Wednesday, September 09, 2009

10 malam terakhir

Bila dah hampir ke penghujung Ramadhan ni, aku jadi kembali sayu. Teringatkan arwah abah. Masuk saja 10 malam terakhir, arwah abah akan mengimarahkan masjid untuk beriktikaf. Selalunya arwah abah akan tinggalkan rumah sekitar tengah malam dan beribadah di masjid sehinggalah waktu bersahur. Semenjak berpindah di Melaka, masjid pilihan abah mestilah Masjid Kampung Ulu. Selalunya abah memang pergi sendiri. Masa orang lain sedang enak tidur, abah akan hidupkan enjin kereta dan memandu seorang diri ke Masjid.
Biasanya sebelum keluar, dia akan solat tahajud dulu. Kemudian dia akan kejutkan mak dan beritahu dia dulu.
"Ti, abah pergi masjid."
Dan emak akan bertanya, "Abah balik sahur tak?"
"Balik."
Arwah abah memang suka bersahur dengan keluarga sebenarnya. Kita cari pahala lebih di bulan puasa, pesannya selalu pada aku yang selalu malas nak bangun sahur. Memang aku ni jenis yang sayang tidur dari bangun sahur. Sejak dari zaman sekolah hinggalah ke zaman kerja. Sekarang ni bila dah kembali ke zaman sekolah, barulah pesan arwah abah ini aku ikut. Aku bangun sahur.
"Alah, abah.. dah terlepas waktu imsak!"
Dengan tenang abah kata, "Memanglah lebih baik melambat-lambatkan sahur, tapi imsak tu sebagai peringatan. Nak bagi nasi turun nak bagi orang sempat bersugi. Tapi kalau dah terlambat sangat tu nak buat macamana? Selagi belum azan, makanlah, minumlah."
Kadang-kadang abah bawak bekal air kopi setiap kali dia pergi beriktikaf. Buat penambah tenaga tatkala mengalunkan ayat-ayat suci kalam Allah, ataupun ketika penat bersolat sunat tengah malam, hajat atau solat taubat. Seingat aku cuma sekali saja abah balik awal dari selalu. Emak pun terperanjat bila dengar enjin kereta masuk ke perkarangan rumah. Selalunya kalau tak pukul 4am abah tak balik lagi. Ini baru pukul 2am, abah dah memulas tombol pintu rumah.
Bila ditanya kenapa balik awal, abah cuma senyum aje. Dia kata badan tak sedap. Emak akan rasa badan dan dahi abah. Dingin. Tak pulak rasa panas.
"Abah sakit kepala ke?"
Abah memang ada migraine. Malah, abah masuk kelab Migraine di Melaka. Selalunya kalau migraine abah datang, dia akan duduk diam-diam di kerusi di ruang tamu atau tidur terus.
"Tak," jawab abah ringkas.
Bila dengar jawapan abah, emak langsung tidak puas hati. "Mesti ada sebab kenapa abah balik awal," terjah emak. Dia berdiri dan tenung dalam mata abah. Sudah hampir 40 tahun berkongsi kasih, sudah pasti emak dapat baca perangai abah.
"Di tegur tadi, kat masjid," jawab abah ringkas. Dia terus masuk bilik, tukar pakaian dan baring. Emak pula akan terus ke bilik air untuk ambil wuduk dan buat solat tahajjud. Kadang-kadang disambung terus dengan solat hajat dan taubat. Selesai, mak akan duduk di kerusi di ruang tamu dan sambung bertadarus seorang diri.
Bila sudah tiba masa untuk bersahur, emak terus ke dapur menanak nasi. Memang sikap emak tak suka hidang nasi semalam. Dia juga suka masak lauk baru. Memang jarang kami bersahur lauk lebihan berbuka. Selalunya emak akan goreng sayur dengan goreng ikan atau ayam. Ringkas.
"Siapa yang tegur abah?" Tanya emak, bila teringat cerita abah yang tidak habis, tadi.
Abah senyum saja. "Tengah sedap mengaji kat masjid, tiba-tiba ada suara bagi salam. Abah ingat ada orang nak beriktikaf sama..."
"Abah seorang je ke kat masjid tu atau ada orang lain?"
"Seorang."
"Lepas tu?" tanya emak lagi. Air dalam cerek elektrik sudah menggelegak. Punatnya terjentik otomatis. Emak angkat cerek elektrik dan air dicurah ke dalam teko berisi teh dan gula. Emak godak air teh dengan perlahan. Wap panas nipis berputar-putar naik.
"Abah toleh belakang, tengok tak ada orang. Abah teruskan mengaji. Elok aje, dengar lagi suara orang bagi salam lagi."
Abah senyum lagi. "Apa lagi, abah terus angkat kakilah. Dalam hati abah kata ni bukan orang ni. Tak mahulah kena usik macam ni."
Emak ketawa aje dengar cerita abah. "Habis tu, malam esok nak pergi lagi tak?"
"Bagi relaks satu dua malam dulu kot. Lepas tu baru pergi balik," jawab abah.
Abah berseloroh saja, sebab esoknya abah keluar malam lagi. Tapi, kali ini dia kata dia nak pergi ke masjid lain pula. Sayang pula kalau masjid kosong di bulan-bulan mulia macam ni. Datangnya sebulan setahun dan untuk memburu Lailatul-Qadr pun hanya sepuluh malam terakhir. Apa salahnya kita imarahkan masjid.
"Dik, memang perempuan tidak diberatkan untuk beriktikaf di masjid, tapi kalau boleh buatlah solat-solat sunat di rumah," pesannya tiap kali masuk bulan Ramadhan.
"Kalau tak sempat nak berterawih di masjid, buat seorang diri kat rumah pun tak apa. 8 rakaat dengan 3 rakaat witir. Kalau ada masa tu buat sekali solat hajat dan tahajjud. Buat sekali solat sunat taubat. Baca Quran tu jangan lupa. Lancarkan bacaan yang tergagap-gagap."
"Inilah masa kita kumpul pahala sebanyak mungkin. Sentiasa mohon sesuatu dari Allah sebab Dia suka kalau hambaNya memohon dan meminta dariNya. Kalau bercuti pun bukan bermakna kita tak boleh kumpul pahala. Selalu berwirid, berdoa, pahalanya berganda bila dibuat di bulan Ramadhan," pesannya melalui telefon, lewat Ramadhan tahun lepas.
Abah tahu anaknya ini selalu alpa jadi dia selalu mengingatkan. Insya-Allah aku akan cuba buat yang terbaik terutama 10 malam yang terakhir ini untuk memburu Lailatul-Qadr.

