Friday, April 16, 2010

Undangan Tetamu Allah - Akhir

Di Madinah

Payung-payung yang 'berkembang' ibarat kelopak bunga di Masjid Nabawi
Akhirnya tiba juga kami di Madinah Al-Munawwarah. Aku cuba kejutkan Cik Mimi yang terlentok tepi tingkap. Memang perjalanan yang panjang sangat meletihkan maka sepanjang-panjang perjalanan tu kami penuhi aktiviti dengan tidur. Aku gerakkan bahu Cik Mimi tapi dia tak sedar juga. Rasanya ada yang tak kena ni. Aku betulkan kedudukan Cik Mimi dan picit jari-jari tangannya sambil berzikir perlahan. Alhamdulillah Cik Mimi sedar :) Rasanya kota Madinah tidaklah sehiruk-pikuk kota Makkah. Ustaz pun ada beritahu yang keadaan di Kota Madinah ini lebih aman dan orang-orangnya lebih tertib dari orang Makkah. Berkat doa Rasulullah s.a.w, menurut Ustaz lagi. Memang aku rasa tenang dan damai berada di Madinah, apatah lagi dalam perkarangan Masjid Nabawi yang dihias dengan payung-payung besar untuk menghindar terik matahari pada jemaah yang bersolat di luar.
Alhamdulillah kami selamat tiba di hotel. Keadaan hotel ini pun lebih selesa dari hotel di Makkah tapi selepas 'terpaksa' melakukan pertukaran bilik, kami dapat bilik yang punya masalah toilet. Alahai, untuk beberapa hari terpaksalah menumpang ihsan kawan-kawan di bilik lain apabila 'hajat memanggil' huhuhu. Tapi, kedudukan hotel yang tidak jauh dari Masjid Nabawi memudahkan kami berulang alik dari masjid ke hotel. Hari pertama, baru nak berkenal-kenalan dengan Masjid Nabawi. Kawalan di masjid ini lebih ketat dari Masjidil Haram. Kamera atau kamera fon tidak dibenarkan dibawa masuk. Siapa yang ada alat-alat elektronik ni kenalah solat di bahagian luar. Aku suka sangat Masjid Nabawi ni sebab memang sistematik. Yang bahagian perempuan memang khas untuk perempuan, tak ada 'pencerobohan' dari jemaah lelaki. Di sini pun lebih nyaman. Aku suka pandang lelangit masjid yang cantik dan lampu-lampu yang menarik. Dan bila lepas subuh, kubah masjid terbuka menghamparkan pemandangan langit biru yang indah.
Hari pertama aku tak mencuba untuk ke Raudhah, tapi adik-adik yang lain dengan semangat terus aje menuju ke Raudhah selepas solat Isya'. Seronok bercerita tentang pengalaman masing-masing di Raudhah dalam keadaan berasak-asak dan bertolak-tolakan. Tidak seperti jemaah lelaki yang boleh masuk ke bahagian Raudhah pada bila-bila masa, jemaah muslimah ada masa-masa yang tertentu untuk ke Raudhah. Tiga slot masa diberikan untuk jemaah muslimah. Pagi selepas Subuh dalam pukul 7am hingga 10am, selepas Zohor sehingga 3pm dan selepas Isya' hingga tengah malam. Cemburu dengan adik-adik yang sudah ke Raudhah, kami mencuba nasib keesokan harinya. Tanya adik-adik yang sudah berpengalaman dan ikut pesan mereka. :) Alhamdulillah. Sebaik saja selesai solat Zohor, Jenazah dan solat sunat, kami bergerak mencari kumpulan untuk muslimah dari Asia Tenggara. Untuk kumpulan kami, kami dijaga oleh 'pegawai' yang