Wednesday, January 21, 2009

Ode Buat Abah.

Mama Eda pesan, suruh saya nangis puas-puas dan jangan pendam. Tapi saya tak mampu nak nangis puas-puas walaupun air mata saya asyik mengalir saja tiap kali saya teringat arwah abah dan kesedihan mak. Berkali-kali saya pesan pada diri sendiri, saya cuma kehilangan abah, ibu-ibu di Palestine kehilangan suami, anak dan saudara-mara akibat kekejaman Zionis. Saya berjenaka dengan Juli, Em, Deal, Leyha dan KakSu. Saya dah masuk kelab mereka. Kelab anak yatim, kematian bapa. Lepas ini saya layak terima wang zakat bukan saja sebagai asnaf.

Saya tak pandai luahkan perasaan sebenarnya. Kak Zah telefon kata saya kuat. Saya tabah. Tidak sebenarnya. Sayalah orang yang punya selemah-lemah emosi. Saya tak pandai menzahirkan perasaan saya melalui perbuatan. Tapi mungkin dengan menulis, saya dapat luahkan sikit apa yang saya rasa...

Sejak saya diberitahu yang abah dimasukkan ke hospital, air mata asyik mengalir saja. Agaknya saya kuat minum air kot, macam banyak sangat bekalan air kat mata ni. Masa tu perasaan saya berselang seli antara risau dan mengharap. Risau keadaan abah akan bertambah kritikal dan mengharap yang abah akan sembuh.

Arwah abah memang seorang yang lemah lembut dan dia tak suka menyusahkan orang lain. Sifatnya yang lain, dia tak suka meminjam, Dari sekecil-kecil skru hinggalah membuat pinjaman wang. Apa yang dia perlu, dia akan beli sendiri. Hinggakan membeli rumah yang telah diwasiatkan atas nama saya pun, dia beli secara tunai. Jadi tak hairanlah pada hari dia jatuh sakit, dia sendiri yang meminta untuk dihantar ke Hospital Besar Melaka dan bukan ke Klinik Kerajaan di Ayer Keroh. Mungkin dia sudah rasa yang dia bakal menemui penciptaNya tak lama lagi. Memang itulah perangai abah. Kalau dia tidak betul-betul sakit, dia tidak akan mengaduh.

Sepanjang empat hari arwah di Cardiac Care Unit, maklah yang menjaganya. Siang malam mak bersama arwah. Membisikkan kalimah Allah, membacakan Yaasin dan membuat sunat hajat. Tahun 2009, ulangtahun ke 40 perkahwinan mak dan abah. Kakak, Afiq dan Aqil berselang seli menemankan mak di CCU. Saya pula hanya mampu membacakan surah Yaasin, tunaikan solat hajat dan berdoa meminta yang terbaik dari Allah.

Sekiranya Kau takdirkan dia sihat, sembuhkanlah dia dengan segera. Sekiranya Kau takdirkan ini ajalnya, permudahkan urusan dia menemuiMu. Aku redha.
Ini doa saya setiap kali usai solat Hajat sepanjang empat hari saya berteka-teki dengan Qada' dan Qadar Allah. Apa yang saya fikir, supaya abah tidak tersiksa. Itu yang saya tak sanggup nak tanggung. Saya tak mahu arwah kesakitan tiap kali aliran elektrik disalurkan untuk memaksa jantung mengepam darah. Saya tak mahu arwah abah merasa tak selesa dengan tiub yang dimasukkan ke dalam mulutnya, hidung dan mana-mana lagi rongga badannya. Saya cuma tak mahu abah sakit. Dan kalau ajalnya sudah tiba, biarlah sakaratul maut itu dipermudahkan untuk abah. Itu saja pinta saya pada Allah.

Kalau ikutkan hati saya memang nak terbang balik hari saya terima berita pertama yang abah dimasukkan ke CCU. Tapi, saya ada peperiksaan yang perlu saya selesaikan. Mak mahu saya habiskan periksa dulu. Hari yang sama juga saya terus tempah tiket kapalterbang. Tarikhnya satu hari selepas saya habiskan peperiksaan saya. Ulang-ulang saya beritahu kakak yang saya akan balik 21 ni. Saya pesan pada kakak suruh beritahu mak dan beritahu arwah. Mana tahu, kalau-kalau dia dengar yang saya hendak pulang, semangat dia akan naik dan dia dapat bertahan dan insyaAllah akan sembuh.

