Wednesday, January 31, 2007

Kuning, biru dan warna

Ah! Lama dah tak ke sini. Rasanya blog ni pun dah jadi kematu. Keras. Sama kematu dengan jari.
Bermula Isnin lepas, jadual harian saya sudah berubah. Saya sudah menjadi pekerja sepenuh masa. Ya! Sepenuh masa bermaksud saya tak ada satu hari yang khusus untuk saya berehat dan bermalas-malas di dalam duvet. Jadual harian saya bermula dari 5am hingga malam hari Isnin hingga Jumaat dan 2pm-8pm hari Sabtu dan Ahad. Secara rasminya kini, saya pekerja kerajaan selama 2 hari setiap minggu. Saya bekerja di hospital. Bukan sebagai doktor, pegawai perubatan, misi, porter, jurubedah, doktor pakar, farmasi, potter ataupun tukang masak.
Saya adalah petugas 'Domestic Assistant' a.k.a cleaner.
Jika hari Isnin hingga Jumaat saya memegang batang mop dan rakan karibnya baldi, mesin vakum, mesin pengilat dan juga kain-kain buruk, di hospital ini, tugas saya bertambah. Mengisi jag air untuk pesakit juga. Kami diberi uniform dan kad nama pekerja. Saya rasa pereka uniform ini ada sedikit masalah mata. Rabun. Rabun warna.
Bajunya berwarna kuning telur dipadankan dengan seluar berwarna biru gelap. Saya rasa seperti tanda amaran. Jaga-jaga! Warna kuning tu! Berhenti atau pecut! Maaf, saya menyasar. Tapi, itulah yang sebenarnya saya rasa. Cuba bayangkan senario ini, baju kuning, seluar biru dan tudung warna-warna pelangi. Ah! Saya rasa, tak lama lagi saya akan menjadi orang yang terkenal.
Bangunan tempat kami ditugaskan adalah bangunan baru yang bakal dibuka dua minggu lagi. Hari pertama latihan, kami diberi taklimat tentang tugasan yang bakal diamanahkan kepada kami. Hari ke dua kami sudah diberi tugasan membersihkan tiga tandas di tingkat dua. Almaklumlah orang Malaysia memang terkenal dengan rajinnya dan dikumpulan kami yang dominasinya adalah rakyat Malaysia Melayu, maka dari tiga tandas, kami berjaya membersihkan hampir ke semua tandas di tingkat dua itu. Ya, kami memang terlebih rajin.
Hari ke tiga pula, kami diberi peluang untuk memvakum dan mengilatkan lantai menggunakan buffing machine. Sekali lagi, dengan bantuan seorang wanita Zimbabwe (ya dia terselit di antara kumpulan Melayu kami), kami telah berjaya membersihkan dan mengilatkan hampir keseluruhan lantai di tingkat dua. Hebat sungguh kami bukan?
Bagaimana pula esok?

Sunday, January 21, 2007

Awal Jumaat Lepas.

Hari Jumaat lepas, sewaktu pulang setelah usai kerja, salji turun dengan lebat. Kepingan-kepingan halus turun laju di bawa angin dan hujan berlarutan sehingga lewat tengahari. Seolah-olah lega dengan ribut dan salji yang turun, sang mentari keluar dari persembunyian lalu mencairkan selimut putih halus...
Sabtu datang mencatatkan hari yang menggembirakan.
Ahad menjelma untuk satu hari yang merehatkan.
Isnin bakal menjelma menjanjikan rutin harian sebagai pekerja dan pelajar bermula kembali. Saya kembali ke sekolah.











Wednesday, January 17, 2007

Selimut putih halus

Salji yang turun sekitar jam 9pm berlarutan hingga satu jam lebih. Pandangan di tempat letak kereta yang dilihat di sebalik lensa di teratak Wirawati....
Pagi ini... Semuanya hilang di bawa angin dan cair diterjah hujan.

Tuesday, January 16, 2007

Kerja dan Musim

Sudah tibalah masanya untuk wirawati perkenalkan tanah jajahan takluk dan lindungan harian. Bersih, harum dan berkilat-kilat. Maaflah sekiranya kualiti gambar agak kurang. Wirawati hanya menggunakan Ipaq saja. Biasanya PDA ini penuh dengan lagu-lagu Melayu saja tapi hari ini ada jugalah terselit beberapa keping gambar. Nanti kalau wirawati bawa masuk kamera, rakan-rakan seperjuangan ingat wirawati sudah naik pangkat jadi mandur pula.
Pemandangan dalam tandas wanita. Berkilat-kilat dan harum selepas disental dan dimop.
Salah satu bilik amali untuk pelajar-pelajar yang mengambil kursus kecantikan. Yang atas katil depan itu antara senjata yang dibekalkan untuk wirawan dan wirawati di sini.