boleh berbahasa Melayu sedikit. Setakat "hajjah dudu' dudu'" dengan pelat Arab, buat kami tersenyum saja sepanjang menunggu. Memang perlu banyak bersabar ketika menunggu giliran ke Raudhah. Sabar itu sebahagian dari iman - itulah yang diulang-ulang oleh pegawai yang menjaga kami. Tapi, ada juga jemaah yang tidak sabar, sebaik saja pintu kayu terbuka, ramai yang bertebaran bangun untuk menyerbu masuk. Yang tinggal hanya satu kumpulan kecil aje. Tak apalah, ikut ajelah cakap pegawai tu. Dia suruh duduk, kami duduk saja. InsyaAllah pasti ada rezeki kami untuk masuk ke Raudhah.
Dari bahagian solat muslimah, kami bergerak melepasi pintu kayu ke bahagian jemaah lelaki dan duduk menunggu di situ lagi. Penantian semakin panjang. Dalam hati berselawat, bertahmid dan bertasbih silih berganti. Sesekali mengerling ke arah jam dinding di hujung. Lagi 40 minit dan jarum terus bergerak sehingga hanya tinggal setengah jam lagi sebelum pintu Raudhah ditutup untuk kaum muslimat. Hati mula resah. Takkanlah Allah tidak beri rezeki pada kami melawat Rasulullah s.a.w hari ini? Alhamdulillah Quraan tafsir ada aku bawa bersama, maka surah Waqiah terus aku tuju. Perlahan-lahan surah aku baca dengan doa semoga Allah buka pintu rezeki kami semua - kumpulan kecil yang menunggu giliran untuk ke Raudhah. Berkat semua yang sabar menunggu, akhirnya kumpulan kecil ini dipanggil masuk ke tempat menunggu yang terakhir. Subhanallah, kami dapat tempat yang paling hadapan sekali. Mereka yang dari tadi menyerbu masuk ke bahagian kumpulan Arab yang lain terpaksa menunggu lagi dan mendengar tazkirah pula. Kami kira potong queue. Masa tu gembiranya Allah saja yang tahu. Mungkin inilah contoh ganjaran orang-orang yang sabar. Seronok tak terkata!
Hati berdebar-debar bila kaki melangkah mendekati Raudhah. Mata aku pandang bawah saja, memerhatikan warna karpet. Merah... merah... masih lagi di karpet merah. Hijau! Yay! Kaki kanan aku sudah memijak karpet hijau menandakan kawasan Raudhah. Terus aku beri salam pada Rasulullah s.a.w. Masa tu dalam kepala dah tak ingat siapa yang memesan untuk berkirim salam dengan Rasulullah s.a.w. Aku cuma sampai pesan secara general aje huhuhu. Hebat sungguh muslimat-muslimat yang masuk ke Raudhah. Macam di Hajarul Aswad, tapi kali ini aku terpaksa berhimpit-himpit dan bertolak-tolak dengan muslimat saja. Nak solat sunat pun kepala ditolak-tolak. Akhirnya aku buat keputusan untuk solat berdiri saja dan berdoa semoga Allah ampunkan dosa-dosaku dan dosa kedua ibu bapaku. Rasa sayu dalam Raudhah tak perlulah dicerita. Rasanya mereka yang pernah ke Raudhah pasti akan merasa sayu. Cuma perasaan sayu aku tidaklah terlalu mendalam. Seperti kali pertama melihat Kaabah, aku lebih kagum kerana Allah perkenankan aku berada dekat dengan makam Rasulullah s.a.w. Dan sama seperti aku dapat cium Hajarul Aswad, aku keluar dari Raudhah dengan perasaan yang sangat happy.


