Kuasa


Posted by khairyn at Monday, April 26, 2010 11 comments
Sekarang ni, rajin sangat mengantuk. Megadap PC pun rasanya boleh tidur dengan jayanya. Dua jam masa berlalu dengan tidak produktif sekali. Selama dua jam aku asyik tenung tiga barus ayat di Word2007. Bila nak habis ni? Mata memang rasa nak terkatup. Kalau ada dua batang lidi agaknya dah aku sendal kat kelopak mata. Payah betul nak fokus. Asyik ternguap-nguap aje padahal kerja nan satu ni harus dilangsaikan sebelum minggu berakhir. Ya Allah! Hindarkan sifat malas dan bagi semangat untuk aku habiskan kerja yang terakhir ni.Posted by khairyn at Thursday, April 22, 2010 2 comments
Di Madinah
"Janganlah kalian mengatakan terhadap orang yang terbunuh di
jalan Allah itu mati, tetapi orang itu tetap hidup, tetapi kamu tidak dapat
merasakannya /memahaminya"
Berat hati nak meninggalkan bumi Madinah. Rasa separuh hati sudah tertinggal di sini. Walaupun berat, aku tak sedih nak tinggalkan Rasulullah s.a.w sebab aku yakin suatu masa nanti aku akan ke sini lagi. Mengucap salam buat baginda. Pengalaman pertama menunaikan umrah dan ziarah ni takkan aku lupa sampai bila-bila dan kalau boleh aku tak mahu ganti dengan pengalaman kedua atau ke tiga. Aku mahu pengalaman seterusnya adalah rukun yang ke 5. Aku mahu kalau diberi rezeki lebih, dapat berkongsi pengalaman pertama dengan mereka yang terlalu ingin ke sini tetapi tidak berkemampuan. Tekad aku kalau boleh, aku mahu membantu mereka yang tidak mampu tetapi rindu untuk menjadi tetamu Allah dan tetamu Rasulullah s.a.w merealisasikan impian mereka. Semoga Allah jauhkan sifat tamak haloba dari hati aku dan dapat berkongsi rezeki bersama-sama mereka yang tidak berkemampuan.Posted by khairyn at Friday, April 16, 2010 17 comments
Ke Shopping Complex.
Melangkah masuk, kami berlegar-legar di dalam. Perut yang sememangnya kosong minta diisi. Nampak Ayam Taza (dulu pernah ada Taza di KL tapi dah tutup). Ingatkan boleh duduk makan di dalam restoran, tapi rupa-rupanya kena beli take away. Hurmm... nak makan apa ye? Tengok harga, aduh! Telan air liur pahit. Fikir punya fikir, kami buat keputusan kita makan Ayam Broast. Ingatkan Ayam Broast tu Roast Chicken tapi rupa-rupanya ayam goreng saja. Beli yang set dan kami duduk makan bertiga ala-ala piknik di dataran menghadap pintu masuk King Abdul Aziz. Di situ juga kami kenal kedai jual donut House of Donuts yang sedap dan punya 150 cawangan di dalam Kingdom :) Tapi, lagi sekali harga satu donut itu ... ya ampun!! SR4 hingga SR5. Kalau kat Greggs, harga satu donut tak sampai pun £1. Setakat 60p hingga 80p satu.
Malam terakhir di Makkah, kami ke shopping complex Abraj Al Bait pula. Hendak melihat keadaan dalam yang posh itu. Dari jauh aku sudah dapat melihat kedai kopi terkenal Starbucks. Sekali lagi aku beristighfar. Yahudi sudah menapak di dalam Haraam. Perlu apa diperang orang Yahudi lagi kalau mereka sudah dijemput ke dalam Haraam? Berpusing-pusing kami di dalam pusat membeli belah mewah itu. Nampak jenama-jenama yang biasa ditemui di UK dan Glasgow. Misi orang tak ada kerja - kami masuk ke kedai menjual beg dan kasut kulit. Mencari sekiranya ada kasut-kasut yang dibuat menggunakan kulit babi. Butik Aldo menjadi sasaran kami kerana biasanya barangan jenama Aldo memang banyak menggunakan kulit khinzir. Satu demi satu kami belek, hanya satu yang kelihatan agak was-was. Aku hanya mampu menggelengkan kepala. Semoga Allah melaknat mereka yang lalai dan menindas!