Bilik darjah setelah divakum. Bersih dan tersusun. Wayar panjang dilantai itu kepunyaan pembantu Wirawati. Henry namanya. Dia dari keturunan Hoover. Sangat rajin. Kebolehan, menyedut segala pasir-pasir dan sampah-sampah kecil.

Selepas hampir dua minggu dilanda hujan dan angin kuat, hari ini matahari memancar dengan terang. Rakan seperjuangan kata 'calm before the storm'. Indahnya Sang Suria.



Pemandangan di luar bilik darjah.

Oh! Dengan rasminya kami di sini berada di dalam musim sejuk.
Butir-butir salji berterbangan sekitar jam 9.25pm. Tapi hanya seketika. Kesejukan yang mencengkam.





Monday, January 15, 2007

Air dan Angin

Balik kerja tadi, wirawati terus menelefon bonda. Bertanyakan khabar dan juga surat yang telah diposkan minggu lepas. Bonda kata surat tak terima lagi. Oh, mungkin posmen-posmen susah nak bergerak disebabkan hujan lebat agaknya. Mungkin awan yang berkepul-kepul di langit menyusahkan pesawat untuk bergerak. Mungkin juga jalan ke Melaka sudah terputus. Ah.. seribu kemungkinan.
Wahai Pejabat Pos dan abang posmen, cepat-cepatlah hantarkan surat itu ke rumah bonda. Ia penting. Juga kad ucapan tahniah pada anak saudara ya. Dia baru lepas PMR dan wirawati ingin memberi kata-kata semangat padanya supaya berusaha lebih lagi untuk SPM akan datang. Cepat ya abang Posmen!
Tadi bonda bercerita pasal hujan, pasal banjir di selatan tanah air, juga pasal angkara mereka-mereka yang alpa lantas menyebabkan bumi marah dan Allah murka. Bonda tipikal orang Melayu. Melayu-Jawa. Setiap yang berlaku pasti ada sebabnya dan setiap musibah yang menimpa pasti kerana insan-insan leka dan menyebabkan Allah murka. Bonda tak kisah pasal 'global warming'. Bonda tak mahu tahu tentang radiasi. Bagi bonda, kalau kita lupa diri kita, lupa Pencipta kita, maka terimalah balasanNya.
'Kesian orang di Kota Tinggi. Baru sehari dapat pulang ke rumah, banjir lagi,' kata bonda.
'Ya, saya membaca di internet. Mendengar berita di KLfm melalui internet juga. Sehingga ada ingin mengisytiharkan darurat.'
'Ya, tapi tak jadi. Kasihan mereka. Air naik hingga ke bumbung. Inilah yang dikatakan musibah. Allah murka,' kata bonda lagi. 'Saudara makcik Senah (jiran bonda) kata, baru satu hari beli dapur gas ganti dapur yang tenggelam dalam air yang baru itu pun rosak juga.'
'Kenapa?' Soal wirawati.
'Tenggelam lagi. Kasihan sungguh. Macam tu juga keadaan di Batu Pahat. Syukur di Melaka tidak teruk macam tu lagi.'
'Apa cerita Pilihanraya kecil Batu Talam?' wirawati tukar tajuk.
'Ah! Mengarut. Sudahlah musibah di Johor, masih lagi nak buat pilihanraya kecil. Duit yang ada tu sepatutnya diberikan kepada mangsa banjir. Tak payah susah-susah nak buat pilihanraya,' kata bonda lagi.
'Dengar PAS nak boikot SPR?' Wirawati menyoal.
'Sepatutnya dari dulu lagi. Telus ke kalau ada nombor siri dalam borang mengundi?'
Wirawati angguk kepala tapi bonda tak nampak. 'Hujan lagi ke bonda?'
'Hari ni nampak cerah sikit.'
'Mesti harga ikan naik tinggi kan bonda?'
'Bukan setakat ikan, harga sayur pun dah mahal,' ujar bonda lagi. 'Oh! Lupa nak cerita, bonda tanam kacang panjang. Sudah berbuah. Adalah dekat enam tujuh biji.'
Wirawati ketawa, 'Itu sekali masak saja, bonda. Er.. bonda tanam di mana? Dulu ada tanah sekangkang kera bonda buat besarkan rumah. Kita duduk rumah teres je bonda.'
'Oh! Bonda tanam dalam kotak styrofoam putih. Gunakan ampai lama jadikan tempat dia memanjat. Bukan kacang aje, bonda pun dah semai biji terung. Tak lama lagi berbuah. Tak payah beli sayur di pasar.'