Masjid Quba
Sesi ziarah di Madinah di mulakan dengan melawat Masjid Quba. Bersolat dua rakaat di sana. Kemudian kami meneruskan perjalanan ke ladang kurma yang katanya diuruskan oleh keturunan Abdul Rahman bin Auf. Ustaz yang memandu kami buat lawak ingatkan kami yang ini kebun tamar bukan kebun kelapa sawit. Yalah, pokok-pokoknya hampir sama, jenis palma gitu. :) Kisah saudagar Abdul Rahman Auf di sini. Ladang yang dibuka untuk pengunjung taklah besar sangat tapi kedai yang menjual tamar pelbagai jenis memang penuh dengan pelanggan. Sudah tentu kurma Ajwa jadi idaman. Tapi, tengok harga huhuhuhuhu SR80 sekilo. Tu diaa.... Tapi tak pe ustaz kata dia boleh dapatkan SR60 sekilo. Okeylah beli dengan ustaz aje huhuhu. Dari situ kami bergerak ke Bukit Uhud untuk melihat kawasan perang di situ. Nampak bukitnya yang tinggi dan juga bukit pemanah. Di lembah sudah tak ada harta perang yang menarik perhatian laskar-laskar tetapi diganti dengan 'harta dagangan' yang pelbagai jenis. Dari kupiah, barang-barang cenderahati hinggalah mainan kanak-kanak diperaga atas hamparan untuk menarik perhatian pengunjung-pengunjung membeli barangan dagangan mereka. Penarik di lembah Uhud sudah tentu makam 70 para syuhada.

