Thursday, May 30, 2013

Keladak Jiwa

Assalamualaikum...

Sudah lama tak menulis untuk meluahkan apa yang terbuku dalam jiwa. Bukan apa, rasa semangat untuk menulis semakin pudar. Bukan setakat untuk menloret tulisan di sini, malah projek dua buku masih terbengkalai. Payah sungguh mencari semangat yang hilang dan terbang ditiup angin. Perlu dikutip satu demi satu... perlahan. Namun Insya-Allah.. 

Bercerita tentang hati, aku dalam persimpangan yang sukar. Membantu demi sahabat atau berputus asa kerana sikapnya yang kadang-kadang aku anggap seperti tidak serius.Benarlah untuk melakukan sesuatu itu, kita perlu bermula dengan niat. Dan yang terbaik sesuatu niat itu adalah Lillahi Taala. Niat kerana Allah itu adalah yang terbaik kerana hidup dan mati kita adalah untuk Allah SWT semata-mata. Memahami perkara ini satu perkara tetapi benar-benar menerimanya adalah satu perkara yang lain.

Persahabatan yang dimulakan dengan niat membantu menjadikan kami akrab dengan terlalu cepat. Tapi masalahnya persahatan yang terjalin ini adalah di antara dua jantina yang berbeza. Dia lelaki dan aku perempuan. Sepatutnya ada batas di antara kami tapi nauzubillah aku terlupa bahawa kami sepatutnya tidak terlalu akrab namun kerana aku menganggap dia sebagai sahabat, batas ini aku langgar begitu saja. Aku melihat dia sebagai sahabat baik sehingga lupa bahawa dia seorang lelaki terlebih dahulu.

Jangan fikir yang bukan-bukan. Maksud aku, kami sering keluar bersama: makan, minum, tengok wayang.. semuanya berdua.. cuma kadang-kadang bertiga atau berempat. Inilah orang kata ujian anak dagang. Hidup di negara orang perlu pandai bawa diri. Apabila bertemu dengan sahabat yang sama-sama mempunyai idea, minat dan mudah diajak berbual, perhubungan pasti menjadi rapat sebab kami berkongsi minat. Namun, kita manusia, buat kesilapan itu adalah sebahagian daripada sifat manusia. Tiada pernah terlintas di fikiran aku untuk melakukan perkara terkutuk, malah tersentuh kulit pun aku akan berjaga-jaga. Tapi itulah sifat manusia... dijaga yang satu, teralpa pula yang lain.

Apabila sudah hampir setiap hari bersama, maka banyak juga yang kami kongsikan. Dari apa yang aku faham tentang dia, dia mahukan perubahan dalam hidupnya. Cuma kadang-kadang aku jadi keliru, antara perbuatan dengan niat yang ditunjukkan. Mahu berubah atau tidak? Apakah dia tidak serius dengan niat yang dia lontarkan hampir setiap kali kami berbual perkara-perkara serius? Atau aku yang terlalu menghukum dia tidak serius dengan niatnya itu? Sengal ke mamat ni?

Pleaselah don't give up on me

Ayat ini pernah dia luahkan pada aku, saat aku rasa apa yang aku usahakan selama ini seperti mencurah air ke daun keladi. Tapi, hati perempuan.. sekeras-keras atau sekering-kering hatinya, bila dirayu begini pasti cair, kan? Aku meletakkan diri aku sendiri dalam situasinya dan sudah pasti aku tidak mahu sahabat aku tiba-tiba rasa lelah dan angkat bendera putih. Lagipun aku pernah melalui situasi di mana sahabat-sahabat membelakangkan aku atas kesilapan bodoh yang aku lakukan. Aku kembali mencari hikmah Allah. Mungkin ini ujian Allah kepada aku yang selalu tidak sabar dengan orang yang banyak kerenah. Yang tidak suka menyukarkan perkara yang mudah. Kalau hendak berubah... mesti berusaha berubah bukan berbolak-balik ke sana ke sini. Aku yang bersikap keras. Apakah Allah temukan kami untuk menguji kata-kata riak atau takbur yang pernah aku lontarkan sebelum ini? Ya Allah.. aku reda!

Aku selalu berfikir untuk berubah memang kita perlu berusaha untuk berubah, tapi aku terlupa tahap kekuatan jiwa dan semangat seseorang itu tidak sama. Usia tidak menentukan kebijaksanaan seseorang. Akal yang waras akan mengajar hati untuk membantu mengambil tindakan yang betul. Tapi dalam situasi tertentu hati yang akan mengawal akal di mana hati yang tidak stabil akan menyebabkan akal kurang waras dan tindakan yang tidak wajar.

Dia selalu ingatkan aku supaya tidak bersikap prejudis atau menghakimi kerana Allah yang berhak menghakimi seseorang. Bukan cara hidup seseorang itu yang penting tetapi pengakhirannya ketika dia bertemu dengan Penciptanya. Tapi aku ingatkan dia dan diri kita bahawa sebagai orang Islam kita ada code of conduct yang perlu kita ikut. Benar Allah itu Maha Hakim dan Maha Adil dan Hak-Nya untuk menghakimi hamba-Nya tetapi sebagai hamba-Nya kita perlu berusaha untuk menggembirakan Allah, bukan untuk Allah tetapi akhirnya untuk diri kita sendiri. Kita berusaha dan berserah bukan berserah tanpa berusaha.

Di sinilah aku menjadi keliru. Perlukah aku terus bersahabat dengannya dan tidak terus putus asa walaupun kadang-kadang sikapnya melelahkan aku dan meletakkan aku dalam situasi sukar atau aku biarkan saja dia dengan cara hidupnya yang bersandarkan niat tanpa usaha? 

Berat hati aku jadinya.. apatah lagi tiap kali melihat whatsapp dari dia... "Pleaselah don't give up on me"



 
 


1 comment:

sufiyyah zulkifli said...

sangat tak perasan ada update!
hm.
'please don't give up on me' - sangat... touche. hu.