Sungguh! Melihat sekitar kawasan yang mewah itu sungguh menyedihkan aku. Berapa peratuskah jemaah haji dan umrah yang mampu tinggal di hotel-hotel mewah dan membeli belah di butik-butik mahal? Mengapa mereka yang mampu ini diberikan lebih kesenangan sedangkan jemaah yang mengumpul duit separuh hidup untuk datang ke sini beribadah seperti dianak tiri dan tinggal jauh dari masjidil haram? Mengapa mereka yang kurang mampu ini tidak diberi kesamarataan hak untuk tinggal tidak jauh dari masjidil haram? Melihatkan jemaah-jemaah dari Turkey sangat-sangat menginsafkan kami. Entah di mana agaknya hotel-hotel mereka kerana bas-bas mereka sering menunggu tidak jauh dari hotel kami. Bayangkanlah sudahlah berjalan kaki hampir 1 kilometre dari masjidil haram ke lokasi bas yang menunggu, terpaksa pula meneruskan perjalanan dengan bas ke hotel mereka. Jauh sungguh kan? Semoga Allah merahmati semua jemaah Turkey yang kuat semangat mereka kerana sanggup berpenat lelah saban hari untuk beribadah di masjidil haram.
Untuk Subuh yang terakhir, kami bersolat di bahagian bawah. Semoga tiang-tiang besar dan lelangit indah yang diterangi cahaya dari lampu-lampu di dewan solat menjadi saksi kami bersolat di sini. Pandangan Kaabah aku dilindungi tiang-tiang yang besar tapi aku tetap gembira. Aku tak mahu merebut multazam atau pancur emas atau maqam Ibrahim sebab kata-kata seorang makcik yang diulang oleh Akuatik kepada aku benar-benar menginsafkan. Kita berada di dalam masjidil haram, di mana-mana pun doa kita ini mustajab (InsyaAllah) bukan setakat di multazam saja. Yep! Aku setuju!
Kami terus bergerak ke dataran Kaabah untuk melakukan tawaf wida'. Sekali lagi aku tak rasa sayu untuk tinggalkan Baitullah. Aku berfikiran positif yang suatu hari nanti aku akan ke sini lagi. Aku tak ucapkan selamat tinggal, bukan adieu (goodbye) tapi au revoir (see you later). Ya Allah, InsyaAllah aku akan ke sini lagi :) Pasti!Posted by khairyn at Thursday, April 15, 2010 10 comments
Bonus
Aku keluar dengan keadaan tudung yang senget benget tapi bibir tersenyum puas sampai ada hajah tegur aku. Hajarul Aswad? Soalnya. Aku hanya mengangguk sambil tersengih. Dalam keadaan terhuyung-hayang aku berjalan ke kawasan multazam dan cari tempat untuk bersolat. Dalam sengih-sengih aku terus buat sujud syukur. Syukur diberi nyawa untuk hidup beberapa hari lagi di muka bumi ini dan syukur diberi peluang mengucup batu syurga yang tak pernah termimpi oleh aku untuk melakukannya. Kemudian, aku bangun dan terus buat solat sunat tawaf.
Posted by khairyn at Wednesday, April 14, 2010 8 comments
Destinasi ziarah kami yang pertama adalah Jabal Tsur. Oh! Yang pasti kami tidak mendaki. Setakat berhenti di bawah dan mengambil gambar dari situ saja. Ustaz kata kalau mendaki, mungkin mengambil masa 2-3 jam. Itupun sekiranya mendaki laju. Kalau lambat, hurrmmm... sampai maghrib tak tentu turun lagi. Ia dikenali sebagai Tsur sebab bentuk bukit tersebut seperti belakang lembu jantan. Dari Jabal Tsur, kami menghala ke Arafah. Ustaz beri penerangan tentang pembesaran Masjid Namirah terkeluar dari Arafah. Jadi berhati-hati selepas solat Zuhr dan Asar di situ. Jemaah Haji harus memastikan mereka berada di Arafah waktu wukuf. Kalau tak Haji mereka tidak sah. 


