. Akhirnya aku buat keputusan untuk solat berdiri saja dan berdoa semoga Allah ampunkan dosa-dosaku dan dosa kedua ibu bapaku. Rasa sayu dalam Raudhah tak perlulah dicerita. Rasanya mereka yang pernah ke Raudhah pasti akan merasa sayu. Cuma perasaan sayu aku tidaklah terlalu mendalam. Seperti kali pertama melihat Kaabah, aku lebih kagum kerana Allah perkenankan aku berada dekat dengan makam Rasulullah s.a.w. Dan sama seperti aku dapat cium Hajarul Aswad, aku keluar dari Raudhah dengan perasaan yang sangat happy.


Masjid Quba
Sesi ziarah di Madinah di mulakan dengan melawat Masjid Quba. Bersolat dua rakaat di sana. Kemudian kami meneruskan perjalanan ke ladang kurma yang katanya diuruskan oleh keturunan Abdul Rahman bin Auf. Ustaz yang memandu kami buat lawak ingatkan kami yang ini kebun tamar bukan kebun kelapa sawit. Yalah, pokok-pokoknya hampir sama, jenis palma gitu. :) Kisah saudagar Abdul Rahman Auf di sini. Ladang yang dibuka untuk pengunjung taklah besar sangat tapi kedai yang menjual tamar pelbagai jenis memang penuh dengan pelanggan. Sudah tentu kurma Ajwa jadi idaman. Tapi, tengok harga huhuhuhuhu SR80 sekilo. Tu diaa.... Tapi tak pe ustaz kata dia boleh dapatkan SR60 sekilo. Okeylah beli dengan ustaz aje huhuhu. Dari situ kami bergerak ke Bukit Uhud untuk melihat kawasan perang di situ. Nampak bukitnya yang tinggi dan juga bukit pemanah. Di lembah sudah tak ada harta perang yang menarik perhatian laskar-laskar tetapi diganti dengan 'harta dagangan' yang pelbagai jenis. Dari kupiah, barang-barang cenderahati hinggalah mainan kanak-kanak diperaga atas hamparan untuk menarik perhatian pengunjung-pengunjung membeli barangan dagangan mereka. Penarik di lembah Uhud sudah tentu makam 70 para syuhada.

