Sunday, September 20, 2009


Salam Eidulfitri. Mohon maaf atas segala keterlanjuran kata dan perbuatan. Semoga bergembira di hari lebaran.

kullu am wa antum bikhair

Eid Mubarak!

Glasgow
1 Syawal 1430

Thursday, September 17, 2009

Bandaraya Glasgow

...... yang akan ditinggalkan buat sementara.

Tadi, balik kerja jer terus turun ke bandar sekejap siapkan urusan sebelum terbang balik bercuti.. ahaks! Seronoknya! Tak sabar nak balik.

Bangunan Glasgow City Council. Bangunan ni menghadap George Square. Dataran di tengah bandar yang menjadi tempat lepak waktu makan tengahari atau tempat permainan musim sejuk.


Monumen untuk pejuang-pejuang Scottish yang gugur di medan perang dari Perang Dunia Pertama sampailah perang Iraq dan di Afghanistan.

George Square. Kalau cuaca baik, tempat ni memang sesak dengan manusia yang duduk-duduk, baring-baring sun baking. Dalam akhir bulan November hingga January, kawasan ni jadi tempat permainan musim sejuk. Biasanya ada ice skating ring kat tengah-tengah dataran ni. Ada carousel berkuda dan macam-macam permainan seisi keluarga.
Goma atau Gallery of Modern Arts. Ada juga beberapa kali aku masuk galeri nak tengok pameran seni kat situ. Tapi, biasanya kalau aku ke sini, aku lebih senang ke perpustakaan awam yang letaknya di bahagian basement. Ada juga cafe kecil kat perpustakaan tu. Sambil membaca sambil minum kopi. Tapi, aku biasanya cuma cari buku ajelah.

Ini patung Duke of Wellington dan selama aku kat sini, jarang aku tengok patung ini tanpa kon jalan kat atas kepala dia. Dah memang semacam tradisi untuk pastikan patung ni pakai kon trafik kuning tu. Tak tahulah macamana depa panjat statue berkuda ni semata-mata nak letak kon trafik kuning tu atas kepala dia.. Haish!

Buchanan Street. Ini kawasan membeli belah terkenal di Glasgow. Banyak kedai-kedai berjenama terkenal macam Monsoon, Zara, kedai buku Borders yang aku selalu pergi pun kat sini.
Awal pagi jadi kawasan ni tak berapa ramai orang. Tapi bila makan tengahari jer, tempat ni memang sesaklah dengan orang membeli belah. Kadang-kadang hairan gak tengok orang kat sini, dalam ekonomi yang merudum ni pun aku tengok larat lagi bawak beg kertas yang sarat tu. Berjenama lagi.. perkh!


Pemandangan menghadap ke Selatan bandar Glasgow dari tingkap tingkat 3, bangunan kolej tempat aku kerja tiap-tiap pagi dari 6am-9am, 5 hari seminggu. Daun-daun pokok dah ada yang berubah warna menandakan dah masuk musim luruh.

Beg yang dah siap dikemas. Tinggal beberapa benda lagi nak settle kan. Rasanya nanti bila hari nak balik pun ada benda yang kena settle last minute huhuhu..

Monday, September 14, 2009

Gembira Suka Hati

Aku sangat-sangat gembira suka hati hari ini.

Sebab?
Aku dah habis bayar yuran uni untuk sesi lepas hahahaha... Settle dah installment payment untuk yuran £9,000 setahun tadi. Alhamdulillah. Sekarang ni aku papa kedana. Duit cukup-cukup untuk bayar bil elektrik, pemanas, tv, telefon dan talian internet untuk bulan ni. Lega!
Sat lagi bolehlah pi finance counter ambik surat yang mengatakan aku dah selesaikan semua pembayaran dan bawak pi bilik international student plak untuk dapatkan surat scholarship untuk sesi 2009/2010.
Yay! Selepas tiga tahun kerja tunggang terbalik nak bayar yuran, lepas ni aku boleh kerja senang hati untuk simpan duit pulak. Yahuu!
Thank you Allah for giving me the strength both mentally and physically to come thru. And for the best friends that you have bestowed upon me. I am truly blessed! Thank You! Syukur.. phew!