Perjalanan di teruskan lagi ke Muzdalifah dan seterusnya ke Jabal Nur di mana terletaknya Gua Hira'. Memandang ke jabal Nur, hati terdetik. Bersungguh-sungguh Rasulullah s.a.w memanjat bukit tinggi ini semata-mata hendak melarikan diri dari keadaan huru-hara di Makkah, mencari ketenangan dan berkhalwat di dalam gua. Terkenang juga kegigihan Sayidatina Khadijah, isteri kesayangan baginda yang memanjat bukit tinggi ini demi menghantar makanan untuk suami tercinta. MasyaAllah, indahnya hubungan cinta antara Rasulullah s.a.w dan Khadijah. Bukti kasih dan cinta seorang isteri kepada suaminya dan bukti cinta sejati Rasulullah s.a.w kepada Allah s.w.t Hati sendiri tertanya-tanya, kalau aku di tempat Khadijah, mampukah aku jadi seperti dia? Subhanallah!
Sebelum pulang ke Makkah, kami ke Tanaim dulu untuk Miqaat umrah ke 2. Bas berhenti di Masjid Sayyidatina Aisyah. Keadaan agak sibuk sewaktu kami tiba. Ada beberapa buah bas yang membawa jemaah umrah yang lain turut berhenti di masjid ini untuk bermiqaat. Kebanyakan jemaah yang kami temui di sini datang dari Malaysia dan Indonesia. Alhamdulillah dapatlah menunaikan solat sunat dan seterusnya bermiqaat dan kembali ke Makkah untuk bersolat zohor dan seterusnya menunaikan ibadah umrah kali ke 2.
Posted by khairyn at Wednesday, April 14, 2010 7 comments
Pukul 9.30am kami berkumpul di Heathrow Terminal 1 untuk proses check in. Dugaan Allah yang pertama. Sistem komputer rosak jadi semua kerja-kerja harus dilakukan secara manual. Bayangkan dari pukul 10am beratur hingga pukul 12, masih tak selesai lagi urusan di kaunter. Selesai aje urusan check-in, kami terus ke atas untuk sekuriti, dan kejar penerbangan yang sudah menunggu. Haish! Orang Arab memang buat kerja tak berapa nak senonoh. Tapi, redha ajelah. Lagi sekali, lepas solat Zohor dan jama' Asar, sepanjang jalan tu aku tdur aje. Bangun masa makan dan miqaat saja.
Selesai ibadah Saie, aku rasa lega ya amat-amat. Alunan azan yang pertama mula berkumandang mengingatkan umat supaya bersedia untuk menunaikan solat Subuh. Ah! Sudah hari baru di Makkah al Mukarramah. Kami mula bergerak meninggalkan kawasan Saie dan mencari tempat untuk bersolat. Inginnya bersolat di hadapan Multazam tapi kawasan itu dah penuh. Aku berkeputusan untuk naik ke tingkat atas dengan harapan dapat mencari tempat yang selesa, berada di hadapan dan memandang Kaabah ketika bersolat. Alhamdulillah, Allah tunaikan hajat aku, kami dapat ruang yang luas dalam keadaan yang nyaman.Posted by khairyn at Monday, April 12, 2010 10 comments
Selamat tiba ke Baitullah 4 hari lepas. Alhamdulillah. Tiada internet tapi dapat talian terus dengan Allah. Subhanallah.
Posted by khairyn at Monday, April 05, 2010 9 comments
PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. kini memperkenalkan kehadiran novel fantasi remaja Tunnels karya Roderick Gordon dan Brian Williams terjemahan Bahasa Melayu.
Dulu Harry Potter, kini muncul Will Burrows, ahli arkeologi remaja.