Ah! Bonda. Dulu sebelum besarkan rumah, tanah selebar dua buah meja tulis itu bonda tanam dengan pokok betik, peria katak, daun cekur, pokok kari, cili besar, cili padi dan pokok kunyit. Kalau betik berbuah, habis semua jiran diberikan buah betik. Pokoknya juga semakin tinggi dan semakin rancak berbuah.
Kalau wirawati pulang, hidangan malam pasti peria katak tumis dengan ikan bilis. Semangkuk besar bonda sediakan sebab wirawati memang suka peria dan juga peria berbuah lebat di celah-celah pagar belakang rumah. Kalau bonda masak kari untuk ayahanda, pasti semerbak harumnya kerana diletak beberapa keping daun kari. Cili? Ah tak payah langsung beli di pasar. Petik saja di celah-celah pokok peria dan pokok kunyit.
Di hadapan rumah pula berdiri megah dua batang pokok mangga. Buahnya lebat kadang-kadang bergayut melanggar dahi sesiapa yang lalu di bawahnya. Bukan setakat manusia yang menikmati kemanisan buah mangga bonda, malah monyet-monyet dari bukit seberang turut berpesta mangga. Belum lagi bonda yang hari-hari berperang dengan burung yang mematuk separuh buah lalu dibiarkan saja. Tak dihabiskan.
Setengah jam 'bersama' bonda buatkan wirawati rindu pada semua itu. Apatah lagi sekarang ini. Mungkin di tanah air, banjir melanda, tapi apa kurangnya di sini. Hujan dan angin yang menggila. Sejuknya...

Thursday, January 11, 2007

Ish!

Hari ini Wirawati seperti tak cukup kaki dan tangan. Tapi nanti kalau banyak tangan pula, Wirawati jadi seperti dewi Hindu Dewi Durga yang banyak tangan tu. Tak naklah. Tak cantik. Lagipun lengan baju 'uniform' tu cuma ada dua - satu di kiri dan satu di kanan.
Oh! Kenapa Wirawati kata seperti tak cukup kaki dan tangan? Kerana hari ini tanah jajahan takluk Wirawati tiba-tiba sahaja menjadi besar dan wirawati kesuntukan masa kerana semua kerja-kerja menyelamat harus dilakukan dalam masa 2 jam 40 minit (tolak 20 minit untuk minum pagi. Kerja-kerja menyelamat biasanya dihentikan pada jam 7am dan disambung kembali 20 minit kemudian. Ada loceng yang akan dibunyikan menandakan masa rehat bermula dan berakhir).
Ya, ya kenapa ya? Sebab rakan se-penyelamat hari ini tidak sihat badan. Siapa kata wirawati dan wirawan tidak jatuh sakit? Apatah lagi bila demam influenza yang menyesakkan sistem raspirotari melanda di waktu musim sejuk ini. Jadi hari ini wirawati kerja keras. Niat untuk bermalas-malas di khutub khanah pun terpaksa dibatalkan.
Wirawati ambil keputusan. Habis tugas, wirawati terus bertukar menjadi manusia biasa. Menahan bas dan balik ke rumah.
Wirawati hendak bermalas-malasan di dalam selimut tebal. Lagipun angin kuat (gales) kembali lagi ke bumi 'lochs', 'bagpipes' dan 'haggis' sehingga akhir minggu ini. Ah! Sejuknya, tapi tiada salji yang turun... cuma hujan....

Monday, January 08, 2007

Op!

