Monday, August 20, 2012

Belasungkawa

Tulis... padam... taip... backspace. Aku tak tahu macam mana nak mulakan belasungkawa buat seorang sahabat yang sudah selesai urusannya di dunia ini. Berita kematian arwah Juli Suharni Jaafar, Editor Sukan Brunei Times, yang diterima lima hari sebelum Syawal masih susah nak aku lupakan. Sekarang ni pun setiap kali teringatkan arwah, aku akan teringat banyak perkara-perkara bodoh, suka dan "merbahaya" yang kami buat berdua.

 Masa aku terima berita kematiannya, aku numb. Aku mula berkira-kira apa yang perlu aku buat? Ikut hati waktu itu, aku nak terbang terus ke Brunei. Suara Sue sebak di telefon. Dia pun tak boleh buat apa-apa sebab dia sudah di Kelantan. Okey, aku kata, kita inform kawan-kawan yang lain. Jadi, dalam perjalanan ke pejabat, aku tak putus-putus menelefon kawan-kawan yang mengenali arwah.

Alhamdulillah, urusan membawa pulang jenazah dari Brunei tidak mengalami masalah besar. Walaupun tinggal beberapa hari untuk menyambut Eidulfitri, pihak keluarga dibantu oleh kedutaan kita di sana menguruskan untuk membawa pulang jenazah secepat mungkin. Dalam masa dua hari urusan selesai dan jenazah disolatkan di kedutaan lantas di bawa pulang ke Malaysia.

Aku terus minta cuti kecemasan untuk pergi ke Yan, Kedah kerana jenazah akan dikebumikan di sana. Dengan dua orang hero Korea kami memandu terus ke Kedah. Alhamdulillah perjalanan kami pun lancar. Jumpa dengan dua kawan yang menunggu di sana. Selepas berbuka, kami bertolak ke rumah keluarga arwah sementara menunggu jenazah yang bergerak dari KLIA kira-kira jam 7 malam.

Jenazah tiba di Masjid Jamek Yan kira-kira jam 2 pagi. Terus disolatkan. Aku, akuatik, Mimi, Deal ikut solat jenazah. Rasa puas dalam hati sebab dapat berbakti buat kali terakhir untuk arwah. Kira-kira 2.45 pagi, semuanya selesai. Mak arwah minta aku tabur bunga di pusara, tapi aku menolak. Rasa tak cukup kuat waktu itu. Aku takut air mata yang aku tahan, mengalir depan mak dan keluarga dia.

Aku dan arwah bukanlah sahabat yang teramat baik, tapi kami memahami satu sama lain. Apatah lagi pernah sebulan mengembara bersama-sama dan pernah juga jadi rakan serumah. Bila aku belajar di Glasgow, dia pula mendapat kerja di Brunei. Arwah pernah juga datang melawat aku di UK dan kemudian melancong seorang diri ke Madrid. Arwah seorang wanita yang sangat pandai berdikari, cool dan jarang luahkan masalahnya.

Kami memang mempunyai personaliti bertentangan. Aku agak cepat panik tapi arwah seorang yang sangat sabar. Kalau nak tahu dia anxious atau bimbang, tengok aje goyangan kakinya. Itu habit yang sangat ketara pada diri arwah. Bila dia bimbang, dia akan goyangkan kakinya. Makin bimbang makin laju. Em mengingatkan aku hari tu waktu kami berjalan-jalan ke Eropah pada musim sejuk beberapa tahun lepas. Satu kejadian waktu kami menunggu penerbangan ke London. Macam biasa, pesawat Easyjet (ala-ala Air Asia) terlewat untuk ke London. Sedangkan seorang sahabat sedang menunggu kami di sana untuk sama-sama ke Prague. Em tanya: "Sempat ke Jud?" (Em saja yang panggil Juli, Jud). "Insya-Allah, sempat," balas Juli dengan wajah selamba, tapi kakinya laju bergoyang. Em tak berani nak tanya aku sebab muka aku dah cuak. Waktu tu aku cuma fikir, kalau delayed macam mana dengan kawan yang menunggu di Heathrow? Takkan dia seorang diri akan ke Prague? Sedangkan kami dijadualkan tiba di Prague, waktu malam. Bukannya pernah seorang daripada kami ke sana sebelum ini. Aduh! Banyak yang aku fikir waktu tu. Tapi, bila kami berempat akhirnya selamat tiba di Prague, barulah arwah beritahu aku, waktu Em tanyakan sempat atau tak sempat untuk kami tiba di London, dalam hati dia tak putus-putus berdoa semoga semunya selamat. Ya, aku pun sama. 