Kawasan lembah Uhud
Menurut ustaz, ketika para syuhada gugur, mereka dikuburkan di merata-merata tempat di kawasan lembah tapi apabila terjadi banjir besar di situ, tubuh-tubuh para syuhada ini terkeluar dari kubur masing-masing dalam keadaan yang sangat elok. Selepas itu barulah mereka disatukan di kuburkan di kawasan khas yang berpagar. Kalau dapat dilihat di sebalik pagar itu, yang sah bertanda kubur hanyalah dua. Kubur Hamzah kerana diketahui dadanya berlubang kerana jantungnya dimakan oleh Hindun dan juga kubur Abdullah bin Jaz kerana cuping telinganya dan hidungnya dikerat-kerat kerana diikat dengan benang (menurut riwayat). Kubur-kubur para syuhada yang lain tidak bertanda. Dan seperti yang dinyatakan dalam Surah Al-Baqarah - mereka ini tidak mati (Quraan 2: 154)
"Janganlah kalian mengatakan terhadap orang yang terbunuh di
jalan Allah itu mati, tetapi orang itu tetap hidup, tetapi kamu tidak dapat
merasakannya /memahaminya"
Mulanya aku tak berapa faham kenapalah kubur para syuhada ini bukan setakat berdinding kaca tetapi berpagar juga, seolah-olah pagar kandang harimau macam di Zoo Negara, tapi apabila melihat perbuatan seorang perempuan di situ barulah aku faham. Perbuatan khurafat untuk mendapatkan 'syafaat' atau 'berkat' ni memang harus dihalang. Perempuan tadi mengibaskan kain tudung (extra) sehingga terkena pada dinding pagar, dan kemudian, kain itu dikucup. Rasa macam tak tercapai aje akal aku dengan perbuatan dia. Apa agaknya yang dia fikir ye? Entah. Aku dengan akuatik takat geleng kepala ajelah. Meminta dengan Allah bukan dengan para syuhada. Bukan dengan perantara. Itulah sebenarnya keistimewaan kita orang Islam, kita tak perlu ada paderi atau ketua ibadat untuk hubungan dengan tuhan. Kita dapat talian terus dengan Allah. Tak ke istimewa tu?
Kedai-kedai di sekitar Madinah
Di Madinah, barulah nafsu untuk membeli belah terbuka ikatannya. Melihatkan jubah-jubah dan abaya-abaya yang menarik memang mengujakan. Tapi orang Pahang kata, kadar diri jugalah. Duit £20 yang ditukar di Makkah, masih banyak berbaki. Bayangkan kami tidak berbelanja sangat di Makkah sampai duit SR100 tu masih ada lagi ditangan. Tapi di Madinah huhuhu... sekejap aje duit bertukar tangan. Tapi masih seriau juga berbelanja di Madinah. Mula-mula tak tahu untuk tawar menawar tapi bila dah tiga kali masuk kedai, pandai jugalah menawar. Bukan apa, dapat jubah dengan harga £10 tu dah sangat-sangat lumayan bagi kami. Rupa-rupanya harga tu boleh ditawar lagi hingga dapat dalam SR35 (£7). Cuma yang tak dapat ditawar sudah pastilah di Baitul Donat kegemaran kami huhuhuhu.. Terpaksalah melabur dalam £3 semata-mata nak makan donat. Berpusing-pusing kami berjalan-jalan di Madinah. Apabila terlepas waktu makan malam (kerana mengejar Raudhah lagi) terpaksalah membeli makanan segera di sana. Aduh! Memang mahal makanan di situ. Untuk satu set sudah SR20 (£4). Sara hidup di kota 2M ini seperti sara hidup di UK pula. Ini kami yang datang dari UK sudah terasa bahang mahalnya, apatah lagi jemaah yang datang dari Malaysia dan Indo. Kalau terlepas makan, terpaksalah telan air zam-zam banyak-banyak :)
Monyex Chang atau Mony Exchang?
Tiga hari di Madinah memang tidak mencukupi. Rasanya kalau boleh hari-hari nak masuk ke Raudhah. Malam ke dua kami ke Raudhah sekali lagi. Kali ini untuk menghindarkan rasa bosan, Cik Mimi buat kuiz dan tazkirah kecil-kecilan. Seronok juga jadi kanak-kanak yang cuba mengingati balik kisah nabi-nabi. Seperti biasa keadaan sangat berasak-asak di dalam. Kami salahkan orang Eropah Timur dan Teluk Benggal kerana suka tolak menolak. Malam ke dua dek kerana terlalu ramai, kawasan berdekatan dengan makam Rasulullah s.a.w dibuka. Berpusu-pusu mereka ingin merebut tempat yang paling hampir dengan makam. Mulalah menangis mengongoi-ngongoi sambil memeluk jeriji besi yang tercapai oleh tangan. Bermasalah sungguh mereka yang datang dari kawasan nih! Aku yang tengok pun pening. Pegawai terpaksa ingatkan "hajjah! hajjah! kiblat!". Huish! Ada yang nak solat berkiblatkan makam