Kawasan lembah Uhud
Menurut ustaz, ketika para syuhada gugur, mereka dikuburkan di merata-merata tempat di kawasan lembah tapi apabila terjadi banjir besar di situ, tubuh-tubuh para syuhada ini terkeluar dari kubur masing-masing dalam keadaan yang sangat elok. Selepas itu barulah mereka disatukan di kuburkan di kawasan khas yang berpagar. Kalau dapat dilihat di sebalik pagar itu, yang sah bertanda kubur hanyalah dua. Kubur Hamzah kerana diketahui dadanya berlubang kerana jantungnya dimakan oleh Hindun dan juga kubur Abdullah bin Jaz kerana cuping telinganya dan hidungnya dikerat-kerat kerana diikat dengan benang (menurut riwayat). Kubur-kubur para syuhada yang lain tidak bertanda. Dan seperti yang dinyatakan dalam Surah Al-Baqarah - mereka ini tidak mati (Quraan 2: 154)
"Janganlah kalian mengatakan terhadap orang yang terbunuh di
jalan Allah itu mati, tetapi orang itu tetap hidup, tetapi kamu tidak dapat
merasakannya /memahaminya"
Mulanya aku tak berapa faham kenapalah kubur para syuhada ini bukan setakat berdinding kaca tetapi berpagar juga, seolah-olah pagar kandang harimau macam di Zoo Negara, tapi apabila melihat perbuatan seorang perempuan di situ barulah aku faham. Perbuatan khurafat untuk mendapatkan 'syafaat' atau 'berkat' ni memang harus dihalang. Perempuan tadi mengibaskan kain tudung (extra) sehingga terkena pada dinding pagar, dan kemudian, kain itu dikucup. Rasa macam tak tercapai aje akal aku dengan perbuatan dia. Apa agaknya yang dia fikir ye? Entah. Aku dengan akuatik takat geleng kepala ajelah. Meminta dengan Allah bukan dengan para syuhada. Bukan dengan perantara. Itulah sebenarnya keistimewaan kita orang Islam, kita tak perlu ada paderi atau ketua ibadat untuk hubungan dengan tuhan. Kita dapat talian terus dengan Allah. Tak ke istimewa tu?
Kedai-kedai di sekitar Madinah
Di Madinah, barulah nafsu untuk membeli belah terbuka ikatannya. Melihatkan jubah-jubah dan abaya-abaya yang menarik memang mengujakan. Tapi orang Pahang kata, kadar diri jugalah. Duit £20 yang ditukar di Makkah, masih banyak berbaki. Bayangkan kami tidak berbelanja sangat di Makkah sampai duit SR100 tu masih ada lagi ditangan. Tapi di Madinah huhuhu... sekejap aje duit bertukar tangan. Tapi masih seriau juga berbelanja di Madinah. Mula-mula tak tahu untuk tawar menawar tapi bila dah tiga kali masuk kedai, pandai jugalah menawar. Bukan apa, dapat jubah dengan harga £10 tu dah sangat-sangat lumayan bagi kami. Rupa-rupanya harga tu boleh ditawar lagi hingga dapat dalam SR35 (£7). Cuma yang tak dapat ditawar sudah pastilah di Baitul Donat kegemaran kami huhuhuhu.. Terpaksalah melabur dalam £3 semata-mata nak makan donat. Berpusing-pusing kami berjalan-jalan di Madinah. Apabila terlepas waktu makan malam (kerana mengejar Raudhah lagi) terpaksalah membeli makanan segera di sana. Aduh! Memang mahal makanan di situ. Untuk satu set sudah SR20 (£4). Sara hidup di kota 2M ini seperti sara hidup di UK pula. Ini kami yang datang dari UK sudah terasa bahang mahalnya, apatah lagi jemaah yang datang dari Malaysia dan Indo. Kalau terlepas makan, terpaksalah telan air zam-zam banyak-banyak :)
Monyex Chang atau Mony Exchang?
Tiga hari di Madinah memang tidak mencukupi. Rasanya kalau boleh hari-hari nak masuk ke Raudhah. Malam ke dua kami ke Raudhah sekali lagi. Kali ini untuk menghindarkan rasa bosan, Cik Mimi buat kuiz dan tazkirah kecil-kecilan. Seronok juga jadi kanak-kanak yang cuba mengingati balik kisah nabi-nabi. Seperti biasa keadaan sangat berasak-asak di dalam. Kami salahkan orang Eropah Timur dan Teluk Benggal kerana suka tolak menolak. Malam ke dua dek kerana terlalu ramai, kawasan berdekatan dengan makam Rasulullah s.a.w dibuka. Berpusu-pusu mereka ingin merebut tempat yang paling hampir dengan makam. Mulalah menangis mengongoi-ngongoi sambil memeluk jeriji besi yang tercapai oleh tangan. Bermasalah sungguh mereka yang datang dari kawasan nih! Aku yang tengok pun pening. Pegawai terpaksa ingatkan "hajjah! hajjah! kiblat!". Huish! Ada yang nak solat berkiblatkan makam Rasulullah. Tapi, pedulikan mereka. Alhamdulillah malam ke dua aku dapat bersolat dua rakaat sempurna dua kali huhuhuhu. Malam terakhir kami di Madinah, kami berusaha lagi untuk masuk ke Raudhah. Aku dengan Akuatik sudah berjanji, kalau terpisah, kita jumpa saja diluar. Memang sungguh terpisah. Keadaan di Raudhah masih lagi berasak-asak tapi Alhamdulillah aku dapat tempat untuk bersolat betul-betul di sebelah pegawai yang cuba mengawal keadaan yang kelam kabut di situ. Selesai bersolat, aku bagi tempat aku pada makcik dari Indo dan bantu makcik dari Turkey untuk dekat di makam. Entah macamana aku pun jadi polis malam tu, jaga orang yang sedang bersujud. Alhamdulillah, Allah beri ganjaran juga. Tiba-tiba dapat satu tempat yang sangat selesa untuk aku bersolat sekali lagi huhuhuhu... seronok tak terhingga. Kiranya tiga kali masuk ke Raudhah aku dapat solat 5 kali. Dalam keadaan berhimpit-himpit, itu merupakan rezeki yang tak terhingga.
Ingatan di Madinah
Beringat-ingatlah juga apabila berada di Tanah Haram Madinah. Di Masjid Nabawi terutama. Malam terakhir selepas mengucapak au-revoir pada Rasulullah s.a.w, aku dan akuatik terus berjalan pulang. Sambil berjalan di perkarangan masjid Akuatik bercerita yang dia lebih sukakan wangian di Hajarul Aswad berbanding di Raudhah. Sebelum tu aku memang ada bertanya dari mana datangnya wangian Hajarul Aswad sebab Allah dah beritahu, takkan tercapai akal kita untuk membayangkan syurga sedangkan batu itu dikatakan batu syurga. Kalau bayangan pun tak tercapai dek akal, apatah lagi bau. Kemudian aku bertanya juga dari mana datangnya wangian Raudhah? Dari makam ke? Huhuhu.. belum terima jawapan.
Jadi Akuatik kata dia sukakan bau Hajarul Aswad kerana baunya lebih lembut. Aku ingatkan yang dua-dua bau batu dan Raudhah tetap sedap di hidung aku huhuhu... tapi dia kata itu bergantung kepada citarasa masing-masing. Elok saja selesai berdiskusi tiba-tiba bau Raudhah ditiup angin sepintas lalu. Aku apa lagi terus aje istighfar dan kata pada akuatik. Kifarah ni sebab bandingkan bau Raudhah dan bau Hajarul Aswad. Masa tu aku rasa macam anak sekolah yang ditegur oleh cikgu. Dapat sedas terus. Nak buat apa lagi kan? Tersenyum sajalah sepanjang jalan pulang ke hotel. Tapi, itulah ada seorang ni memang degil, dah bersori-sori pun masih lagi berpegang pada citarasanya. Perlu cikgu besar ingatkan sekali lagi agaknya.
Masuk ke dalam lift, aku bau semacam. Macam ada orang melepas dalam lift. Tapi, kami naik saja. Di bahagian bucu kiri aku lihat ada satu objek yang mungkin bertanggungjawab mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan tersebut. Dalam hati aku sudah tersenyum dan kalau hati aku boleh dilihat agaknya senyuman terus melebar. Aku suruh Akuatik tengok, apakah objek tersebut. Semakin didekat semakin kuat baunya. Sah sahlah bahan kumbuhan seseorang. Sepanjang 'perjalanan' naik dari lobi ke tingkat 9, kami dihidangkan bau yang tidak menyenangkan. Sebaik saja keluar dari lift terus aku usik Akuatik sekali lagi. Kifarah! Kifarah! Dan makcik tu cuma jawab dengan sori! sori! Haish!
Berat hati nak meninggalkan bumi Madinah. Rasa separuh hati sudah tertinggal di sini. Walaupun berat, aku tak sedih nak tinggalkan Rasulullah s.a.w sebab aku yakin suatu masa nanti aku akan ke sini lagi. Mengucap salam buat baginda. Pengalaman pertama menunaikan umrah dan ziarah ni takkan aku lupa sampai bila-bila dan kalau boleh aku tak mahu ganti dengan pengalaman kedua atau ke tiga. Aku mahu pengalaman seterusnya adalah rukun yang ke 5. Aku mahu kalau diberi rezeki lebih, dapat berkongsi pengalaman pertama dengan mereka yang terlalu ingin ke sini tetapi tidak berkemampuan. Tekad aku kalau boleh, aku mahu membantu mereka yang tidak mampu tetapi rindu untuk menjadi tetamu Allah dan tetamu Rasulullah s.a.w merealisasikan impian mereka. Semoga Allah jauhkan sifat tamak haloba dari hati aku dan dapat berkongsi rezeki bersama-sama mereka yang tidak berkemampuan.
Tamat
p/s - tapi pengembaraan aku untuk jadi yang lebih baik insyaAllah tidak tamat di sini :)

Thursday, April 15, 2010

Undangan Tetamu Allah IV

Ke Shopping Complex.