Arwah selalu tunjukkan sifat laid-back dia pada kami. Dia jarang tunjuk kalau dia bimbang. Tiap kali akulah yang push dia suruh cepat, sebab takut tertinggal bas, teksi kereta api, atau flight. Aku ingat kali pertama kami keluar traveling bersama, aku jadi drill sargeant untuk pastikan kami siap breakfast, kejar bas, kereta api, atau berusaha untuk booking hotel. Sampai tiap kali kami pergi traveling sama-sama lagi lepas tu, dia akan kata, "Tak payah risau dah, mommy ada."

Arwah seorang yang sangat-sangat murah hati. Jarang sangat berkira soal duit. Dan satu lagi perangai arwah yang selalu buat aku membebel dengan dia, dia akan go all out untuk menggembirakan orang lain (yang buat aku membebel, kadang-kadang orang tu bukanlah orang yang rapat dengan dia). Tapi, memang itu kemurahan hati dia. Kalau dia belikan hadiah untuk orang (biasanya jersey sukan atau F1) dia takkan beli yang cikai atau murah. Dia mesti akan cari sampai dapat (heret aku sekali sampai aku kepenatan dan akhirnya membebel kat dia) yang original. Jawabnya, bila aku membebel - "Aku tak beli yang cetak rompak punya, mat." (mat panggilan biasa beliau untuk kawan-kawan).

Dari segi kerja pula, arwah seorang yang last minute perfectionist. Walaupun buat di saat-saat terakhir, dia mahu kerjanya sempurna. Arwah seorang yang sangat meminati sukan. Jadi, kalau kami berjalan bersama-sama, perlu dipastikan kami akan melawat stadium bola. Setakat ini dengan arwah, aku dah menjejaki ke yang wajib, Stadium Santiago Bernabeu di Madrid, Amsterdam Arena, Sparta Prague, Seoul Stadium antaranya dan A1 Ring di Zeltweg. Ingat lagi katanya, kalau berjalan-jalan ke luar negara, tempat wajib kita kena pergi, mesti ke stadium. Arwah memang sayangkan anak-anak buah di tempat kerja. Selalu buat makan-makan atau belikan barang-barang (walaupun dia orang tu anak orang kaya).  

Mungkin atas sebab kemurahan hatinya itu, Allah memberi rezeki berlipat ganda dengan memanggilnya semula pada bulan penuh berkat, bulan Ramadan, pada 10 malam terakhir. Tak perlulah aku kata apa penyakitnya, cuma harapnya kita semua jaga kesihatan dan kalau ada rasa sakit-sakit tu, cepat-cepatlah berjumpa doktor.

Realitinya di sini, mati itu pasti. Arwah telah selesai urusannya di dunia ini dan kini aku harap arwah tenang di sana. Walaupun kami tidak terlalu rapat, aku selalu anggap kami seperti old married couple. Tak perlu beritahu apa yang kami suka, kami faham sendiri. Bagi aku, arwah kadang-kadang macam support pillar dan pemergiannya memang sangat-sangat aku rasai.

Semoga kau tenang di sana Juli Suharni Jaafar. Insya-Allah aku akan selalu titipkan doa untukmu.  

Arwah Juli sewaktu melawat aku di Glasgow.

2 comments:

akirasuri said...

Semoga rohnya dicucuri rahmat & di tempatkan dalam kalangan orang yang beramal soleh. amin. T___T

NGINAP SRENGENGE @ SRENGENGE said...

Cukup menyentoh hati.....Al-fatihah