Friday, September 11, 2009

Wednesday, September 09, 2009

10 malam terakhir

Bila dah hampir ke penghujung Ramadhan ni, aku jadi kembali sayu. Teringatkan arwah abah. Masuk saja 10 malam terakhir, arwah abah akan mengimarahkan masjid untuk beriktikaf. Selalunya arwah abah akan tinggalkan rumah sekitar tengah malam dan beribadah di masjid sehinggalah waktu bersahur. Semenjak berpindah di Melaka, masjid pilihan abah mestilah Masjid Kampung Ulu. Selalunya abah memang pergi sendiri. Masa orang lain sedang enak tidur, abah akan hidupkan enjin kereta dan memandu seorang diri ke Masjid.
Biasanya sebelum keluar, dia akan solat tahajud dulu. Kemudian dia akan kejutkan mak dan beritahu dia dulu.
"Ti, abah pergi masjid."
Dan emak akan bertanya, "Abah balik sahur tak?"
"Balik."
Arwah abah memang suka bersahur dengan keluarga sebenarnya. Kita cari pahala lebih di bulan puasa, pesannya selalu pada aku yang selalu malas nak bangun sahur. Memang aku ni jenis yang sayang tidur dari bangun sahur. Sejak dari zaman sekolah hinggalah ke zaman kerja. Sekarang ni bila dah kembali ke zaman sekolah, barulah pesan arwah abah ini aku ikut. Aku bangun sahur.
"Alah, abah.. dah terlepas waktu imsak!"
Dengan tenang abah kata, "Memanglah lebih baik melambat-lambatkan sahur, tapi imsak tu sebagai peringatan. Nak bagi nasi turun nak bagi orang sempat bersugi. Tapi kalau dah terlambat sangat tu nak buat macamana? Selagi belum azan, makanlah, minumlah."
Kadang-kadang abah bawak bekal air kopi setiap kali dia pergi beriktikaf. Buat penambah tenaga tatkala mengalunkan ayat-ayat suci kalam Allah, ataupun ketika penat bersolat sunat tengah malam, hajat atau solat taubat. Seingat aku cuma sekali saja abah balik awal dari selalu. Emak pun terperanjat bila dengar enjin kereta masuk ke perkarangan rumah. Selalunya kalau tak pukul 4am abah tak balik lagi. Ini baru pukul 2am, abah dah memulas tombol pintu rumah.
Bila ditanya kenapa balik awal, abah cuma senyum aje. Dia kata badan tak sedap. Emak akan rasa badan dan dahi abah. Dingin. Tak pulak rasa panas.
"Abah sakit kepala ke?"
Abah memang ada migraine. Malah, abah masuk kelab Migraine di Melaka. Selalunya kalau migraine abah datang, dia akan duduk diam-diam di kerusi di ruang tamu atau tidur terus.
"Tak," jawab abah ringkas.
Bila dengar jawapan abah, emak langsung tidak puas hati. "Mesti ada sebab kenapa abah balik awal," terjah emak. Dia berdiri dan tenung dalam mata abah. Sudah hampir 40 tahun berkongsi kasih, sudah pasti emak dapat baca perangai abah.
"Di tegur tadi, kat masjid," jawab abah ringkas. Dia terus masuk bilik, tukar pakaian dan baring. Emak pula akan terus ke bilik air untuk ambil wuduk dan buat solat tahajjud. Kadang-kadang disambung terus dengan solat hajat dan taubat. Selesai, mak akan duduk di kerusi di ruang tamu dan sambung bertadarus seorang diri.
Bila sudah tiba masa untuk bersahur, emak terus ke dapur menanak nasi. Memang sikap emak tak suka hidang nasi semalam. Dia juga suka masak lauk baru. Memang jarang kami bersahur lauk lebihan berbuka. Selalunya emak akan goreng sayur dengan goreng ikan atau ayam. Ringkas.
"Siapa yang tegur abah?" Tanya emak, bila teringat cerita abah yang tidak habis, tadi.
Abah senyum saja. "Tengah sedap mengaji kat masjid, tiba-tiba ada suara bagi salam. Abah ingat ada orang nak beriktikaf sama..."
"Abah seorang je ke kat masjid tu atau ada orang lain?"
"Seorang."
"Lepas tu?" tanya emak lagi. Air dalam cerek elektrik sudah menggelegak. Punatnya terjentik otomatis. Emak angkat cerek elektrik dan air dicurah ke dalam teko berisi teh dan gula. Emak godak air teh dengan perlahan. Wap panas nipis berputar-putar naik.
"Abah toleh belakang, tengok tak ada orang. Abah teruskan mengaji. Elok aje, dengar lagi suara orang bagi salam lagi."
Abah senyum lagi. "Apa lagi, abah terus angkat kakilah. Dalam hati abah kata ni bukan orang ni. Tak mahulah kena usik macam ni."
Emak ketawa aje dengar cerita abah. "Habis tu, malam esok nak pergi lagi tak?"
"Bagi relaks satu dua malam dulu kot. Lepas tu baru pergi balik," jawab abah.
Abah berseloroh saja, sebab esoknya abah keluar malam lagi. Tapi, kali ini dia kata dia nak pergi ke masjid lain pula. Sayang pula kalau masjid kosong di bulan-bulan mulia macam ni. Datangnya sebulan setahun dan untuk memburu Lailatul-Qadr pun hanya sepuluh malam terakhir. Apa salahnya kita imarahkan masjid.
"Dik, memang perempuan tidak diberatkan untuk beriktikaf di masjid, tapi kalau boleh buatlah solat-solat sunat di rumah," pesannya tiap kali masuk bulan Ramadhan.
"Kalau tak sempat nak berterawih di masjid, buat seorang diri kat rumah pun tak apa. 8 rakaat dengan 3 rakaat witir. Kalau ada masa tu buat sekali solat hajat dan tahajjud. Buat sekali solat sunat taubat. Baca Quran tu jangan lupa. Lancarkan bacaan yang tergagap-gagap."
"Inilah masa kita kumpul pahala sebanyak mungkin. Sentiasa mohon sesuatu dari Allah sebab Dia suka kalau hambaNya memohon dan meminta dariNya. Kalau bercuti pun bukan bermakna kita tak boleh kumpul pahala. Selalu berwirid, berdoa, pahalanya berganda bila dibuat di bulan Ramadhan," pesannya melalui telefon, lewat Ramadhan tahun lepas.
Abah tahu anaknya ini selalu alpa jadi dia selalu mengingatkan. Insya-Allah aku akan cuba buat yang terbaik terutama 10 malam yang terakhir ini untuk memburu Lailatul-Qadr.