Memandangkan kami di opposite side dari pintu utama, maka kami jarang menjelajah di bahagian situ. Selalunya kami hanya berlegar-legar di kawasan Masjid Kucing untuk membeli makanan atau barang-barang keperluan yang lain. Tapi, ada teringin juga hendak menjelajah di kawasan pintu masuk utama King Abdul Aziz. Jadi lepas solat asar, aku, akuatik dan mimi ke sana untuk tengok apa yang hype dan happening sangat kat kawasan ni. Memang sepanjang aku berada di masjidil haraam, tumpuan aku terbahagi antara Kaabah dan bangunan tinggi menjulang di belakangnya. Asyik tertanya-tanya mengapa bangunan sebegini tinggi dibina tidak jauh dari masjidil haram? Untuk siapa bangunan-bangunan tinggi dan gah serta mewah ini dibina? Sedangkan jemaah haji atau umrah bukanlah majoritinya di kalangan orang kaya-kaya. Aku bukan anti-establishment atau anti pembangunan tetapi pembangunan yang sebegini sangat tak sesuai di Tanah Haram. Segregation antara yang kaya dan miskin memang jelas kelihatan. Jurang yang bagi pendapat aku, semakin melebar dan menindas orang-orang miskin, tidak kiralah rakyat Saudi atau mereka yang mencari rezeki di bumi ini. Nauzubillah! Laknat Allah pada pemerintah yang menindas!

Sebaik saja keluar dari pintu, mata tertancap ke Menara Zam-Zam, melihat jam besar jenama Omega yang menyerikan bangunan gah di hadapan mata. Dalam hati aku beristighfar. Perlukah semua ini? Bukankah Makkah al Mukarramah ini untuk semua orang Islam? Bukankah ihram itu simbolik kesamarataan darjat di antara kita? Hanya amal saja yang meletakkan darjat kita lebih tinggi di mata Allah. Hotel 5 bintang As-Safwah menggamit pandangan. Teringat seseorang yang mencari rezeki di situ. Semoga Allah merahmati beliau. Barulah aku dapat melihat betapa gahnya tempat beliau bekerja mencari rezeki, tapi aku tidak berniat untuk pergi berziarah beliau di situ kerana kami wanita. Rasanya tidak manis untuk aku pergi ke sana semata-mata untuk menziarahi beliau.

Melangkah masuk, kami berlegar-legar di dalam. Perut yang sememangnya kosong minta diisi. Nampak Ayam Taza (dulu pernah ada Taza di KL tapi dah tutup). Ingatkan boleh duduk makan di dalam restoran, tapi rupa-rupanya kena beli take away. Hurmm... nak makan apa ye? Tengok harga, aduh! Telan air liur pahit. Fikir punya fikir, kami buat keputusan kita makan Ayam Broast. Ingatkan Ayam Broast tu Roast Chicken tapi rupa-rupanya ayam goreng saja. Beli yang set dan kami duduk makan bertiga ala-ala piknik di dataran menghadap pintu masuk King Abdul Aziz. Di situ juga kami kenal kedai jual donut House of Donuts yang sedap dan punya 150 cawangan di dalam Kingdom :) Tapi, lagi sekali harga satu donut itu ... ya ampun!! SR4 hingga SR5. Kalau kat Greggs, harga satu donut tak sampai pun £1. Setakat 60p hingga 80p satu.

Malam terakhir di Makkah, kami ke shopping complex Abraj Al Bait pula. Hendak melihat keadaan dalam yang posh itu. Dari jauh aku sudah dapat melihat kedai kopi terkenal Starbucks. Sekali lagi aku beristighfar. Yahudi sudah menapak di dalam Haraam. Perlu apa diperang orang Yahudi lagi kalau mereka sudah dijemput ke dalam Haraam? Berpusing-pusing kami di dalam pusat membeli belah mewah itu. Nampak jenama-jenama yang biasa ditemui di UK dan Glasgow. Misi orang tak ada kerja - kami masuk ke kedai menjual beg dan kasut kulit. Mencari sekiranya ada kasut-kasut yang dibuat menggunakan kulit babi. Butik Aldo menjadi sasaran kami kerana biasanya barangan jenama Aldo memang banyak menggunakan kulit khinzir. Satu demi satu kami belek, hanya satu yang kelihatan agak was-was. Aku hanya mampu menggelengkan kepala. Semoga Allah melaknat mereka yang lalai dan menindas!

Sungguh! Melihat sekitar kawasan yang mewah itu sungguh menyedihkan aku. Berapa peratuskah jemaah haji dan umrah yang mampu tinggal di hotel-hotel mewah dan membeli belah di butik-butik mahal? Mengapa mereka yang mampu ini diberikan lebih kesenangan sedangkan jemaah yang mengumpul duit separuh hidup untuk datang ke sini beribadah seperti dianak tiri dan tinggal jauh dari masjidil haram? Mengapa mereka yang kurang mampu ini tidak diberi kesamarataan hak untuk tinggal tidak jauh dari masjidil haram? Melihatkan jemaah-jemaah dari Turkey sangat-sangat menginsafkan kami. Entah di mana agaknya hotel-hotel mereka kerana bas-bas mereka sering menunggu tidak jauh dari hotel kami. Bayangkanlah sudahlah berjalan kaki hampir 1 kilometre dari masjidil haram ke lokasi bas yang menunggu, terpaksa pula meneruskan perjalanan dengan bas ke hotel mereka. Jauh sungguh kan? Semoga Allah merahmati semua jemaah Turkey yang kuat semangat mereka kerana sanggup berpenat lelah saban hari untuk beribadah di masjidil haram.

Tapi, itulah. Mereka mengumpul saham akhirat. Setiap langkah mereka akan dihisab dan diberi ganjaran di sana. Lagi jauh perjalanan lagi banyak pahala yang mereka kumpul. Teringat kisah Rasulullah s.a.w yang ustaz cerita tempoh hari. Oleh kerana dekatnya rumah Rasulullah s.a.w dengan Kaabah, beliau akan mencari jalan jauh sebelum tiba di hadapan Kaabah, hanya semata-mata hendak mencari ganjaran lebih. Bila teringat kisah Rasulullah s.a.w ini, kami rasa puas sangat sebab diberi peluang duduk agak jauh dari Baitullah. Semoga setiap kerikil, pasir dan angin menjadi saksi langkah kami setiap waktu ke Baitullah.

Teguran Terakhir dan Lambaian Terakhir
Untuk Subuh yang terakhir, kami bersolat di bahagian bawah. Semoga tiang-tiang besar dan lelangit indah yang diterangi cahaya dari lampu-lampu di dewan solat menjadi saksi kami bersolat di sini. Pandangan Kaabah aku dilindungi tiang-tiang yang besar tapi aku tetap gembira. Aku tak mahu merebut multazam atau pancur emas atau maqam Ibrahim sebab kata-kata seorang makcik yang diulang oleh Akuatik kepada aku benar-benar menginsafkan. Kita berada di dalam masjidil haram, di mana-mana pun doa kita ini mustajab (InsyaAllah) bukan setakat di multazam saja. Yep! Aku setuju!