Saya bagi amaran. Jangan rapat ketika saya sedang dalam misi.
Ini kali pertama saya beri peringatan. Jangan cuba dekat. Jangan buat saya beri peringatan ke-dua, ke-tiga, ke-empat dan ke-lima sekiranya mahu selamat.
Saya ada tugas baru sekarang. Saya sudah diangkat menjadi seorang wirawati. Ya! Seorang penyelamat. Malah mungkin juga seorang penyelamat dunia. Saya juga bakal mempunyai 'uniform' saya sendiri. Bukan! Bukan seperti Wonder Woman yang memakai baju mendedah aurat. Juga bukan seperti Cat Woman yang memakai baju melekat di badan dan memegang cemeti. Walaupun kedua-dua mereka memakai sarung tangan. Saya juga!
Ya, ya. Saya memakai uniform yang longgar, sesuai dengan kedudukan saya sebagai wirawati muslimah. Juga menutup aurat. Oh lupa! 'Uniform' saya juga berwarna biru. Hmmm.. ya ada sedikit warna merah dan hijau err... sedondon dengan sarung tangan saya yang juga berwarna biru dan hijau (boleh dipakai silih berganti mengikut perederan fesyen). Tapi saya tidak meniru warna wirawati penyelamat dunia yang lain. Tak boleh! Saya boleh didakwa melanggar Akta Hak Cipta. Itu juga plagiarism. (Unuk maklumat lanjut sila tanya bekas 'Group Editor' NST, dia lebih arif).
Saya juga mempunyai senjata pelindung diri. Bukan cemeti. Satu diperbuat dari sumber asli yang kebanyakannya berusia beratus-ratus tahun dan satu lagi dibuat daripada 'synthetic monomer' ataupun 'polymer resins'.
Mana-mana kejahatan yang berani mendekati saya akan saya hayun dengan senjata ajaib saya. Dan sekiranya saya di serang, pastinya saya berlindung di belakang 'synthetic monomer' ataupun 'polymer resins' saya yang berwarna merah dan putih.
Ya! Anda berani sekarang? Marilah dekat.
Saya memegang batang mop di tangan kiri dan baldi di tangan kanan. Berani lagi??
Maaf ye, wirawati masuk beradu dulu kerana esok beliau perlu 'sign-in' untuk misi tepat jam 6 pagi.

Saturday, January 06, 2007

Saya mahu itu.

Satu
Selalu kalau kita duduk makan, kita lihat makanan di pinggan orang lain lebih menyelerakan dari makanan di pinggan sendiri. Kita rasa, 'Ish kenapalah aku tak minta makanan macam si anu tu. Nampak lebih sedap dari yang aku ada.'
Kita tengok pelanggan di meja sebelah pula. 'Ha! Dia punya pun nampak lebih sedap. Makanan aku ni rasa macam kurang garam la pulak. Warna pun nampak hambar aje. Kurang perencah agaknya.' Kita asyik ralit tengok makanan-makanan yang menyelerakan di pinggan orang sampai kita lupa tentang makanan kita yang sebenarnya lebih enak dimakan ketika ia belum sejuk. (Tidaklah panas sangat - Rasulullah kan dah pesan, jangan makan makanan panas-panas sampai terkuap-kuap mulut bak ikan naik ke darat).
Sebenarnya, kalau kita beri tumpuan pada makanan kita dan tak terlalu cerewet dalam apa yang ada di dalam pinggan kita, pastinya kita akan dapat merasa dan nikmati keenakan makanan tersebut. Pasti orang-orang di sebelah kita akan lihat betapa enaknya makanan kita sehingga kita langsung tidak pedulikan mereka semua. Sudah pasti mereka pula terliur dan inginkan makanan yang ada di pinggan kita kala itu. Sudah pasti timbul perasaan iri hati atau dengki di hati mereka kerana ingin menikmati apa yang kita nikmati kala itu.
Dan kita? Kita sudah tidak pedulikan apa yang ada di pinggan orang lain kerana kenikmatan yang sebenar berada di pinggan sendiri. Kita yang memilih, kita yang meminta, kita yang menikmati dan kita yang akan membayar harga pilihan, permintaan dan kenikmatan yang diperolehi.
Mungkin juga kita yang terpaksa berlakon enaknya makanan itu tapi tiada siapa yang tahu sebab risiko dari pemilihan dan permintaan itu, mungkin juga keenakan mungkin juga sengsara. Tiada siapa yang tahu kecuali kita.
Teruskan makan sehingga habis kerana akhirnya, kita juga yang akan membayarnya. Bukan dia, bukan pelanggan di sebelah, juga bukan tuan punya restoran yang tidak mengamalkan memberi makanan percuma kepada pelanggan-pelanggannya.
Dua
Selepas solat, saya tidak lupa berdoa supaya Allah tambahkan lagi iman saya yang lebih halus dari kulit bawang yang dimayang. Allah beri kecerdasan kepada saya, mudahkan menerima ilmu yang ditimba. Supaya Allah sejahterakan ibu bapa saya supaya mereka dapat bertakwa kepadaNya dan mereka mendoakan pula untuk kesejahteraan saya. (Doa ibu bapa yang beriman, sangatlah mustajab - ia juga sebagai 'back-up' doa saya kerana saya juga nakal (baca : alpa) orangnya).
Tidak ketinggalan juga saya sering berdoa minta Allah sihatkan tubuh badan saya dan murahkan rezeki saya di sini.
Oh! Saya lupa lagi. Allah itu maha Pengasih dan Penyayang. Dia sentiasa mendengar rintihan umatnya dan doa saya tatkala saya kadang-kadang sangat-sangat nakal dan lupa memanjatkan syukur dan puji-pujian pada Nya.
Dalam kekalutan hidup saya di sini, Dia telah berikan rezeki pada saya. Melimpah. Ruah. Seolah ayah yang penyayang, limpahan rezeki saya bersyarat rupanya. Mengingatkan saya bahawa meminta itu kerja orang yang tak mahu susah payah. Saya 'diajar' lagi. Dalam kesenangan meminta, saya harus berusaha. Membuat pilihan.
Saya terima dua panggilan kerja. Yang mana satu harus saya pilih? Satu, sudah saya terima dan satu lagi bakal menjelma. Saya mahu dua-dua. Kalau boleh saya mahu ada yang ke tiga. Saya tamak lagi rupanya. Saya mahu makanan di pinggan saya dan saya juga mahu makanan di pinggan dia.
Saya harus berteleku lagi. Saya harus berfikir dengan kecerdasan minda yang diberiNya untuk mencari jalan membuat kedua-duanya sekali kerana saya tahu, kudrat saya mampu melakukannya. Saya akan terus meminta...

