Di suatu hari, di suatu ketika, di satu pesta makan di hujung minggu. Walaupun di luar angin sejuk bertiup kencang, suasana di dalam sebuah rumah comel meriah dan hangat dengan kehadiran tetamu-tetamu. Barisan makanan yang tersusun di atas meja memberi aroma yang menyelerakan. Nasi tomato, rendang daging, nasi impit, kuah kacang dan sup ayam. Kek keju coklat yang enak juga dihidang sebagai menjadi pencuci mulut.
Di deretan kerusi bersandar kan dinding. Kak Rod datang duduk menempel sebelah aku. Dia mengeluh puas. Kuat. Dan aku tahu mengapa.
Dia merapatkan badan melekap di lengan kananku. Air mukanya serius.
“Ani.” Serunya padaku. “Nak tahu satu rahsia.”
Belum sempat aku menjawab, dia menambah. “Orang lelaki suka perempuan yang ada isi.”
Aku angkat kening (bukan ala-ala Ziana Zain). Menunduk sedikit. Bahasa tubuh aku menyatakan aku sedia untuk berkonspirasi.
“Kak Rod,” seruku pula. “Nak tahu satu rahsia?”
Tanpa menunggu dia menjawab, aku katakan. “Saya terlebih isi.”
***
Betapa aku rasa disayangi. Dibelai-belai. Dimanja-manja.
Kenapa?
Kenapa?
Ah… sekejap lagi sambung. Aku kena sedia-sedia ke kelas.
sambungan...
OK lah aku sambung.
Perasaan dimanja dan dibelai semakin menebal. Terasa aku dikalangan ahli keluarga yang saling sayang menyayangi. Kenapa?
Sebab, tuan-puan rumah, tuan-puan tanah dan tuan-puan khemah telah baik hati membuka pintu rumah mereka mengikut jadual bekerja aku. Setiap kali bercerita tentang cadangan hendak membuat acara makan-makan, mereka ini akan bertanya dulu sama ada aku dapat menghadirkan diri atau tidak. Hasilnya, kebanyakan rumah terbuka mereka dibuat dalam pukul 3pm ke atas. Ini untuk memastikan bahawa aku dapat bersama-sama dalam acara-acara makan yang disediakan sepanjang bulan syawal.
Yang buat aku lebih terharu lagi, memandangkan aku tidak punya kereta persendirian sebaliknya kenderaan pukal di mana pemandu-pemandunya sangat baik hati dan mengambil penumpang-penumpang yang lain selain aku, tuan dan puan ini sering pula menawarkan diri untuk menjemput aku dan kariah yang seangkatan denganku ke rumah terbuka mereka. Maka, dapatlah aku menaiki kereta-kereta canggih mereka yang kebanyakannya boleh dikategorikan sebagai mini-van. Apa taknya, kebanyakannya MPV seven seaters.
Takkah ia membuatkan aku terasa di manja dan disayangi?
***
Aku sekarang punya abang. (jangan tanya macamana boleh jadi macam ni, ceritanya panjang) Abang yang mak lain bapak asing. Abang yang lemah lembut dan sering tersenyum. Abang yang sama-sama pergi 'menoreh' saban pagi. 'Kebun' pun sebelah menyebelah saja. Abang yang solo menunggu duet. (sorry gals, abang ai dah nak kawen next year).
Abangku yang punya nama akronim Institut Kerja Raya Malaysia (sekarang dah jadi kolej universiti kan?) tiba-tiba kasihan dengan aku yang terbatuk-batuk dan hilang suara sebab minum air sirap bandung eskrem soda AIS di rumah kak Rai. Macam-macam kata nasihat yang Abang beri pada aku. Abang kata aku mungkin terlalu penat. Aku sengih. Aku diam.
Tiba di lokasi kebun, Abang pun turun. Tinggalkan aku seorang dalam kenderaan pukal. Mukus di hidung bertambah. Tekak semakin perih. Yang kronik, hati yang girang gembira tiba-tiba jadi mandum. Abang buat aku rasa kasihan pada diri aku sendiri.
Nasib baik Abang bukan darah daging aku. Kalau tak, aku dah tinju Abang!