Barry Cunningham, Pengarah Urusan Chicken House Publishing, adalah nama besar dalam penerbitan buku kanak-kanak dan remaja. Daripada Roald Dahl hinggalah J.K Rowling. Sebagai ‘peneroka’ Harry Potter, kini beliau memperkenalkan dua penulis baru dari Britain, Roderick Gordon dan Brian Williams sebagai ikon yang hebat dan terkini dalam dunia buku remaja
Karya best seller
Tunnels, sebuah novel fantasi yang dikenali sebagai ‘The next Harry Potter’ di Britain. Mengisahkan seorang remaja yang menemui dunia yang hilang jauh di bawah perut bumi di kota London. Ia adalah salah satu karya best seller di Britain pada tahun lalu dan bakal difilemkan tidak lama lagi. Kini Tunnels telah di lesenkan untuk diterjemah ke dalam 34 bahasa asing.
Penulis karya yang pada asalnya diterbitkan dengan judul The Highfield Mole ini bijak memanipulasi bahasa melalui personafikasi dan diksi khususnya bagi mencipta elemen misteri, suasana tragis dan dramatik serta plot perumitan dan klimaks yang penuh emosi. Tunnels pasti dapat menawan hati remaja yang berusia 10 tahun ke atas terutama bagi mereka yang sukakan kisah pengembaraan yang mencabar dan misteri.
Dunia Will Burrows
Adunan kisah realiti dan fantasi, Tunnels akan membawa kita menerokai dunia Will Burrows seorang remaja yang membesar dalam keluarga yang agak ganjil dan ‘tidak berfungsi’. Ibunya hanya menghabiskan masa di depan televisyen dan tidak mengendahkan keluarga. Segala tanggungjawab diambil alih oleh Rebecca, adik kepada Will. Bapanya, Dr. Burrows merupakan seorang ahli arkeologi yang bekerja di muzium yang sentiasa menyimpan cita-cita besar untuk menjadi terkenal dengan hasil-hasil penemuannya.
Keadaan rambut dan kulit Will yang kelihatan berlainan daripada orang lain menyebabkan dia disisihkan oleh kawan-kawannya. Sejak itu, Will sentiasa membantu ayahnya melakukan kajian tentang penggalian dan mencari bukti tamadun purba yang telah lama hilang di telan zaman. Ini membuatkan dia mula minat dalam bidang arkeologi hinggakan dia memiliki projek penggaliannya yang tersendiri.
Selepas ayahnya tiba-tiba menghilang, Will bersama Chester, satu-satunya kawan yang dia ada, mula meneroka jauh ke dalam tanah melalui terowong yang mereka gali demi mencari ayahnya. Perjalanan yang cukup bahaya dan mencabar. Dalam usaha pencariannya, Will mula menemui kebenaran yang tersembunyi. Segala rahsia yang ‘tertanam’ selama ini mula terbongkar.
Impak maksima
Roderick Gordon and Brian Williams telah memperkenalkan sebuah kisah yang menakjubkan. TUNNELS menyajikan kisah yang padat dengan aksi, penuh misteri, cabaran, penerokaan, keadaan yang cukup bahaya dan menggerunkan. Variasi watak, daripada mengagumkan hinggalah menjijikkan disatukan untuk memikat pembaca dalam menelusuri kisah yang berselirat dengan kejutan dan rahsia. Gordon dan Williams memberikan gambaran yang cukup istimewa. Deskripsi yang penuh animasi membuatkan jalan ceritanya benar-benar hidup.
Adakah karya ini juga akan mencipta keajaiban seperti yang berjaya dilakukan oleh Harry Potter? Adakah Will Burrows mampu menggantikan Harry Potter? Kita tunggu dan lihat.
Testimonial
“Karya terjemahan yang menarik untuk remaja. Plot penceritaannya berkembang dengan baik. Ia membuatkan rasa ingin tahu membuak-buak dengan pelbagai persoalan dan misteri dari mula sehinggalah muka surat terakhir. Syabas kepada PTS!”
John Norafizan, Novelis
“Menggali dan meneroka terowong bersama Will dalam TUNNELS membuat saya bagaikan terperangkap dalam dunia sebenar dan angan-angan, pengembaraan penuh debar! TUNNELS ekspedisi yang perlu dilalui oleh anda juga!”
Noor Suraya, Novelis
“Anda perlu turut sama merasai misteri pengembaraan TUNNELS yang penuh dengan keajaiban yang tidak pernah kita jangkakan.”
Majidah, Editor
Oleh: WanZu