Rasulullah. Tapi, pedulikan mereka. Alhamdulillah malam ke dua aku dapat bersolat dua rakaat sempurna dua kali huhuhuhu. Malam terakhir kami di Madinah, kami berusaha lagi untuk masuk ke Raudhah. Aku dengan Akuatik sudah berjanji, kalau terpisah, kita jumpa saja diluar. Memang sungguh terpisah. Keadaan di Raudhah masih lagi berasak-asak tapi Alhamdulillah aku dapat tempat untuk bersolat betul-betul di sebelah pegawai yang cuba mengawal keadaan yang kelam kabut di situ. Selesai bersolat, aku bagi tempat aku pada makcik dari Indo dan bantu makcik dari Turkey untuk dekat di makam. Entah macamana aku pun jadi polis malam tu, jaga orang yang sedang bersujud. Alhamdulillah, Allah beri ganjaran juga. Tiba-tiba dapat satu tempat yang sangat selesa untuk aku bersolat sekali lagi huhuhuhu... seronok tak terhingga. Kiranya tiga kali masuk ke Raudhah aku dapat solat 5 kali. Dalam keadaan berhimpit-himpit, itu merupakan rezeki yang tak terhingga.
Ingatan di Madinah
Beringat-ingatlah juga apabila berada di Tanah Haram Madinah. Di Masjid Nabawi terutama. Malam terakhir selepas mengucapak au-revoir pada Rasulullah s.a.w, aku dan akuatik terus berjalan pulang. Sambil berjalan di perkarangan masjid Akuatik bercerita yang dia lebih sukakan wangian di Hajarul Aswad berbanding di Raudhah. Sebelum tu aku memang ada bertanya dari mana datangnya wangian Hajarul Aswad sebab Allah dah beritahu, takkan tercapai akal kita untuk membayangkan syurga sedangkan batu itu dikatakan batu syurga. Kalau bayangan pun tak tercapai dek akal, apatah lagi bau. Kemudian aku bertanya juga dari mana datangnya wangian Raudhah? Dari makam ke? Huhuhu.. belum terima jawapan.
Jadi Akuatik kata dia sukakan bau Hajarul Aswad kerana baunya lebih lembut. Aku ingatkan yang dua-dua bau batu dan Raudhah tetap sedap di hidung aku huhuhu... tapi dia kata itu bergantung kepada citarasa masing-masing. Elok saja selesai berdiskusi tiba-tiba bau Raudhah ditiup angin sepintas lalu. Aku apa lagi terus aje istighfar dan kata pada akuatik. Kifarah ni sebab bandingkan bau Raudhah dan bau Hajarul Aswad. Masa tu aku rasa macam anak sekolah yang ditegur oleh cikgu. Dapat sedas terus. Nak buat apa lagi kan? Tersenyum sajalah sepanjang jalan pulang ke hotel. Tapi, itulah ada seorang ni memang degil, dah bersori-sori pun masih lagi berpegang pada citarasanya. Perlu cikgu besar ingatkan sekali lagi agaknya.
Masuk ke dalam lift, aku bau semacam. Macam ada orang melepas dalam lift. Tapi, kami naik saja. Di bahagian bucu kiri aku lihat ada satu objek yang mungkin bertanggungjawab mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan tersebut. Dalam hati aku sudah tersenyum dan kalau hati aku boleh dilihat agaknya senyuman terus melebar. Aku suruh Akuatik tengok, apakah objek tersebut. Semakin didekat semakin kuat baunya. Sah sahlah bahan kumbuhan seseorang. Sepanjang 'perjalanan' naik dari lobi ke tingkat 9, kami dihidangkan bau yang tidak menyenangkan. Sebaik saja keluar dari lift terus aku usik Akuatik sekali lagi. Kifarah! Kifarah! Dan makcik tu cuma jawab dengan sori! sori! Haish!
Berat hati nak meninggalkan bumi Madinah. Rasa separuh hati sudah tertinggal di sini. Walaupun berat, aku tak sedih nak tinggalkan Rasulullah s.a.w sebab aku yakin suatu masa nanti aku akan ke sini lagi. Mengucap salam buat baginda. Pengalaman pertama menunaikan umrah dan ziarah ni takkan aku lupa sampai bila-bila dan kalau boleh aku tak mahu ganti dengan pengalaman kedua atau ke tiga. Aku mahu pengalaman seterusnya adalah rukun yang ke 5. Aku mahu kalau diberi rezeki lebih, dapat berkongsi pengalaman pertama dengan mereka yang terlalu ingin ke sini tetapi tidak berkemampuan. Tekad aku kalau boleh, aku mahu membantu mereka yang tidak mampu tetapi rindu untuk menjadi tetamu Allah dan tetamu Rasulullah s.a.w merealisasikan impian mereka. Semoga Allah jauhkan sifat tamak haloba dari hati aku dan dapat berkongsi rezeki bersama-sama mereka yang tidak berkemampuan.
Tamat
p/s - tapi pengembaraan aku untuk jadi yang lebih baik insyaAllah tidak tamat di sini :)

