Ode Buat Abah.
Saya tak pandai luahkan perasaan sebenarnya. Kak Zah telefon kata saya kuat. Saya tabah. Tidak sebenarnya. Sayalah orang yang punya selemah-lemah emosi. Saya tak pandai menzahirkan perasaan saya melalui perbuatan. Tapi mungkin dengan menulis, saya dapat luahkan sikit apa yang saya rasa...
Sejak saya diberitahu yang abah dimasukkan ke hospital, air mata asyik mengalir saja. Agaknya saya kuat minum air kot, macam banyak sangat bekalan air kat mata ni. Masa tu perasaan saya berselang seli antara risau dan mengharap. Risau keadaan abah akan bertambah kritikal dan mengharap yang abah akan sembuh.
Arwah abah memang seorang yang lemah lembut dan dia tak suka menyusahkan orang lain. Sifatnya yang lain, dia tak suka meminjam, Dari sekecil-kecil skru hinggalah membuat pinjaman wang. Apa yang dia perlu, dia akan beli sendiri. Hinggakan membeli rumah yang telah diwasiatkan atas nama saya pun, dia beli secara tunai. Jadi tak hairanlah pada hari dia jatuh sakit, dia sendiri yang meminta untuk dihantar ke Hospital Besar Melaka dan bukan ke Klinik Kerajaan di Ayer Keroh. Mungkin dia sudah rasa yang dia bakal menemui penciptaNya tak lama lagi. Memang itulah perangai abah. Kalau dia tidak betul-betul sakit, dia tidak akan mengaduh.
Sepanjang empat hari arwah di Cardiac Care Unit, maklah yang menjaganya. Siang malam mak bersama arwah. Membisikkan kalimah Allah, membacakan Yaasin dan membuat sunat hajat. Tahun 2009, ulangtahun ke 40 perkahwinan mak dan abah. Kakak, Afiq dan Aqil berselang seli menemankan mak di CCU. Saya pula hanya mampu membacakan surah Yaasin, tunaikan solat hajat dan berdoa meminta yang terbaik dari Allah.
Sekiranya Kau takdirkan dia sihat, sembuhkanlah dia dengan segera. Sekiranya Kau takdirkan ini ajalnya, permudahkan urusan dia menemuiMu. Aku redha.Ini doa saya setiap kali usai solat Hajat sepanjang empat hari saya berteka-teki dengan Qada' dan Qadar Allah. Apa yang saya fikir, supaya abah tidak tersiksa. Itu yang saya tak sanggup nak tanggung. Saya tak mahu arwah kesakitan tiap kali aliran elektrik disalurkan untuk memaksa jantung mengepam darah. Saya tak mahu arwah abah merasa tak selesa dengan tiub yang dimasukkan ke dalam mulutnya, hidung dan mana-mana lagi rongga badannya. Saya cuma tak mahu abah sakit. Dan kalau ajalnya sudah tiba, biarlah sakaratul maut itu dipermudahkan untuk abah. Itu saja pinta saya pada Allah.
Kalau ikutkan hati saya memang nak terbang balik hari saya terima berita pertama yang abah dimasukkan ke CCU. Tapi, saya ada peperiksaan yang perlu saya selesaikan. Mak mahu saya habiskan periksa dulu. Hari yang sama juga saya terus tempah tiket kapalterbang. Tarikhnya satu hari selepas saya habiskan peperiksaan saya. Ulang-ulang saya beritahu kakak yang saya akan balik 21 ni. Saya pesan pada kakak suruh beritahu mak dan beritahu arwah. Mana tahu, kalau-kalau dia dengar yang saya hendak pulang, semangat dia akan naik dan dia dapat bertahan dan insyaAllah akan sembuh.
Hari Isnin jam 11.00 malam saya telefon mak, ulang lagi yang saya akan pulang. Barang-barang semua saya dah siapkan. Ole-ole untuk anak-anak saudara juga saya sudah saya masukkan dalam beg. Dua helai seluar arwah yang saya beli masa jualan murah tahun baru pun saya lipat elok-elok dan masukkan dalam beg. Harapan saya, sempat saya jumpa abah. Saya masukkan juga CD gambar-gambar pengembaraan saya di bumi Scotland untuk arwah sebab arwah suka mengembara. Dia suka tengok gambar-gambar yang saya rakam setiap kali saya pulang dari mengembara. Hajat saya memang untuk menggembirakan hati arwah.