Diriwayatkan dari Aisyah ra. Sesungguhnya Rasulullah saw. telah bersabda : berusahalah untuk mencari lailatul qadar pada sepuluh malam terakhir. (HR Muslim )
Diriwayatkan dari Aisyah ra. dia berkata : Adalah Rasulullah saw mengamalkan i'tikaf di dalam masjid pada sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadhan. (HR Muslim )
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda (yang artinya), “Barangsiapa berdiri solat pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap pahala dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari dan Muslim)
Diriwayatkan dari Aisyah ra. dia berkata, "Ya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, apa pendapat mu jika aku tahu bila akan berlaku malam Lailatul Qadar, apa yang harus aku ucapkan?” Beliau menjawab, “Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘annii". ("Ya Allah, Engkau Maha Pengampun dan mencintai orang yang meminta ampun, maka ampunilah aku.”) (HR Tirmidzi)

Monday, September 07, 2009

Innalillahi wa inna illahi roji'un

Antara politik dan agama.

Antara kasih sayang dan benci




Al-Fatihah dan semoga rohnya Mariam Johari mendapat belas dari Allah swt.

Hanya Allah yang maha mengetahui derita dan siksa yang dia tanggung. Ya Allah lapangkanlah kuburnya, jauhkan dia dari siksa kuburMu, jauhkan dia dari azab api nerakaMu. Hanya kau yang maha Mengetahui.