Thursday, January 04, 2007

Perjalanan pulang

Selamat Tahun Baru, semua.
Alhamdulillah, saya sudah kembali ke Glasgow kelmarin setelah hampir dua minggu melawat teman di daerah Timur pulau ini. Sempat juga beraya dan beramah mesra dengan komuniti kecil Melayu di sana. Bertambah lagi kawan-kawan di sini. Seronok jadinya.
Perjalanan pergi ke Hull mengambil masa 9 jam dengan menaiki bas. Saya meninggalkan Glasgow Buchanan Bus Station seawal jam 9.30 pagi dan tiba di Hull dalam pukul 6.15pm. Pijar rasanya punggung duduk di dalam perut bas walaupun kami berhenti agak lama di Newcastle. Sebab itu, untuk perjalanan balik, saya memilih menaiki keretapi walaupun terpaksa turun naik keretapi di empat stesyen. Ini cerita tentang perjalanan balik.

(Sila klik pada gambar untuk lebih jelas)
Saya pulang pada hari pertama warga British di sini memulakan perkerjaan mereka pertama kali di tahun baru. Walaupun keretapi hanya akan bergerak ke destinasi pada jam 10.32am, saya sudah berada di stesyen seawal 8.10am. Kenapa? Kerana sahabat yang menghantar, memulakan tugas pada jam 8.30am. Sudah adat orang menumpang, segala-galanya harus mengikut masa dan aturcara si tuan rumah. Saya pun senang begitu. Sekurang-kurangnya saya tidak terlalu menyusahkan sahabat.
Saya berkeputusan tidak mahu ke mana-mana sebab beg yang dibawa agak berat dan sarat dengan barang. Almaklumlah terikut juga dengan pesta beli belah 'Boxing Day' ni. Aduh! Hebat sungguh mat salleh bila membeli belah ye?
Sedang saya duduk-duduk, terlihat dua ekor anjing, tak silap saya jenis German Shepherd berlari-larian di sepanjang laluan keretapi. Entah dari mana datangnya anjing-anjing ini, saya pun tak tahu. Yang pasti seekor, mempunyai kolar leher manakala seekor lagi, tidak. Saya rasa mereka ni sepasang sebab yang seekor tu hanya menurut saja apa pasangannya buat.
Kelam kabut jugalah pekerja-pekerja stesyen nak keluarkan si Uda dan Dara ni. Baling biskut, tak jalan. Bersiul-siul pun tak jalan juga. Yang pasti pasangan asyik mahsyuk ni berlari ke sana ke mari. Manja juga. Kebetulan pula trek kosong. Agak setengah jam jugalah, mereka cuba pujuk anjing-anjing ni naik ke platfom tapi tak berjaya. Bertambah kelam kabut mereka apabila gerabak keretapi tiba ke stesyen. Terpaksa pula pemandu memberhentikan kenderaannya agak jauh sedikit dari tempat biasa dek sebabkan anjing-anjing yang berlari di trek.
Kesian ada, nak tergelak pun ada. Sebabkan dua ekor anjing, penumpang terpaksa berjalan jauh sedikit. Kerana sayangkan binatang, petugas-petugas berhempas pulas menyelamatkan anjing-anjing ini. Hasil titik peluh, dua ekor anjing tadi pun berjayalah diselamatkan.
Saya? Tak boleh nak ambil gambar dengan lebih dekat kerana polisi ditempat pengangkutan awam - tidak boleh meninggalkan bagasi begitu saja. Sekiranya anda berbuat demikian, bagasi anda boleh dirampas. Fuh!