Masa saya berbual dengan mak, saya dengar suara mak sebak tapi mak cuba yakinkan saya yang keadaan abah stabil cuma abah diserang demam panas. Ada pergerakan sikit. Berita mak tak buatkan saya lega sebenarnya sebab pengalaman saya bekerja di hospital, saya tahu selalunya pesakit yang nazak akan pulih seketika sebelum meninggal dunia. Tapi, saya tak mahu mak bimbang. Sekali lagi mak pesan untuk saya teruskan dengan peperiksaan saya. Antara mak dan saya, mak lebih kuat sebenarnya. Mak tahu keadaan arwah semakin tenat tapi mak kawal emosi supaya saya tak bimbang. Satu jam selepas saya telefon mak, jururawat arwah telefon minta ahli keluarga berada bersama kerana keadaan arwah abah semakin kritikal dan doktor sudah tidak mampu buat apa lagi. Yang tinggal hanya doa dan semangat arwah saja. Jam lapan empat puluh lima minit, arwah menemui penciptaNya.
Kakak sudah pesan supaya saya beri tumpuan pada peperiksaan dan tak telefon rumah sehingga peperiksaan saya selesai. Maaf, saya tak dapat tumpukan pada kertas. Fikiran saya cuma pada arwah abah. Selesai peperiksaan jam 12 tengahari, saya telefon dan ayat pertama dari kakak saya, "Kau sabar, ya."
Dalam hujan lebat dan suhu yang menjunam hingga 3C, kakak beritahu yang Allahyarham sudah selamat disemadikan selepas zuhur 23 Muharram 1430. Saya rasa masa tu hati saya turut beku. Saya nak masuk ke SUMSA, tapi pintunya masih berkunci. Mujur talian telefon tidak berapa baik, maka perbualan saya dengan kakak terputus. Tergantung. Buat seketika saya berdiri dalam hujan, bingung tak tahu nak ke mana, sedangkan saya sudah merancang untuk ke jabatan untuk menyerahkan surat memberitahu ketidakhadiran saya untuk dua minggu. Akhirnya saya putuskan untuk pulang ke rumah. Dalam perjalanan pulang itu, baru saya rasa kehilangan yang sangat-sangat.
Saya memang sudah redha dengan ketentuan Allah. Dari Dia kita datang dan kepadaNya kita kembali. Cuma saya agak terkilan, bukan sebab saya tidak dapat menatap wajahnya buat kali terakhir sebab saya tahu dia sentiasa di hati saya. Saya terkilan kerana saya berhajat untuk mengajak dia ke sini dan bersama-sama duduk di bangku dengan emak untuk menyaksikan hari graduasi saya pada tahun 2010. Saya berhajat sangat hendak bawa dia jalan-jalan. Saya berhajat untuk membuat dia bangga dengan kejayaan saya. Hajat-hajat saya yang tak sampai inilah yang buatkan saya sedih sebenarnya.
Beberapa minggu sebelum dia meninggal, saya perasan yang arwah tiba-tiba agak manja dengan saya. Dia mengadu sesak nafas. Saya nasihatkan dia untuk ke doktor tapi dia kata dia cuma kena gastrik. Angin mungkin. Dia beritahu yang dia sekarang suka berjalan-jalan di waktu pagi untuk mengeluarkan peluh. Atas saranan saya, sudah mula kurangkan minuman kopi, teh dan susu. Sudah makan banyak buah dan sayur-sayuran. Memang arwah kedengaran gembira bercerita. Tidak lama selepas itu, arwah bertanya pada mak, bila saya hendak balik. Mak jawab, "Lambat lagi bah, 2010."
Saya mungkin sudah berusia 34 tahun, tapi dengan abah, saya masih lagi anak kecilnya. Saya memang manja dengan arwah. Sangat. Sesuai dengan namanya - bapa penyayang, arwah memang sangat penyayang dengan anak-anak.
Sejak tengahari usai memberi berita terbaru kepada rakan-rakan dan keluarga di sini, bertimpa-timpa ucapan takziah masuk ke peti masuk telefon bimbit. Keluarga di sini menganjurkan solat ghaib dan bacaan yaasin. Ustazah pula cuba hendak motivasikan saya, tapi Alhamdulillah, saya sedar dan saya redha. Ucapan takziah masih meluru masuk ke peti. Saya baca, jawab dan padam semuanya.
Tinggal satu yang saya masih belum dapat tekan butang padam.
Mesej dari kakak pada 17 Jan 2009 09:15
2nd thought elok gak kot ko blek sbb bru teringat abah ada tnya mak bila ko nak blek...
Mungkin saya akan biarkan dulu mesej ni sampai saya rasa kuat untuk tekan butang padam. Mungkin juga saya akan padam bila saya jumpa mak, peluk dan menangis puas-puas atas bahunya. Atau mungkin juga saya akan biar mesej ini sampai bila-bila untuk ingatkan saya supaya tidak lupa doakan kesejahteraan abah di sana. InsyaAllah saya akan sentiasa doakan abah.