Allah menegurkan dengan lembut dan manis sekali. Sebelum perjalanan ke sini, mak selalu pesan supaya jaga hati, kata-kata dan perbuatan. Sungguh! Dia memang kenal dengan anak dia yang sukar menjaga hati dari terdetik perkara-perkara yang bukan-bukan. Dan kerana sukarnya menjaga detik hati, entah berapa kali agaknya aku bersolat sunat taubat. Elok saja salam, aku kena bangun dan solat taubat sekali lagi huhuhu. Tapi, Alhamdulillah, aku tidak diduga dengan dugaan yang sukar. Atau mungkin aku yang redha dengan apa yang berlaku sepanjang aku berada di Makkah. Atau mungkin segala yang payah sudah aku rasai beberapa hari sebelum berangkat ke kota Makkah. Dompet hilang seolah-olah membersihkan rezeki aku. Jari terluka dengan darah yang menitis tanpa henti seolah membersihkan darah aku sebelum menjejak kaki ke kota Makkah. Mungkin juga kepayahan yang dialami untuk mendapatkan suntikan menangitis, mengambil ubat dan kesibukan sebagai pelajar dibayar kemudahan beribadah sepanjang kami di sana.

Tapi itulah, kadang-kadang kita lupa menjaga detik hati dan kata-kata. Malam terakhir di Makkah, aku mengadu kepada Akuatik, jemaah Malaysia tidak friendly. Hendak senyum pun serba salah dibuatnya, apatah lagi hendak berbual panjang. Masing-masing seperti menjaga privasi sendiri. Selesai solat pun kita tidak bersalam-salaman sedangkan sesama kita sudah biasa bersalaman dan berpelukan (apatah lagi dengan adik-adik yang sama-sama berusrah). Tapi, macam aku katalah - Allah menegur aku dengan lembut dan sangat-sangat manis sampai air mata aku turun tanpa mahu berhenti.

Allah menegur aku dengan memperkenalkan aku dengan seorang makcik yang sangat baik. Kami bercerita panjang. Aku dengan makcik tu sebab akuatik pergi nak tengok jenazah-jenazah yang diusung keluar dari masjidil haram selepas selesai solat subuh dan jenazah. Subhanallah! Aku yang berburuk sangka sebenarnya. Makcik tu memang sangat baik sampai dia berkongsi du'a dengan aku. Banyak cerita yang dia kongsi dengan aku dan aku pula entah kenapa begitu mudah berkongsi cerita pahit manis tinggal di UK, tentang perit jerih bekerja sambil belajar, tentang rindu aku pada arwah abah dan emak sampai air mata turun dengan deras. Sebelum berpisah, dia peluk kami dengan erat. Subhanallah! Lembut sekali teguranMu pada aku.

Kami terus bergerak ke dataran Kaabah untuk melakukan tawaf wida'. Sekali lagi aku tak rasa sayu untuk tinggalkan Baitullah. Aku berfikiran positif yang suatu hari nanti aku akan ke sini lagi. Aku tak ucapkan selamat tinggal, bukan adieu (goodbye) tapi au revoir (see you later). Ya Allah, InsyaAllah aku akan ke sini lagi :) Pasti!

p/s - malam sewaktu mengemas barang-barang dan bersedia untuk ke Madinah, aku perasan ada taik burung pada telekung aku. Ahaks! Itulah, tegur lagi burung-burung yang terbang di dataran luar Baitullah. Tapi mak kata, kalau diberak burung maknanya akan ke sana lagi. InsyaAllah, sudah mohon Allah jemput sekali lagi untuk Haji.

Wednesday, April 14, 2010

Undangan Tetamu Allah III

Bonus


Mata mendongak memerhatikan Kaabah. Kali ini kami pergi bertiga. Aku, Akuatik dan seorang lagi rakan sebilik. Sebaik saja tiba, kami meletakkan kasut di tepi tong sampah berdekatan dinding di kawasan bukit Marwah. Hari ini, kami hanya mengikuti rakan sebilik saja. Dia ingin membawa kami bersolat sunat di Hijri Ismail. Sungguh, aku tak pernah bercita-cita hendak bersolat dalam Hijri Ismail. Dapat undangan ke Makkah ini pun merupakan kejayaan besar bagi aku. Dapat bersolat di hadapan Kaabah pun sudah memberi kepuasan yang tidak terhingga. Aku memang banyak-banyak bersyukur diberi peluang ke sini. Tiba di dataran Kaaabah, kami terus berniat dan membuat tawaf sunat. Orang tidak berapa ramai waktu tengahari yang panas terik. Sebenarnya, lantai mar-mar tidaklah terasa panas, hanya cahaya matahari yang terik saja menyukarkan kami membuka mata. Istighfar banyak-banyak saja, mohon diberi kemudahan melakukan tawaf.

Kami ikut arus mengelilingi Kaabah bertawaf. Aku teringat pesan ustaz, banyak-banyak memohon pertolongan dari Allah. Tiap kali kami berada di bawah pancur emas, aku mohon pada Allah diberikan rezeki. Tiada pengkhususan rezeki yang aku minta, hanya mohon pada Allah diberikan rezeki. Begitulah setiap kali kami tiba di bawah pancur emas, doa itulah yang aku pohon dari Allah. Maha Besar Allah yang maha Pemurah. Kami menginjak sedikit demi sedikit ke bahagian dalam sehingga cukup 7 pusingan. Selesai tawaf, tiba-tiba saja Akuatik tarik lengan aku. Kami berdiri betul-betul di hadapan Maqam Ibrahim. Subhanallah, sempatlah menjenguk ke dalam maqam melihat yang dikatakan tanda tapak kaki Nabi Allah Ibrahim ketika membangunkan Kaabah. Masing-masing tersenyum puas. Berjalan lagi ke dalam dan kali ini kami betul-betul berada di pintu masuk Hijri Ismail. Alhamdulillah terus saja ditolak masuk ke dalam. Subhanallah, subhanallah, Allahu Akbar! Tidak pernah terminta oleh aku untuk diberi peluang bersolat 2 rakaat di dalam Hijri Ismail, tapi Allah Maha Pengasih, diberi juga peluang kepada kami.