Sabda Rasululullah:
Apabila seseorang itu mati, terputus segala amal solehnya kecuali tiga perkara
sedekah jariah
ilmu yang dimenfaatkan
doa anak yang soleh.

Semoga anak-anaknya tetap mendoakan kesejahteran ibu mereka.

link
Mariam Meninggal - Berita Harian
Tua - http://ohmegosh.blogspot.com/2007/06/tua.html

Saturday, September 05, 2009

Beras

Tadi masa dalam perjalanan balik dok citer pasal makanan ngan Effa. Huhuhu.. ini memang topik semasa dan err... nak citer apa lagi kan? Takkanlah nak ngumpat dalam bulan-bulan posa ni hahahaha
Kali ni topik makanan berkisar pasal beras aje. Bandingkan kualiti beras kat Malaysia dengan beras basmati yang kami makan hari-hari kat sini. Aku ingat dulu masa mula-mula dok kat UK ni, aku rasa macam orang kaya jer hari-hari makan beras jenis basmati. Panjang, peroi dan kalau digoreng memang cantiklah nasi tu. Nak tanak nasi dari jenis beras basmati ni pun senang, tak berkanji sangat. Masa mula-mula dok sini, beras tu dalam 60p sekilo kat Tesco tapi sejak krisis makanan dan cuaca yang tak menentu kat sub-continent tu, harga beras basmati dah melambung dalam £1.40 sekilo. Cuba tukar ke beras long grain tapi aduhai... rasanya tak sesedap basmati.

Masa aku balik Malaysia awal tahun hari tu, dan kembali makan nasi dari beras yang biasa mak gunakan, memanglah rasa payah nak lalu kat tekak. Bukan sombong. Cuma aku terasa sangat yang orang Malaysia disogokkan dengan beras yang berkualiti rendah. Nak beli beras kualiti tinggi, harganya pulak melambung-lambung. Aku rasa macam rakyat marhain di Tanah Melaya ni ditindas sangat-sangat la pulak.

Bila dah dibiasakan dengan beras basmati ni, aku jadi sayu tengok nasi yang berketul-ketul yang mak makan hari-hari. Nasi tu aku tengok macam layak dibuat nasi himpit jer, bukan nasi untuk makanan biasa. Berketul-ketul dan berkanji jauh bezanya dengan basmati yang aku makan hari-hari, peroi dan tak berkanji sangat, walaupun itu jenis basmati low grade yang aku beli kat Tesco aje. Bayangkanlah kalau aku beli yang high grade atau second high grade. Beras tahap orang millionaire kat Mesia kot.

Effa kata nampak gaya kita kena bayar zakat fitrah lebih sikit sebab kita makan beras lebih baik dari kat Malaysia. Hmm... mungkin juga. Tapi kat sini zakat fitrahnya £3 err... campur tolak kali bahagi lebih kurang RM18. OK ke?

Dokumentari

Hari tu aku tengok dokumentari tajuk Future of Food yang berkisar tentang masalah krisis makanan dunia. Dijangkakan masalah ini akan meruncing sekitar tahun 2050.dan akan berlaku femine satu dunia sebab bekalan makanan yang tak mencukupi. Pertengahan kurun ini, jumlah penduduk dunia akan mencecah 9 billion. Macamana nak bagi makan?

Negara-negara kaya dah mula nak beli tanah kat negara-negara miskin macam kat Afrika untuk menampung bekalan makanan untuk penduduk mereka. Contohnya Qatar nak beli tanah kat Nigeria. Kalau kerajaan Nigeria benarkan, apa kes dengan penduduk mereka sendiri?

Lain cerita kat Havana Cuba. Sekarang ni depa berjaya produce 90% daripada sayur-sayuran dan buah-buahan untuk kegunaan sendiri. Cuma 10% yang diimpot. Macamana berjaya? Mereka gunakan setiap tanah yang kosong untuk bercucuk tanam. Hebatkan?

Kita? Simpanan bekalan makanan pun tak ada. Rasanya 90% bekalan makanan, kita impot dari negara jiran. Dari beras, sayur-sayuran sampailah makanan laut.. hampir semua kita impot dari Thailand atau Indonesia. Heck! Even Singapore!