Diriwayatkan dari Aisyah ra. Sesungguhnya Rasulullah saw. telah bersabda : berusahalah untuk mencari lailatul qadar pada sepuluh malam terakhir. (HR Muslim )
Diriwayatkan dari Aisyah ra. dia berkata : Adalah Rasulullah saw mengamalkan i'tikaf di dalam masjid pada sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadhan. (HR Muslim )
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda (yang artinya), “Barangsiapa berdiri solat pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap pahala dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari dan Muslim)
Diriwayatkan dari Aisyah ra. dia berkata, "Ya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, apa pendapat mu jika aku tahu bila akan berlaku malam Lailatul Qadar, apa yang harus aku ucapkan?” Beliau menjawab, “Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘annii". ("Ya Allah, Engkau Maha Pengampun dan mencintai orang yang meminta ampun, maka ampunilah aku.”) (HR Tirmidzi)

8 comments:

Dura said...

Ny - N3 kau ni aku rasa macam baca novel pun ada..cerpen pendek pun ada.. W/bagaimana pun n3 kau ni berjaya membuat hati aku sayu ..hiba..tak boleh nak cakap ..sedih sgt ..

Nur,Bintun Wan_AbZa said...

Salam..kehilangan orang yg trsyag membuatkn kite akan ingat segale pesanan die dulu2...waktu diorang ade bkn x ingt tp, leka maybe...sy kehilangan ayah sy 2thn lepas n this make me feel too bad..sy hilang org utk kongsi cerita, debate n teman utk wat mcm2...sy kene nmpk kuat dmata family n especialy my mum..even wkt ayah xde dulu, mak x menitiskn air mate pn...tp hati die x sape tau..For this last 10 days of ramadhan, tgh cube sedaya upaya utk memenuhknnye dgn various of ibadah yg kite blh wat..for yg uzur pn blh take advantage...semoga diberi kekuatan oleh Allah..n May Allah Bless Us..

rezeki said...