Keadaan agak padat di dalam Hijri Ismail, dan kami melangkah berhati-hati di bahagian belakang. Ruang terlalu sempit untuk aku bersolat waktu itu. Akuatik bernasib baik kerana dia mendapat ruang untuk bersolat sedangkan aku hanya ada ruang kosong untuk berdiri saja. Dalam hati aku hanya berdoa dan bersyukur pada Allah kerana dapat masuk ke ruang ini. Tak dapat solat pun tak apa, aku masih sangat-sangat bersyukur. Alhamdulillah, Alhamdulillah. Itu saja yang mampu aku tasbihkan dalam hati. Tapi, lagi sekali Allah menunjukkan kasih sayangNya pada aku. Tak sampai dua minit berdiri, muslimah di hadapan aku berdiri setelah selesai bersolat, memberikan ruangnya kepada aku. Subhanallah! Aku dapat ruang yang sangat luas dan selesa. Jantung aku berdegup dengan kencang waktu itu. Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah!

Aku melangkah keluar dari Hijri Ismail dengan senyuman puas. Waktu itu aku dengan akuatik saja sebab rakan sebilik yang seorang belum selesai solatnya. Tak apalah, kalau terpisah, kami mesti akan bertemu di tempat letak kasut nanti. Aku dan akuatik berjalan lambat-lambat. Peluang yang diterima kami guna sebaik mungkin. Orang pegang kiswah, kami pun pegang kiswah. Orang masukkan kepala bawah kiswah, kami err... taklah masukkan kepala bawah kiswah, sekadar melihat apa yang ada dibawah dan pegang batu kaabah saja. Inilah perbuatan-perbuatan yang memang aku tak pernah mimpi akan lakukan di sini. Bagi aku, Allah layangkan undanganNya pada aku sebagai tetamuNya itu sudah memadai. Bersyukur sangat-sangat. Tapi dapat solat di Hijri Ismail, dapat menyentuh kiswah dan memegang batu Kaabah merupakan bonus pada aku. Tapi, rupanya bukan setakat itu saja yang Allah nak bagi pada aku. Ada satu lagi hadiah yang sangat besar menanti tidak jauh dari situ.

Di hadapan kami, orang beratur dengan sangat panjang. Aku dan Akuatik saling berbalas pandang. Senyum. Nak cuba? Apa salahnya!

Yep, kami hendak cuba mencium batu syurga Hajarul Aswad. Perlahan-lahan kami bergerak menuju ke tempat muslimah tapi dalam keadaan yang bertolak-tolakkan tu, sudah tidak tahu yang mana tempat lelaki dan mana tempat wanita. Aku tarik Akuatik supaya dia berada di hadapan aku dan lindung belakang dia dari wanita-wanita Arab yang besar-besar dan kuat tubuh mereka. Mungkin instinct aku untuk melindungi akuatik kerana aku rasa tenaga aku lebih kuat dari dia. Dan dia rendah dari aku ahaks! Aku biarkan diri aku ditolak dari belakang dan sedikit demi sedikit kami tertolak ke hadapan macam ombak. Kaum lelaki memang tak bagi peluang untuk kaum wanita mencium Hajarul Aswad dan polis yang menjaga terpaksa menolak kepala lelaki yang seperti tidak mahu keluar dari ruang batu tersebut. Sesi tolak menolak terus berlaku. Dalam susah payah tu, akuatik berjaya mencium batu syurga. Masalah kedua pula, bagaimana nak keluar dari ombak manusia yang saling tolak menolak. Akuatik buat sesi diving. Aku yang lihat, menjerit panggil dia. Bimbang dipijak lelaki-lelaki besar dan gagah tetapi tak ada 'peri kemanusiaan' itu.

Aku tak ada pilihan lain. Terus ditolak oleh manusia-manusia yang rakus mahu mencium batu syurga. Dengan susah payah aku berada di hadapan batu hitam. Alhamdulillah. Dengan nama Allah, aku mencium batu syurga, dapat sipi dipipi kerana kepalaku ditarik oleh tangan-tangan kasar. Dalam keadaan yang huru hara itu, aku tersepit di antara dinding Kaabah dengan lautan manusia. Dalam keadaan tolak menolak, aku terduduk di tebing dinding Kaabah. Dongak ke atas, apa yang aku nampak hanyalah tubuh-tubuh manusia dengan tangan dan kaki masing-masing saling tolak menolak. Waktu itu aku tiba-tiba teringat tragedi Terowong Muassim. Sempat lagi aku tanya pada Allah apakah ajal aku di sini? Hati tiba-tiba terasa seronok sekiranya dapat mati di sini, disolatkan oleh jemaah dari pelbagai negara, dan tak sabar-sabar untuk diusung ke perkuburan. Tapi tiba-tiba pula aku teringatkan hutang-hutang aku, terus aku batalkan niat. Oh tidak! Aku tak mahu mati dengan hutang yang belum terjelas. Entah dari mana datang semangat, terus aku kumpul tenaga dan cuba berdiri. Kaki aku tolak tebing dan aku takbir sekuat hati lalu tolak manusia-manusia yang menolak aku. Aku rasa hari tu aku jadi Incredible Hulk versi perempuan.

Aku keluar dengan keadaan tudung yang senget benget tapi bibir tersenyum puas sampai ada hajah tegur aku. Hajarul Aswad? Soalnya. Aku hanya mengangguk sambil tersengih. Dalam keadaan terhuyung-hayang aku berjalan ke kawasan multazam dan cari tempat untuk bersolat. Dalam sengih-sengih aku terus buat sujud syukur. Syukur diberi nyawa untuk hidup beberapa hari lagi di muka bumi ini dan syukur diberi peluang mengucup batu syurga yang tak pernah termimpi oleh aku untuk melakukannya. Kemudian, aku bangun dan terus buat solat sunat tawaf.

Pernah tak korang rasa macam dalam mimpi? Itulah yang aku rasa sepanjang hari lepas tu. Berjalan naik ke bahagian atas sebab tak lama lagi akan azan Zohor. Aku memang berjalan terhuyung hayang macam orang mabuk cinta. Terenyih sana terenyih sini dengan tudung yang masih senget. Suka hati ini Allah saja yang tahu. Akuatik pun kata aku jalan macam orang mabuk. Tak kisahlah. Yang penting aku dapat peluang emas ini.

Al-Jinn

Selesai bersolat zohor, aku dan akuatik kembali ke Marwah menunggu sahabat yang seorang lagi. Kami memang hendak balik ke hotel untuk makan tengahari. Lapar tak terkata waktu itu. Hendak ditinggalkan tak sampai hati sebab kami datang bertiga, biarlah pulang pun bertiga. Dalam hati waktu itu aku berdoa semoga Allah gerakkan hatinya untuk mencari kami di Marwah. Alhamdulillah tak lama selepas itu, dia muncul.