Aku nak ucapkan tahniahlah pada Mahathir dengan mentornya si Margaret Tatcher yang atas idea bernas yang nak propel negara masing-masing ke arah kekayaan dengan menukar tanah-tanah agriculture ni jadi tanah industri. Dulu sawah yang saujana memandang dengan padi yang menguning sekarang ni dah bertukar jadi deretan rumah yang pelbagai warna. Takpun jadi bangunan kilang yang tak habis-habis pollute setiap elemen alam.

Tahniahlah! Sebab walaupun dah berpuluh-puluh tahun cuba nak jadi negara industri, sampai sekarang masih tak berjaya lagi. Korea yang belakang dari kita pun sekarang ni dah maju, cuma kita saja kat takuk tu.. Betul-betullah macam kisah Pak Kadok. Akhirnya dua-dua tak dapat. Industri tak berkembang maju, tanah terlelong macam tu aje. Nampak gaya lepas ni makan batu ngan simen aje la kan sebab tanah tak de nak buat agriculture.

Memang Betullah janji Allah. Kita sekarang ni hidup kat akhir zaman. Planet kita dah melarat sangat. Tapi, tu lah kata mat salleh;

This planet is for our children and generation.

Takkanlah kita tak nak tinggalkan 'wasiat' untuk dorang kan? Kan?

p/s
Hos rancangan ni George Alagiah (pix). Tak tahulah orang kat Mesia boleh tengok dokumentari ni. Tapi ini linknya.

Wednesday, September 02, 2009

Bosan

Hari-hari makan nasi briyani pun bosan gak kan?


Hari-hari makan nasi hidang pun boleh rasa bosan gak kan?

Hari-hari makan ayam, boleh tak raya bosan?

Tak kut... hahahaha

Dah beberapa hari aku tak ke Sumsa untuk iftaar. Bukan apa, asyik hujan aje petang-petang.. sejuk pula nak keluar. Nak lepak library saja pun tak boleh sebab sementara sekolah belum buka ni, library tutup pukul 5pm. Jadi, nak tak nak, tengahari aku balik rumahlah. Tu yang nak keluar balik petang-petang dekat waktu Maghrib tu agaklah lemah sikit, terutama bila hujan kat luar huhuhu.

Memandangkan kemalasan tu dan berseorangan berbuka, aku masak ajelah makanan yang aku teringin nak makan. Ahad lepas berbuka kat rumah akuatik sebab dia teringin nak makan nasi dagang. Percubaan pertama buat nasi dagang guna ketuhar gelombang mikro. Jadi juga. Cuma kurang masin sebab si akuatik guna garam bukit kasar. Gulainya pula guna ikan mackeral. OK jer masuk tekak aku.

Isnin plak sebab sorang je kat rumah, aku pulun buat nasi lemak je. Sambal ikan bilis, goreng ayam dan telur. Sahur plak? huhu.. aku makan jagung manis dalam tin hahaha..

Semalam, akuatik bawa tetamu dia datang rumah. Aku pun berkira-kira nak masak apa agaknya. Hari tu aku ada beli tiga tin jagung manis, jadi aku ingat nak buat apam balik jer. Dan oleh kerana ada kebosanan dengan nasi, aku tukar menu. Buat meehoon goreng je. Campak sayur campak udang. Kayuh!

Jadi pagi tadi pun aku taklah makan jagung manis dalam tin, aku habiskan meehoon jer hahaha.

Apam balik
2 cawan tepung
1 1/2 cawan gula
1 biji telur
1 camca teh soda bicarbonate
1 camca teh baking powder
1 1/2 cawan air
taburan - gula, kacang (kisar kasar) dan jagung

Cara
1 - pukul telur dengan gula sampai kembang
2 - masukkan soda bicarbonate dan baking powder
3 - masukkan air
4 - masukkan tepung
Adunan siap.

Lebih senang kalau gunakan non stick pan. Sapukan minyak sikit dan masukkan adunan ikut suka ketebalannya.

Satu adunan boleh dapat lebih kurang 5 apam (guna pan sederhana kecil)