Hari Isnin jam 11.00 malam saya telefon mak, ulang lagi yang saya akan pulang. Barang-barang semua saya dah siapkan. Ole-ole untuk anak-anak saudara juga saya sudah saya masukkan dalam beg. Dua helai seluar arwah yang saya beli masa jualan murah tahun baru pun saya lipat elok-elok dan masukkan dalam beg. Harapan saya, sempat saya jumpa abah. Saya masukkan juga CD gambar-gambar pengembaraan saya di bumi Scotland untuk arwah sebab arwah suka mengembara. Dia suka tengok gambar-gambar yang saya rakam setiap kali saya pulang dari mengembara. Hajat saya memang untuk menggembirakan hati arwah.

Masa saya berbual dengan mak, saya dengar suara mak sebak tapi mak cuba yakinkan saya yang keadaan abah stabil cuma abah diserang demam panas. Ada pergerakan sikit. Berita mak tak buatkan saya lega sebenarnya sebab pengalaman saya bekerja di hospital, saya tahu selalunya pesakit yang nazak akan pulih seketika sebelum meninggal dunia. Tapi, saya tak mahu mak bimbang. Sekali lagi mak pesan untuk saya teruskan dengan peperiksaan saya. Antara mak dan saya, mak lebih kuat sebenarnya. Mak tahu keadaan arwah semakin tenat tapi mak kawal emosi supaya saya tak bimbang. Satu jam selepas saya telefon mak, jururawat arwah telefon minta ahli keluarga berada bersama kerana keadaan arwah abah semakin kritikal dan doktor sudah tidak mampu buat apa lagi. Yang tinggal hanya doa dan semangat arwah saja. Jam lapan empat puluh lima minit, arwah menemui penciptaNya.

Kakak sudah pesan supaya saya beri tumpuan pada peperiksaan dan tak telefon rumah sehingga peperiksaan saya selesai. Maaf, saya tak dapat tumpukan pada kertas. Fikiran saya cuma pada arwah abah. Selesai peperiksaan jam 12 tengahari, saya telefon dan ayat pertama dari kakak saya, "Kau sabar, ya."

Dalam hujan lebat dan suhu yang menjunam hingga 3C, kakak beritahu yang Allahyarham sudah selamat disemadikan selepas zuhur 23 Muharram 1430. Saya rasa masa tu hati saya turut beku. Saya nak masuk ke SUMSA, tapi pintunya masih berkunci. Mujur talian telefon tidak berapa baik, maka perbualan saya dengan kakak terputus. Tergantung. Buat seketika saya berdiri dalam hujan, bingung tak tahu nak ke mana, sedangkan saya sudah merancang untuk ke jabatan untuk menyerahkan surat memberitahu ketidakhadiran saya untuk dua minggu. Akhirnya saya putuskan untuk pulang ke rumah. Dalam perjalanan pulang itu, baru saya rasa kehilangan yang sangat-sangat.

Saya memang sudah redha dengan ketentuan Allah. Dari Dia kita datang dan kepadaNya kita kembali. Cuma saya agak terkilan, bukan sebab saya tidak dapat menatap wajahnya buat kali terakhir sebab saya tahu dia sentiasa di hati saya. Saya terkilan kerana saya berhajat untuk mengajak dia ke sini dan bersama-sama duduk di bangku dengan emak untuk menyaksikan hari graduasi saya pada tahun 2010. Saya berhajat sangat hendak bawa dia jalan-jalan. Saya berhajat untuk membuat dia bangga dengan kejayaan saya. Hajat-hajat saya yang tak sampai inilah yang buatkan saya sedih sebenarnya.

Beberapa minggu sebelum dia meninggal, saya perasan yang arwah tiba-tiba agak manja dengan saya. Dia mengadu sesak nafas. Saya nasihatkan dia untuk ke doktor tapi dia kata dia cuma kena gastrik. Angin mungkin. Dia beritahu yang dia sekarang suka berjalan-jalan di waktu pagi untuk mengeluarkan peluh. Atas saranan saya, sudah mula kurangkan minuman kopi, teh dan susu. Sudah makan banyak buah dan sayur-sayuran. Memang arwah kedengaran gembira bercerita. Tidak lama selepas itu, arwah bertanya pada mak, bila saya hendak balik. Mak jawab, "Lambat lagi bah, 2010."

Saya mungkin sudah berusia 34 tahun, tapi dengan abah, saya masih lagi anak kecilnya. Saya memang manja dengan arwah. Sangat. Sesuai dengan namanya - bapa penyayang, arwah memang sangat penyayang dengan anak-anak.

