Di Glasgow ini, cuma ada satu saja tempat makanan segera yang halal. Yang jadi tumpuan pelanggan-pelanggan Islam membawa keluarga dan sahabat handai untuk bersantai dan makan bersama-sama. Jadi, hari Jumaat malam Sabtu lepas, saya berpakat dengan rakan serumah untuk makan luar bersama-sama. Konon meraikan harijadi. Ah! Bukan untuk saya saja tapi untuk sahabat yang sama-sama berkongsi tarikh hari lahir, cuma tahun saja yang berbeza. Kami sepakat ke Nando's di Springfield Quay. Kami makan ayam. Kami namakan projek makan tahun ini - Projek Ayam Pukal.
Tak sangka sebenarnya, saya dengan isteri sahabat merangkap keluarga angkat saya di sini, Dr Liza, berkongsi tarikh lahir yang sama. Jadi sejak pagi hari Khamis lepas, kami berbalas sms mengucapkan Selamat Hari Lahir di antara kami. Oh! Uniknya hari lahir saya tahun ini, saya menyambut hari bahagia saya dengan menyental enam mangkuk tandas, tiga urinal dan sembilan tempat basuh tangan di awal pagi, bukan seperti tahun-tahun sebelumnya di mana saya selalu bermalas-malas di atas katil sambil tersenyum lebar (juga berangan-angan).
Memandangkan kami penyokong kuat pengangkutan awam di sini, Dr Wan sudah bersetuju untuk menjemput kami di SUMSA selepas waktu Maghrib. Hampir setengah jam menunggu, barulah kelibat Odyssey yang sarat dengan penumpang kelihatan. Lama juga saya tidak bertemu dengan Dr Liza dan anak-anaknya kerana sibuk dengan tugas uni apatah lagi selepas bergelar pekerja yang menerima gaji setiap minggu.
Dengan bantuan alat 'satellite navigator', kami memulakan perjalanan ke Springfield Quay. Ah! Kamu jangan terpedaya dengan kecanggihan alat 'satellite navigator' ini, kadang-kadang dengan sengaja ia akan suruh kamu melanggar dinding ataupun masuk ke jalan mati. Almaklumlah kamu di bumi dan ia di angkasa lepas. Dia seolah-olah menjadikan kamu mainan 'PacMan'. Tapi, Alhamdulillah, kami berjaya tiba ke destinasi tanpa melanggar apa-apa ataupun masuk ke jalan mati. Tanpa membuang masa, kami terus masuk ke kedai makanan tersebut dan mengambil tempat yang mengadap Sungai Clyde.
Nando's ini berdekatan dengan panggung wayang Odeon dan 'bowling alley' jadi kalau malam Sabtu dan Ahad, tempat ini memang sentiasa penuh. Di sini sajalah kita boleh tengok pak-pak and mak-mak arab makan beramai-ramai. Tapi bukan orang Islam saja yang makan di sini, ramai juga orang tempatan yang menjamu selera selepas menonton wayang ataupun membaling bola besi di 'bowling alley' tu.
Ahli yang mengambil bahagian dalam acara Projek Ayam Pukal. Mengikut putaran jam - Ali, Dr Wan Amir, Ya (mengelap mulut) Mimi, Yie, Dr Liza sambil memegang gadis cantik berpipi kemerahan Hana dan saya yang sedang berdiri di hadapan mereka.Acara makan-makan luar ni tak boleh diamalkan di sini, kalau kamu tidak mahu poket kamu menipis saban minggu. Tapi kerana Dr Wan Amir sekeluarga telah banyak menolong kami, tak salah rasanya sekali-sekala berbelanja lebih untuk mereka terutama Yie, Ya dan Ali. (Hana lebih rela dengan 'pacifier' dari ayam). Seronok tengok budak-budak makan ayam. Masing-masing berebut bahagian yang banyak tulang.
Ada dua ekor ayam yang terkorban di meja kami bersempena Projek Ayam Pukal ini. Seekor agak 'suam-suam panas' dan seekor lagi memang 'kepanasan'. Sudah pasti ayam yang 'kepanasan' itu khas untuk golongan dewasa, diitambah lagi dengan cicah dari dua botol sos lada putih. Apalah harga sebuah pengorbanan ayam-ayam tersebut kalau nak dibandingkan dengan jasa Dr Wan Amir sekeluarga pada kami.
Tulang-tulang yang tinggal dalam pinggan saya.
Secara ringkasnya, projek anjuran kami hari Jumaat lepas berjalan dengan lancar. Korban dua ekor ayam di Nando's tidak sia-sia. Bersih dan licin. Walaupun bahagian yang bertulang menjadi rebutan, bahagian-bahagian yang rasanya macam kapas dan papan plywood tetap habis juga. Apatah lagi apabila majoritinya dilambakkan ke dalam pinggan saya dan Dr Wan Amir. Tapi berkat ketabahan dan ketelitian kami berdua, tugas berjaya diselesaikan.
Hari ini pula, sekumpulan kawan-kawan berjumpa dan menjalankan projek periuk bernasib baik (pot luck) pukal di KLCC. Ah! kalau dulu-dulu sayalah ADUN atau YB kerana sering menjadi orang terakhir tiba ke tempat berkumpul, kali ini saya langsung tak dapat bersama-sama. Rindu dengan mereka. Apatah lagi dengan Geng Bota Bonds and TI Angels - Daisy, Izinni dan saya sebagai TI Angels, Azlan, Wira dan Harry sebagai the Bota Bonds.
Asalnya hanya berbalas-balas mesej di 'board' MSN dan menjadi sahabat di alam maya. Pertemuan pertama bermula di Pan Pacific kemudian di Taman KLCC. Sejak itu sudah menjadi tradisi untuk mengadakan 'Pot Luck Gathering' sekurang-kurangnya setahun sekali. Tak sangka, sudah lebih lima tahun kita berkenalan dan bersahabat ya.
Apa khabar agaknya Our, MJ, Popcorn, Melati, Greng, Peng, Achik, Aleeza Kassim dan yang lain-lain? Terima kasih kepada Daisy yang menjadi tiang seri pada persahabatan ini. InsyaAllah, doakan saya dapat bertemu kalian untuk pertemuan Pot Luck akan (akan-akan) datang.