Sahabat yang seorang ini 'tak berapa sihat'. Ada orang menghantar sihir kepadanya. Jadi, walaupun malamnya sudah berubat, dia masih lagi keletihan. Bagi aku apa yang jadi padanya merupakan peringatan Allah pada aku. Faham-faham sajalah aku memang tidak sabar dengan benda-benda mistik ini. Sahabat itu tiba-tiba saja pengsan dan meracau-racau di Marwah. Bayangkanlah, kami berdua ini bukanlah ada pengalaman dengan perkara-perkara ghaib ini. Sudahlah masing-masing tak bawa handphone, Akuatiklah terpalsa berlari balik ke hotel untuk menelefon ustaz dan sheikh yang mengubati sahabat tadi. Dipendekkan cerita, tiba-tiba kami jadi 'glamer' di Marwah dan rezeki sahabat tadi, didoakan, diazan dan dibaca ayat-ayat suci oleh jemaah dari pelbagai negara. Haish! Salah satu pengalaman yang unik bagi kami berdua.

Makan-makan

Kebetulan Akuatik punya ramai saudara mara di Makkah. Malamnya kami dijemput untuk makan malam di rumah salah seorang saudara akuatik di sini. Memang kami lapar betul sebab kejadian tengahari tadi buatkan kami terlepas makan tengahari. Hendak tak hendak kami makan saja kurma dan air zam-zam buat pengalas perut. Alhamdulillah rezeki Allah bagi, makan malam itu, kami makan dengan bersungguh-sungguh.

Kekenyangan sampai nak bangun awal pun malas hahahaha... errr itu akulah bukan Akuatik dan Cik Mimi.

Undangan Tetamu Allah II

Usai saja solat subuh dan solat jenazah, kami berkeputusan untuk pulang ke hotel. Badan masing-masing memang sudah terlalu letih dek perjalanan yang panjang. Masa itu, aku memang sudah tidak ingat nak cari sarapan sebab dalam kepala cuma nampak katil saja. Lagipun kami tak tahu mana nak cari sarapan di kota Makkah ini. Belum mampu nak explore kawasan penginapan untuk mencari kedai jual sarapan pagi. Tiba di hotel, salin baju dan masuk bawah gebar. Tidur nyenyak hingga jam 11am. Ya Allah! Nikmat sungguh tidur bila badan letih. Lega juga sebab mampu menyelesaikan ibadah umrah dalam masa beberapa jam dan seterusnya bertahlul. Jadi, lepas bangun tidur, kami bersiap kembali ke masjidil haram untuk solat zohor.
Melangkah masuk kembali ke bahagian solat di masjidil haram, mata aku terpaku sekali lagi ke arah Kaabah. Matahari tengahari memancar terik sehingga payah untuk dibuka. Tidak ramai orang bertawaf waktu ini. Bagi mereka yang sudah biasa dengan terik matahari mungkin tidak merasa apa-apa tapi bagi aku yang baru tiba, harus menyesuaikan diri dengan panah matahari yang memancar terang begini. Alhamdulillah kami berpeluang ke sini dalam musim bunga, kalau musim panas.. aduh! Mesti lebih mencabar.

Mata tak henti memandang kaabah tapi perasaan sayu tetap tidak terbit dalam hati. Aku masih lagi rasa kagum dan tidak percaya. Aku? Aku jadi tetamu Allah? Memang rasa tak percaya. Macamana aku ni boleh ada kat sini? Tiba-tiba aku rasa sangat-sangat happy. Tak tahu macamana nak describe perasaan gembira aku. Bukan gembira nak ketawa kuat-kuat, bukan gembira yang aku dah berjaya datang ke Makkah, tapi lebih kepada rasa gembira dan yakin sangat-sangat yang Allah sayang aku! Masa tu aku rasakan personal connection aku dengan Allah sangat-sangat kuat. Bukan sebelum ini aku tak yakin yang Allah itu Ar-Rahman dan Ar-Rahim tapi kali ini rasa itu terlalu peribadi.

Hari 3

Masih lagi duduk merenung kaabah dari tingkat atas. Nampak gaya tempat solat di sini jadi tempat feveret aku. Tak ramai yang berada di sini. Mungkin ramai yang ingin duduk di multazam tapi di atas ini aku rasa tenang dan damai. Setiap kali datang ke masjid, inilah tempat pertama yang kami tuju. Aku tak berapa suka berasak-asak untuk bersolat. Di mana-mana pun sama saja. Bukankah kami sedang berada di masjid mengelilingi kaabah?

Hari ini barulah hati aku rasa sayu berada di sini. Pagi tadi selesai solat Subuh dan taubat, aku panjatkan doa panjang untuk arwah abah. Rasanya air mata memang sangat-sangat murah di sini. Menitik tanpa henti. Teringatkan mak, teringatkan dosa-dosa sendiri. Tapi, memang lebih teringatkan pada arwah abah. Terasa sangat-sangat rindu pada arwah. Apatah lagi sebelum ke Makkah, aku pernah meminta pada Allah moga ditemukan aku dengan abah di Makkah. Ya Allah! Maha besarMu, permintaan aku dikabulkan. Subhanallah, sejak awal pagi tadi, bukan satu tapi lebih 10 'abah' aku temui. Dari abah waktu muda hinggalah abah yang aku ingat waktu di KLIA menghantar aku buat kali terakhir, empat tahun yang lalu. 'Abah' dari Indo, dari Tanah Arab dan lebih ramai dari Turkey. Susuk tubuh, gaya mereka mengenakan ketayap, seluar dan cara berjalan memang macam arwah abah. Sepanjang-panjang jalan ke masjidil haram dan pulang, aku cuma mampu tersenyum dan bertasbih dalam hati. Puas!


Hari 4

Ustaz bawa kami berziarah dan juga bermiqaat di Masjid Sayyidatina Aisyah di Tanaim. Ziarah bermula awal pagi, jadi sebaik saja selesai solat Subuh, kami terus bergegas pulang untuk cari makanan sarapan pagi. Cik Mimi bawa kami ke sebuah restoran India dan beli roti naan dengan kari ayam dan chickpeas. Tinggi rupanya kos hidup di sini. Satu tub kari dengan seketul ayam dan dua roti naan harganya sudah SR6. Entah, mungkin sebab kami dari UK, melepasi unit 2 itu sudah dikira mahal. Tapi yalah, kalau tak convert, makan pagi itu yang dikongsi 3 orang, cuma mungkin dalam £1.20 aje.