Sejak tengahari usai memberi berita terbaru kepada rakan-rakan dan keluarga di sini, bertimpa-timpa ucapan takziah masuk ke peti masuk telefon bimbit. Keluarga di sini menganjurkan solat ghaib dan bacaan yaasin. Ustazah pula cuba hendak motivasikan saya, tapi Alhamdulillah, saya sedar dan saya redha. Ucapan takziah masih meluru masuk ke peti. Saya baca, jawab dan padam semuanya.

Tinggal satu yang saya masih belum dapat tekan butang padam.

Mesej dari kakak pada 17 Jan 2009 09:15
2nd thought elok gak kot ko blek sbb bru teringat abah ada tnya mak bila ko nak blek...

Mungkin saya akan biarkan dulu mesej ni sampai saya rasa kuat untuk tekan butang padam. Mungkin juga saya akan padam bila saya jumpa mak, peluk dan menangis puas-puas atas bahunya. Atau mungkin juga saya akan biar mesej ini sampai bila-bila untuk ingatkan saya supaya tidak lupa doakan kesejahteraan abah di sana. InsyaAllah saya akan sentiasa doakan abah.









Tuesday, January 20, 2009

Thank You

Terima kasih pada semua yang mendoakan ayahanda saya.

Allahyarham telah pulang ke rahmatullah pada 20 Jan 2009 bersamaan Hari Selasa 23 muharram 1430

Semoga Allah cucuri rahmat atas roh ayahanda saya.

Semoga Allah kuatkan semangat kami semua.

Haji Abu Khair bin Haji Sukor
26/05/1940 - 20/01/2009

Semoga abah tenang-tenang di sana.

p/s I just miss him so much.

Saturday, January 17, 2009

I PRAY...



I PRAY HARD



FOR YOU














AND ESPECIALLY FOR YOU













BECAUSE YOU ARE VERY SPECIAL TO ME......


I'm coming home.

Monday, January 12, 2009

Mim Alif Lam Sin

Memang dah lama tak tengok blog orang apatah lagi update blog sendiri. Memang tak ada ghairah langsung dah nak menulis blog. Entahlah kot, mungkin sebab masih lagi di awal tahun. Selalunya macam tu lah. Kalau awal tahun mood memang sewel sikit, nanti bila dah masuk bulan 3 dan seterusnya baru ok kot.

Kalau sesiapa nampak aku sekarang mesti ingat aku ni relaks aje, macam tak ada benda nak buat. Nampak aku merewang sana sini. Sat-sat pi bandar lah sat-sat pi shopping centre-lah. Hehehe. Sebenarnya aku banyak sangat kerja la ni.

  • Aku ada exam 20hb ni. Satu subjek aje. Tapi tak baca buku lagi. Sebab. Aku baca jurnal jer hehehe. Buku semua dah habis orang pinjam (baca: tu la lambat sangat nak mentelaah) (baca2: baca awal takut lupa) (baca3: malas) hahahaha.
  • Aku janji nak siapkan buku aku sebelum 2 Febuari. Tapi la ni tak siap-siap lagi. Macam kain perca, bak kata mak aku. Tampal sana, tampal sini huhuhuhu.
  • Terjemahan buku sekuel Terowong pun tak sentuh lagi. Banyak lagi nak dihabiskan.

Jadi amacam?

Meh tengok TV lah. Walaupun TV boleh buat aku rasa depressed tapi banyak gaklah ilmu yang boleh dapat dari program TV ni hehe