***
Tepat jam 10.32, keretapi yang menghala ke Manchester Picadilly bergerak meninggalkan Hull Station. Jangkaannya saya akan tiba di Selby (sebuah stesyen kecil) pada jam 11.07am dan akan menaiki keretapi ke York pada jam 11.16am.
Apabila jarum jam menginjak ke 11.05am, keretapi yang saya naiki tiba-tiba menjadi tersangat perlahan. Sepuluh minit berlalu, kelajuan keretapi ini tidak meningkat. Saya rasa kalau saya turun dan berlari di sebelahnya, mungkin saya menjadi juara! Arghhhhhhhh!!!!! Masalah mekanikal/teknikal, saya pun tak tahu. Yang pasti, saya tiba di Selby pada jam 11.26am!
Saya jeling ke arah monitor yang tersangkut di platfom 2. Keretapi seterusnya ke York akan tiba tepat jam 11.32am. Ia ditulis 'On Time'. Saya berdiri sambil berpeluk tubuh. Beg pakaian dan satu beg plastik penuh kudap-kudapan di sebelah kaki saya. Saya menunggu.... terus menunggu. Saya ditipu lagi rupanya. 'Train delayed' tertera di kaca monitor. Ia hanya tiba 10 minit kemudian. Walaupun angin sejuk sesekali melibas pakaian saya, dinginnya tak terasa kerana di dalam hati saya, api sedang marak membara.
Saya tiba di York tepat 12.20pm. Jelas sudah saya ketinggalan keretapi yang berlepas jam 11.57am. Dalam hati mula tertanya-tanya berapalah lagi yang perlu saya bayar untuk naik keretapi seterusnya ke Glasgow. Saya lompat-lompat keretapi ni kerana saya beli tiket murah dan tiket ini tidak boleh ditukar ganti hatta untuk waktu sekalipun. Oleh kerana 'service provider' saya adalah GNER, saya terus ke kaunter dan menerangkan pada pekerja wanita di situ tentang masalah saya. Saya suakan tiket-tiket saya padanya.
Saya diberikan dua alternatif. Satu, train seterusnya ke Edinburgh Waverley station akan tiba dalam masa 7 minit lagi. Dari Edinburgh, saya boleh menaiki FirstScotrail ke Glasgow ataupun menunggu sehingga 12.52pm untuk satu perjalanan terus ke Glasgow. Yang penting, saya tidak akan dikenakan apa-apa caj tambahan untuk perjalanan ini. Senyum mula memekar dibibir. Sudah pasti saya akan mengambil perjalanan terus ke Glasgow, tak perlulah saya mengusung beg-beg berat ini turun naik di Edinburgh.
Tren GNER tiba pada jam 12.45 dan meninggalkan platfom 9 di York Station tepat jam 12.52pm. Ramai juga orang di dalam tren yang menuju ke arah utara pulau ini. Tren GNER menyediakan broadband wireless untuk pelanggan mereka di dalam tren, tapi bagi saya, tingkap diluar mempunyai pandangan yang lebih menarik dari tingkap explorer7 hehehe.
Hati sangat-sangat terpaut melihat pemandangan tepi laut terutama sekali di daerah Berwick-Upon-Tweed. Memang menakjubkan. Malang sekali, bateri kamera saya mati dan saya pula tidak membawa 'charger'nya. Makanya pandangan ini saya rakamkan di dalam kotak ingatan saya sajalah. Mungkin bila ada kelapangan dan rezeki saya akan ke sana. Perjalanannya juga tidak begitu jauh dari Glasgow. Sekitar dua jam menaiki keretapi. InsyaAllah.