17 comments:

Perindu said...

salam khairyn

Perjalanan menjejak langkah para syuhadah dan kekasih yang dirindui pasti di berkati..

bertamu di dua tanah mulia itu kenangan terindah.. pastinya :)

moga sehat senantiasa didalam rahmatnya :)

NGINAP SRENGENGE said...

salam anaknda,

Alhamdulillah.....mesti pergi lagi insyaallah.

Moga dapat umrah mabrur.
wassalam.

izinni said...

nak pergiiiiiiiii ....

khairyn said...

Salam

Perindu

Dan rindu pun bertandang
:)

Ayah
Harapnya untuk Rukun ke 5 lepas ni. Balik Mesia nak daftar haji pula :)

Izinni
InsyaAllah. Semoga Allah layangkan kad undanganNya untuk kau pula

Ayah Zain said...

Salam Khairyn

satu catatan yang lngkap dan dijadikan panduan kepada bakal jemaah

mamawana said...

Salam caiyang dari mama..

Seronok kan berada di bumi Madinah dan Makkah. Mama pun sangat rindu nak ke sana.

Gelak baca bahagian awal jadi "incredible Hulk" versi pemrempuan. Tak dpt nak bayangkan camno ruponyo tuh.....

khairyn said...

Ayah Zain
Catatan sendiri supaya pengalaman ini sentiasa diingati.:)

Mamawana
Rasanya memang tak terbanding dengan pengalaman yg lain :)
Hahaha semangat untuk hidup tiba-tiba datang dengan kuat, jadi tenaga pun tiba2 bertambah, tu yg jadi incredible hulk tu :)

Dura said...

sungguh indah .....

LEELOO-ELLEMILANO7 said...

dah tamat ye kisahmu itu...uwaaaa :-(

ona said...

salam hajah,

memang barang kat makkah n madinah berganda2 mahalnya berbanding 10 tahun lalu. Bayangkan masa aku pegi kali pertama sekitar 1999 aku bawak RM200 duit poket macam2 boleh beli, jubah, kurma n hadiah untuk semua orang, makan kfc n macam2..tapi 8 tahun kemudian bawak RM1,500 duit poket pun tak cukup, memang mahal betul tapi uztaz kata berbelanja di sana besar pahala memakmurkan Tanah Suci...

apa2 pun yang penting keindahan dan kebahagian di sana tidak dapat dibeli dengan wang ringgit nilai nikmatnya..mudah2an kita semua sentiasa menerima kad undangan Nya..amen

ona said...
This comment has been removed by the author.
khairyn said...

Dura
memang indah. suatu hari nanti kau akan merasakannya. Tungguuuu! :)

Elly
Ada yang kena dicensor huhuhu

Mona
Kos sara hidup sama macam UK. Kena memilih kedai untuk mengimarahkan makkah. Aku tak galakkan membeli di shopping complex mewah dekat dengan Pintu masuk utama tu.
InsyaAllah, aku pun nak jadi macam ko, hajah mona. Settle yng rukun :)

rezeki said...

salam khairyn

alhamdulillah,

insyallah bak kata mu,

p/s - tapi pengembaraan aku untuk jadi yang lebih baik insyaAllah tidak tamat di sini :)

semoga dipermudahkan

Kamsiah said...

salam hajjah..
salam persahabatan
seronoknya m,embaca cerita dan menghayati pengalaman hajjah disana...

akirasuri said...

Kakak yang manis, adik manis mahu tukar itu layout lagi boleh kakak manis.. Hehehe!

PiEs: Mengikuti entri2 kak khair ni buat saya rasa nak pergi!!! Mudah2an dipermudahkan urusan saya ke sana.. Amin..

khairyn said...

rezeki
InsyaAllah. moga dikuatkan iman dan sentiasa membuat pilihan yang betul

Kamsiah
Untuk perkongsian dan juga catatan peribadi. Salam ukhuwah

Ati
huhuhu... buat aje la. Access ada lagi tu. Kali ni kita cuba serius plak ye.
p/s InsyaAllah Ati akan dapat undanganNya lepas ni. Mohon pada Dia

Hajah Zainab bt Abdullah said...

salam khairyn,

mama memang sentiasa teruja bila baca kisah2 dari Tanah Suci...apa lagi Khairyn pandai menulis! Alhamdulillah, termakbul sudah hasrat untuk menunaikan umrah. mama doakan agar Khairyn dijemput menjadi TetamuNYA lagi!