Thursday, February 05, 2009

Jajahan.

Alhamdulillah aku dah selamat kembali ke bumi Glasgow. Pada sahabat semua yang menghulurkan simpati, aku ucapkan selaut terima kasih. Pada kawan-kawan di Malaysia yang cuba gembirakan aku, juga terima kasih aku ucapkan. Kalian sudah berjaya. OK nanti aku cerita pasal balik Malaysia. Sekarang aku cerita kisah lain dulu...

Malam tadi, aku tidur di dewan pendaftaran University of Strathclyde. Di suatu sudut. atas kain fleece, berselimut duvet, berkongsi tiga orang. Kedinginan. Kenapa? Sebab aku bertiga rakyat Malaysia bersama-sama dengan pelajar-pelajar tempatan di sini memprotes pihak universiti yang membeli air mineral dari syarikat Israel untuk kegunaan universiti. Protes ini dinamakan Occupying McCance Building, bangunan yang menempatkan pejabat pentadbiran universiti. Tu dia.... dengan jetlag yang tak hilang sepenuhnya, aku dah 'buat hal'.

Sebenarnya semalam, aku berlima rakyat Malaysia ni ikut berarak protes dengan anti war coalition untuk tunjuk sokongan kami kepada rakyat Palestine. Arakan bermula jam 2pm dalam renyai salji. Dari depan bangunan Union hingga ke bangunan McCance. Tak sangka pula terus diajak 'menjajah' dan menduduki dewan pendaftaran. Sudah alang-alang memprotes, biar teruskan aje. Aku tengok kawan-kawan di Glasgow ni bersemangat sungguh, walhal bukan satu agama dan juga satu bangsa, tapi atas dasar kemanusiaan dan bencikan kejahatan zionis, mereka bersatu padu dan melancarkan protes sebegini.

Protes dan 'penjajahan' di Strath uni ni, sebenarnya adalah yang ke 20 yang dibuat di sekitar UK. Hari ini, protes dan 'penjajahan' yang sama akan dibuat di Glasgow Uni dan Caledonian Uni. Sebelum ni ada yang berjaya dan ada yang kurang berjaya. Doakan saja kami berjaya ye.

Apa yang kami mahu sekarang, untuk mengusir keluar syarikat air Eden Springs dari uni, untuk pihak uni menghentikan kerjasama dalam penyelidikan senjata dengan pihak Israel dan memberikan biasiswa kepada pelajar-pelajar Palestine. Itu antara agenda utama kami. Yang selebihnya, mungkin boleh diusahakan untuk projek seterusnya. InsyaAllah aku akan muatnaik gambar, tapi buat masa ini aku minta kalian doakan usaha kami berjaya secepat mungkin. Ada kumpulan protes pelajar di sebuah universiti di London terpaksa tunggu 12 hari untuk berjaya, tanpa elektrik dan haba.

Baca di sini
http://strathclydeunioccupation.wordpress.com/
http://occupations.org.uk/?p=334

aku bersiaran dari dewan pendaftaran... dan computer nya sungguh tidak mahu 'berkawan' dengan aku. huhuhu

Tadi 05/02/09 kira-kira jam 12.50pm, kami sudah berjaya mendapatkan pihak universiti untuk bersetuju dengan kehendak kami.

1- Pihak universiti telah bersetuju dan komited untuk tidak meneruskan kontrak dengan Eden Springs. Walaupun tidak dapat memutuskan terus kontrak, pihak universiti berjanji tidak akan membuat pesanan baru untuk bekalan air mineral di universiti.

2- Memberi bantuan biasiswa kepada 1-3 pelajar dari Palestine.

3- berjanji untuk mengkaji kembali dana BAE System (Europe largest defence contractor) kepada Fakulti Kejuruteraan. Mulai sekarang, pihak uni akan lebih berhati-hati dan beretika dalam menerima dana di masa akan datang.

4- Membantu Islamic University of Gaza dalam bentuk kerjasama, penghantaran wang atau pertukaran pelajar.

5- Mengutuk tindakan BBC dan Sky yang tidak mahu menyiarkan/memberi publisiti dalam usaha untuk mendapatkan dana DEC untuk Palestine. Pihak Uni bersetuju untuk membantu mengwar-warkan dana untuk Palestine dalam laman sesawang universiti.




Perarakan membantah apa-apa perjanjian di antara University of Strathclyde dengan Israel. Kami membantah serangan ke atas Hamas dan mahu Palestine dikembalikan kepada rakyatnya yang berhak.


Polis berkawal di luar bangunan McCance.


Manakala di dalam pula kami sedang menjajah dan menduduki dewan pendaftaran Uni Strathclyde.


Pejuang-pejuang di luar memasang kanopi dalam keadaan salji yang masih lagi renyai-renyai. Kasihan mereka kesejukan. Bimbang dengan keadaan kami, mereka meminta derma untuk mendapatkan makanan untuk kami yang berada di dalam dewan.


'Pejuang-pejuang' Strathclyde University, dari pelbagai bangsa dan agama yang berjuang dengan tujuan yang satu. Without your persistence, solidarity and strong will, we may not achieve what we've achieved today. Thank you very much comrades!