Destinasi ziarah kami yang pertama adalah Jabal Tsur. Oh! Yang pasti kami tidak mendaki. Setakat berhenti di bawah dan mengambil gambar dari situ saja. Ustaz kata kalau mendaki, mungkin mengambil masa 2-3 jam. Itupun sekiranya mendaki laju. Kalau lambat, hurrmmm... sampai maghrib tak tentu turun lagi. Ia dikenali sebagai Tsur sebab bentuk bukit tersebut seperti belakang lembu jantan. Dari Jabal Tsur, kami menghala ke Arafah. Ustaz beri penerangan tentang pembesaran Masjid Namirah terkeluar dari Arafah. Jadi berhati-hati selepas solat Zuhr dan Asar di situ. Jemaah Haji harus memastikan mereka berada di Arafah waktu wukuf. Kalau tak Haji mereka tidak sah.




Perjalanan di teruskan ke Jabal Rahmah. Kami diberi masa 20 minit di situ. Mak memang pesan untuk aku naik ke Jabal Rahmah dan berdoa di atas, tapi menurut Ustaz, lebih baik berdoa di depan Kaabah. Yang afdhal berdoa di Jabal Rahmah hanyalah pada 9 Zulhijjah. Tapi kalau nak naik dan tengok panorama saja, tidak mengapa. Hurmm... 20 minit boleh ke panjat dan turun? Lagipun matahari memang memancar-mancar, nak ambil gambar sambil buka mata pun payah. Akhirnya kami berpusing-pusing di atas dataran dan cuba ambil gambar huhuhu...















Perjalanan di teruskan lagi ke Muzdalifah dan seterusnya ke Jabal Nur di mana terletaknya Gua Hira'. Memandang ke jabal Nur, hati terdetik. Bersungguh-sungguh Rasulullah s.a.w memanjat bukit tinggi ini semata-mata hendak melarikan diri dari keadaan huru-hara di Makkah, mencari ketenangan dan berkhalwat di dalam gua. Terkenang juga kegigihan Sayidatina Khadijah, isteri kesayangan baginda yang memanjat bukit tinggi ini demi menghantar makanan untuk suami tercinta. MasyaAllah, indahnya hubungan cinta antara Rasulullah s.a.w dan Khadijah. Bukti kasih dan cinta seorang isteri kepada suaminya dan bukti cinta sejati Rasulullah s.a.w kepada Allah s.w.t Hati sendiri tertanya-tanya, kalau aku di tempat Khadijah, mampukah aku jadi seperti dia? Subhanallah!

Sebelum pulang ke Makkah, kami ke Tanaim dulu untuk Miqaat umrah ke 2. Bas berhenti di Masjid Sayyidatina Aisyah. Keadaan agak sibuk sewaktu kami tiba. Ada beberapa buah bas yang membawa jemaah umrah yang lain turut berhenti di masjid ini untuk bermiqaat. Kebanyakan jemaah yang kami temui di sini datang dari Malaysia dan Indonesia. Alhamdulillah dapatlah menunaikan solat sunat dan seterusnya bermiqaat dan kembali ke Makkah untuk bersolat zohor dan seterusnya menunaikan ibadah umrah kali ke 2.


****
Kami dapat merasa makan kibas mandy buat kali pertama kerana ada jemaah dalam kumpulan kami membayar nazar. Baru hari pertama berada di Makkah, anak seorang jemaah tiba-tiba 'terhilang'. Rupa-rupanya dia mengikut 'abang-abang' bersolat dan beribadah di Masjidil Haram tanpa memberitahu ibu bapanya. Kasihan ibunya, menangis kerana disangka anak lelakinya sudah hilang. Itu yang bernazar untuk menjamu kami sekiranya anaknya ditemui. Untung kami kerana dapat merasa kibas mandy.

Yang lawak, sejak hari itu tiap kali kami akan meninggalkan Makkah, nama anak itu akan dipanggil dahulu untuk memastikan dia ada di dalam bas bersama-sama kami.


Monday, April 12, 2010

Undangan tetamu Allah

Hari 1 - Ke London


Kepala masih lagi berdenyut-denyut sebab malam sebelumnya memang aku tak cukup tidur. Menghabiskan esei Sosiologi yang perlu di hantar awal. Empat hari awal dari tarikh deadline. Nasib baik semua baju-baju banyak yang sudah siap digosok, tinggal nak dimasukkan ke dalam beg saja. Keletihan memang sangat terasa sebab pagi tu aku masih lagi bekerja. Jadi pagi tu, aku heret sekali beg besar ke tempat kerja. Selesai kerja jam 9, aku lari ke universiti dan masukkan esei dalam kotak. Lari balik ke kolej, ambil beg, heret ke Buchanan Bus Station untuk ke Glasgow Airport. Aku dengan Akuatik saja yang naik kapalterbang ke London sebab Mimi ambil tren ke sana awal pagi.

Dalam banyak-banyak perjalanan, ini merupakan pengembaraan yang sangat penting bagi kami bertiga. Akhirnya setelah menunggu tiga tahun lebih, Allah berkenan melayangkan kad undanganNya pada kami untuk ke rumahNya. Bayangkanlah tiga tahun menunggu, akhirnya diberinya peluang. Rasa macam tak percaya pun ada. Rasa macam sangat-sangat istimewa pun ada juga. Sepanjang perjalanan, aku tidur saja. Mata memang tak boleh bukak, badan memang sangat letih. Sebaik saja, aku pakai talipinggang keledar, aku dah lentok. Bukak mata bila kapal terbang mendarat di Heathrow Terminal 1. Dari airport, kami meneruskan perjalanan ke Kota London untuk penginapan satu malam di Malaysian Hall. Rehat sebentar, malam tu terus pergi untuk penerangan umrah. Penerangan selesai pukul 9.30pm, terus berlari kembali ke Malaysian Hall untuk berehat. Pagi esoknya berkumpul di Heathrow untuk penerbangan terus London - Jeddah.