  1. Who's Got God's Millions? - Aku tengok dah lama. Akhir tahun lepas. Hostnya Robert Llewellyn seorang Atheist. Dia nak cari dalam banyak-banyak agama di dunia ni, agama mana yang paling kaya sekali. Dia pilih empat agama monotheistic yang paling popular di dunia. Dari Canterbury Cathedral, dia pergi ke Vatican City dan Israel sebab nak kira berapa banyak duit dan aset yang Anglican Commune, Katholik, Judaism dan Islam ada. Rupa-rupanya antara 4 agama ni, yang paling kaya adalah Islam.. erk! Aku dah lupa berapa banyak yang ada. Tak silap aku ranking ke dua Katholik, ke 3 Anglican Church dan last sekali Judaism kot.. tapi kira bukan Judaism la yang pertama. Surprise gak. Tapi tak leh pakai kot sebab si Llewellyn tak dapat nak cari confirmation berapa banyak aset yang di uruskan oleh keempat-empat agama ni. Aku bagi ** je kat doku ni.
  2. Islam and Science - Tengok dengan Mimi hari tu. Hostnya profesor Jim Al-Khalili. Nak baca seterusnya pi ke blog mimi atau ke blog cik akuatik ye. Menarik gak dokumentari ni. Prof Jim ni mak dia British, pak dia Iraqi. Apa kata Kementerian Pendidikan review balik silibus ke, jenis buku yang diajar kat sekolah, terutama tentang sejarah dunia ni. Sekurang-kurangnya pelajar-pelajar muda kita lebih kenal Ibn Sina, Ibn Batutah, Ibn Khaldun selain dari Hippocrates, Christopher Columbus atau Karl Marx. Aku bagi ***
  3. Jesus is Jew - Yang ni aku tengok semalam. Woah yang ni aku lupa siapa host dia. Sebab dok ralit menyembang jer semalam. Tapi dipendekkan cerita, host dia memang seorang non-practising Jew. Dia ada gak cerita kenapa Yahudi tak terima ajaran Christ. Macam kelahiran Rasulullah juga, mereka percaya akan datang seorang yang akan menyelamatkan mereka i.e the savior and the warrior. Tapi apabila Jesus lahir (macam dalam Nativity) di Bethlehem tu, Jesus bukanlah seorang seperti yang dorang harapkan. Depa kata Jesus bergelumang dengan gelandangan dan pelacur. Jadi macamana nak jadi penyelamat? Jadi mereka kembali kepada The Old Testament (Torah). Sejarah lagi, Jesus dilahirkan pada zaman pemerintahan Rome dan orang Rome tak suka Jews dan agamanya maka mereka dikatakan kelas bawahan aje. Lepas Jesus mati, mulalah keluar gospel sana sini yang menyesatkan. Penipu besar si Paul, tapi raja Rome bagi muka kat Paul maka berkembanglah agama ni. Seterusnya orang Yahudi memang tak ada tempat kat dunia ni. Orang Kristian memang benci orang Jews. Kira orang Yahudi memang disiksa dengan orang Kristian lah. Gitu. Aku bagi *** juga.
Dah habis cerita. TAMAT dah....

Tuesday, January 06, 2009

9th of Muharram

  • Hari ni 9th Muharram - Hari jadi aku ikut kalendar Islam.
  • Esok 10th of Muharram. Hari ke sepuluh dalam bulan Muharram - Hari Ashura'. Hari orang Yahudi puasa juga. Jadi kalau kita puasa hari 10 Muharram saja, kita jadilah macam orang Yahudi hahahaha.. Sebaik-baiknya puasalah 9,10 dan 11hb Muharram. Kalau nak puasa penuh bulan Muharram ni pun bagus gak kan. Macam tu lah pesanan ayahanda.
  • Semalam dengar protes anti-zionist di George Square. Setakat dengar ajelah. Cuma kagum gaklah dengan Scottish ni. Lebih Muslim dari Muslim. Berkobar-kobar semangat dia bercakap guna lound hailer dalam cuaca sub-zero kat Glasgow semalam. Pulak tu dekat dengan lokasi Winter Festival. Bisingla sikit. Bantahan dibuat secara aman di bawah pemerhatian dua abang polisi yang berdiri kat tepi aje. Tang ni aku suka sangat kat UK. Kebebasan bersuara atau berkumpul boleh dibuat tanpa campurtangan polisi.
  • Sangat sejuk. Sangat-sangat sejuk. Minggu ni suhu junam terus. Paling rendah -9C pagi semalam. Jalan licin. Tak ada salji kat Glasgow. Tapi jalan licin sebab sleet. Silalah hati-hati di jalan raya.
Oh, oh. Hari Ahad hari tu NGO untuk Palestine buat demo kat sekitar Glasgow. Salah satu lokasi kat depan kedai buku Borders di Jalan Buchanan. Menarik juga. Tapi macam biasalah kan, kalau protes hari minggu tu aku tak pergi tengok sebab kerja. Dapat tahu pun dah agak lewat gak. Kawan aku yang pi tengok protes tu kata, dalam ramai-ramai orang yang lalu dan singgah tengok, dia tak nampak pun sorang rakyat Malaysia.

Dia pun pelik gak laa... sebab info pasal protes tu diwar-war dan disebar-sebar kat yahoo group rakyat Malaysia kat sini, tapi dia tak nampak pulak orang Asia sama-sama kat protes tu. Ya lah, dah di war-warkan, jadi dia ingat macam ramai jer berminat nak turut serta, tak pun jadi pemerhati ke.

Dia kata, dia rasa adalah dalam 200 orang Melayu kat Glasgow ni, tapi satu batang hidung pun dia tak nampak pergi ke situ. Tak kiralah PhD ke, Masters ke. Undergrad pun tak ada. Yalah, dalam hati aku kata cuaca pun sejuk sangat, takkan nak keluar. Lagipun dari dok beku kat situ, lebih baik shopping kat Marks ke, carboot ke, beli pinggan mangkuk ke.