Salam Khairyn,

N3 ini mengingatkan saya pada arwah ayah saya . Walaupun dia mmg seorg yang garang, kalau tidak mungkin saya tak jadi org agaknya.Semoga roh mereka di tempatkan di kalangan org yg beriman.

Semoga 10 mlm terakhir ramadhan dimanafaatkan dgn lebih2 lagi ibadatnya.

Surat al-Qadar ayat :1-5 )
Maksudnya : " Sesungguhnya kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar? malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara ( yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikut ) . Sejahteralah malam ( yang barakah ) itu hingga terbit fajar " .

khairyn said...

Salam

Dura
:|
Rindu masih lagi menggebu terutama dalam bulan Ramadhan ni. I guess the memory is still strong and the pain is still raw while the guilt will remain in my heart forever :(

Nur,
Arwah memang guru saya. Sangat sabar mendidik saya dengan caranya yang lembut. Terasa memang sangat kehilangan ditambah lagi dalam bulan mulia ni. Semoga Allah lapangkan kubur mereka, dijauhkan siksa kubur dan siksa api neraka. Amiin. Semoga kita juga sentiasa dalam rahmatNya dan dalam barakah. Dipermudahkan urusan dunia dan akhirat. Dijauhkan dari manusa yang berhasad dengki dan dilindungi dari segala aib. Amiin ya rabbul alamin.

rezeki
salam
Mungkin masih lagi baru kehilangan beliau maka rasa rindu tu masih lagi membuak, apatah lagi ini ramadhan dan syawal pertama beraya tanpa beliau.
Arwah abah memang lembut orangnya. Saya pula agaknya kalau abah garang mungkin saya yang tak jadi 'orang'. Saya anak yang degil dan keras kepala :(
Semoga kita sama2 berusaha dan berjaya memburu Lailatul Qadar. Dan Selamat Menyambut Eidul Fitr untuk rezeki dan keluarga :)

Noor said...

Salam.. dear khairyn,

catatan saudari membuat saya mengalir air mata.. ayahda saya juga akan berjaga malam sejak dari awal ramadhan hingga akhir.. tidur nya cuma sekejap sahaja.. terdengar-dengar alunan surah2 Al-Quran dan zikir2 nya..

saya kehilangan ayahda yang tersayang ketika baru habis belajar.. tak dapat nak balas segala jasa nya.. ayah saya kadangkala dia boleh menjadi tersangat garang dan kadangkala nya dia boleh menjadi org yang sangat lembut.. dan diantara 3 anak2 nya.. sayalah yang paling 'terjal' dan jenis tak makan saman.. sejak kehilangan nya syawal kami sudah hilang serinya.. semoga roh ayahda saya & ayahda saudari dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa2 mereka.. amin..

psstt.. kunun2 nak jawap komen you yang kat blog en. rezeki.. tapi bila mai lawat umah you.. tetiba hilang semua kata2.. rindu pulak yang menjelma..

p/s: salam perkenalan dari damansara...

LEELOO-ELLEMILANO7 said...

Ny : betul ler mcm Dura cakap, dah rasa mcm baca novel pun ada...boleh rasa mcm aku pun ada sama dalam watak2 itu (aku nak ambik watak dok bertenggek kat meja makan sambil tunggu mak masak..hehehehe)

Unknown said...

Salam,

Ny, aku pun tak tau camana kami raya tahun ni tanpa mama.... :(
Takmo tulih bebanyak.. kang banjir lak.. ko bukan tak tau aku. huhuhu....

artikel ko kuar hari ni kat berita harian...
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Agama/20090910225534/Article/index_html.

Zurd

khairyn said...

Salam Noor
Salam perkenalan dari Glasgow :)
Ini cuma catatan rindu saya pada arwah abah. Mungkin masih baru dan rasa kehilangan tu sangat terasa. Kali terakhir berjumpa dan memeluk dia sewaktu saya hendak ke sini 3 tahun lepas.
Saya pun anak yang keras kepala. Saya doakan Allah ampunkan dosa ayahanda kita dan arwah abah ampun kan dosa-dosa saya padanya :|

Elly
:)
Dan aku pun bertenggek sama dengan kau tunggu mak habis masak :)

Zurd
First syawal tanpa orang yang paling kita sayang.