Hari 2 - Ke Jeddah

Pukul 9.30am kami berkumpul di Heathrow Terminal 1 untuk proses check in. Dugaan Allah yang pertama. Sistem komputer rosak jadi semua kerja-kerja harus dilakukan secara manual. Bayangkan dari pukul 10am beratur hingga pukul 12, masih tak selesai lagi urusan di kaunter. Selesai aje urusan check-in, kami terus ke atas untuk sekuriti, dan kejar penerbangan yang sudah menunggu. Haish! Orang Arab memang buat kerja tak berapa nak senonoh. Tapi, redha ajelah. Lagi sekali, lepas solat Zohor dan jama' Asar, sepanjang jalan tu aku tdur aje. Bangun masa makan dan miqaat saja.

Tiba di Jeddah. Dugaan Allah nombor dua. Hampir sejam menunggu mahram di kaunter passport control. Orang lain dah lepas, kami tak lepas-lepas lagi sebab mahram sengaja melewat-lewatkan masa. Dalam hati rasa macam nak marah aje tapi itulah.. kena bersabar. Setelah selesai urusan paspot, berkumpul lagi untuk menaiki bas terus ke Makkah. Bisanya jemaah umrah dari Malaysia akan terus ke Madinah sebelum ke Makkah, tapi jemaah kami terus ke Makkah kemudian baru ke Madinah. Rasanya lebih untung buat macam ni sebab selesaikan semua ibadah umrah dulu baru berhorray-horray di Madinah. Lagi seronok macam tu apatah lagi kami ni students jadi by the time kami di Madinah, otak kami pun dah tenang-tenang aje.

Bas bertolak sekitar jam 11pm dan sepanjang-panjang perjalanan kami tak henti-henti bertalbiah. Labaikallah humala baik. Ya Allah hambaMu datang menyahut panggilanMu. Kami tiba di Hotel Johrat Mona sekitar tengah malam. Selesai urusan bilik, makan malam dan mendengar taklimat, kami terus dibawa untuk melaksanakan umrah. Ustaz dari Indonesia yang bimbing kami. Dalam perjalanan ke Masjidil Haram kami melalui jalan pasar dan Masjid Kucing. Itu kira landmark kami. Ustaz kata kalau sesat, check direction kat situ. Dari situ kami terus ke pintu Babussalam. Pelan-pelan melangkah ke masjidil haram. Hati mula rasa berdebar-debar. Bertanya dalam hati, apakah Allah akan tahan pandangan aku? Akan nampakkah Kaabah yang aku lihat gambarnya setiap kali bersolat 5 waktu? Masa tu memang berdoa semoga nampaklah Kaabah tu. Dan bila terlihat aje... Subhanallah, inilah rupanya Kaabah.

Bila dah nampak kaabah tu, segala perasaan hilang. Aku tak ada rasa sedih, sayu atau takut tapi lebih kepada rasa kagum. Macam woaaah! Inilah Kaabah yang sebenar-benarnya. Besar sungguh!Bila melangkah turun dari tangga menuju ke dataran untuk bertawaf pun rasa kagum tu tak hilang lagi. Jam waktu itu dah melewati 2 pagi tapi, orang masih lagi ramai yang bertawaf. Melangkah mendekati baris Hajarul Aswad, berniat dan melambaikan tangan lalu memulakan tawaf umrah - Dengan Nama Allah, Allah Maha Besar! Sepanjang-panjang tawaf aku memandang objek empat segi besar yang bernama Kaabah. Hati masih lagi tak percaya aku dah berada di dataran dan bertawaf mengelilingi Kaabah. Mulut kumat kamit mengikut bacaan ustaz. Buku panduan aku jeling sekali sekala. Tiba di Maqam Ibrahim dan seterusnya ke Hijri Ismail kemudian aku mendongak ke atas memandang pancur emas. Berjalan lagi hingga ke Rukun Yamani dan seterusnya ke Hajarul Aswad sekali lagi. Tamat satu pusingan. Seterusnya begitulah sehingga cukup 7 pusingan. Aku rasa kalau ustaz tak bawa malam tu entah berapa kali agaknya aku pusing bertawaf mengelilingi Kaabah. Aku mudah hilang tumpuan kerana asyik memerhatikan persekitaran Kaabah.

Selesai bertawaf dan melakukan solat sunat di hadapan multazam, kami terus ke kawasan Saie. Ah! Yang ini memang mencabar kekuatan mental dan fizikal. Badan mula terasa sangat-sangat letih apatah lagi aku memang tidak cukup tidur sejak dari Glasgow lagi. Tapi, aku gagahi juga. Apalah penatnya aku berbanding Siti Hajar yang berlari antara Safa dan Marwah mencari air untuk anaknya Ismail a.s? Aku cepat-cepat beristighfar. Aku bersaie di waktu malam, berbumbung dan berlantai mar-mar. Kipas berpusing dengan laju dan ada paip air zam-zam di sepanjang perjalanan sedangkan Siti Hajar berlari dibawah matahari terik, di kawasan bukit yang tajam menggigit dan mampu melukakan tapak kaki. Dugaan aku tak sehebat dugaan Siti Hajar. Tiap kali aku mula hendak mengaduh mengeluh, aku ingatkan diri sendiri tentang Siti Hajar. Setiap kali kaki terasa sakit berjalan di lantai mar-mar bersegi empat, aku terbayangkan kaki Siti Hajar. Ya Allah! Ujian aku tidak sehebat ibu nabi Ismail a.s. Siapalah aku untuk mengeluh?

Selesai ibadah Saie, aku rasa lega ya amat-amat. Alunan azan yang pertama mula berkumandang mengingatkan umat supaya bersedia untuk menunaikan solat Subuh. Ah! Sudah hari baru di Makkah al Mukarramah. Kami mula bergerak meninggalkan kawasan Saie dan mencari tempat untuk bersolat. Inginnya bersolat di hadapan Multazam tapi kawasan itu dah penuh. Aku berkeputusan untuk naik ke tingkat atas dengan harapan dapat mencari tempat yang selesa, berada di hadapan dan memandang Kaabah ketika bersolat. Alhamdulillah, Allah tunaikan hajat aku, kami dapat ruang yang luas dalam keadaan yang nyaman.

Buat pertama kalinya, aku bersolat fardhu berjemaah di dalam masjidil haram, tanpa perlu menundukkan kepala memandang tempat sujud. Kaabah dan aku saling menghadap.

Monday, April 05, 2010

Umroh

Selamat tiba ke Baitullah 4 hari lepas. Alhamdulillah. Tiada internet tapi dapat talian terus dengan Allah. Subhanallah.



update: 09/04/10
Di Madinah Al-Munawwarah. Alhamdulillah dapat melawat makam Rasulullah s.a.w dan bersolat sunat di Raudhah beberapa kali. Cinta.