Saturday, January 06, 2007

Saya mahu itu.

Satu
Selalu kalau kita duduk makan, kita lihat makanan di pinggan orang lain lebih menyelerakan dari makanan di pinggan sendiri. Kita rasa, 'Ish kenapalah aku tak minta makanan macam si anu tu. Nampak lebih sedap dari yang aku ada.'
Kita tengok pelanggan di meja sebelah pula. 'Ha! Dia punya pun nampak lebih sedap. Makanan aku ni rasa macam kurang garam la pulak. Warna pun nampak hambar aje. Kurang perencah agaknya.' Kita asyik ralit tengok makanan-makanan yang menyelerakan di pinggan orang sampai kita lupa tentang makanan kita yang sebenarnya lebih enak dimakan ketika ia belum sejuk. (Tidaklah panas sangat - Rasulullah kan dah pesan, jangan makan makanan panas-panas sampai terkuap-kuap mulut bak ikan naik ke darat).
Sebenarnya, kalau kita beri tumpuan pada makanan kita dan tak terlalu cerewet dalam apa yang ada di dalam pinggan kita, pastinya kita akan dapat merasa dan nikmati keenakan makanan tersebut. Pasti orang-orang di sebelah kita akan lihat betapa enaknya makanan kita sehingga kita langsung tidak pedulikan mereka semua. Sudah pasti mereka pula terliur dan inginkan makanan yang ada di pinggan kita kala itu. Sudah pasti timbul perasaan iri hati atau dengki di hati mereka kerana ingin menikmati apa yang kita nikmati kala itu.
Dan kita? Kita sudah tidak pedulikan apa yang ada di pinggan orang lain kerana kenikmatan yang sebenar berada di pinggan sendiri. Kita yang memilih, kita yang meminta, kita yang menikmati dan kita yang akan membayar harga pilihan, permintaan dan kenikmatan yang diperolehi.
Mungkin juga kita yang terpaksa berlakon enaknya makanan itu tapi tiada siapa yang tahu sebab risiko dari pemilihan dan permintaan itu, mungkin juga keenakan mungkin juga sengsara. Tiada siapa yang tahu kecuali kita.
Teruskan makan sehingga habis kerana akhirnya, kita juga yang akan membayarnya. Bukan dia, bukan pelanggan di sebelah, juga bukan tuan punya restoran yang tidak mengamalkan memberi makanan percuma kepada pelanggan-pelanggannya.
Dua
Selepas solat, saya tidak lupa berdoa supaya Allah tambahkan lagi iman saya yang lebih halus dari kulit bawang yang dimayang. Allah beri kecerdasan kepada saya, mudahkan menerima ilmu yang ditimba. Supaya Allah sejahterakan ibu bapa saya supaya mereka dapat bertakwa kepadaNya dan mereka mendoakan pula untuk kesejahteraan saya. (Doa ibu bapa yang beriman, sangatlah mustajab - ia juga sebagai 'back-up' doa saya kerana saya juga nakal (baca : alpa) orangnya).
Tidak ketinggalan juga saya sering berdoa minta Allah sihatkan tubuh badan saya dan murahkan rezeki saya di sini.
Oh! Saya lupa lagi. Allah itu maha Pengasih dan Penyayang. Dia sentiasa mendengar rintihan umatnya dan doa saya tatkala saya kadang-kadang sangat-sangat nakal dan lupa memanjatkan syukur dan puji-pujian pada Nya.
Dalam kekalutan hidup saya di sini, Dia telah berikan rezeki pada saya. Melimpah. Ruah. Seolah ayah yang penyayang, limpahan rezeki saya bersyarat rupanya. Mengingatkan saya bahawa meminta itu kerja orang yang tak mahu susah payah. Saya 'diajar' lagi. Dalam kesenangan meminta, saya harus berusaha. Membuat pilihan.
Saya terima dua panggilan kerja. Yang mana satu harus saya pilih? Satu, sudah saya terima dan satu lagi bakal menjelma. Saya mahu dua-dua. Kalau boleh saya mahu ada yang ke tiga. Saya tamak lagi rupanya. Saya mahu makanan di pinggan saya dan saya juga mahu makanan di pinggan dia.
Saya harus berteleku lagi. Saya harus berfikir dengan kecerdasan minda yang diberiNya untuk mencari jalan membuat kedua-duanya sekali kerana saya tahu, kudrat saya mampu melakukannya. Saya akan terus meminta...

4 comments:

Iman Mawaddah said...

Salam kak,
Sifat semulajadi manusia memang tidak pernah puas dengan apa yang dimilikinya. Bukan sahaja dari sudut makanan, tetapi juga dalam pelbagai situasi kehidupan. Contohnya apabila kita tengok puteri raja. Datang di fikiran kita..andai aku seorang puteri raja seperti dia alangkah bagusnya aku. Serba serbi orang uruskan. Tetapi kita tidak tahu dihati puteri raja pula terdetik..andai aku seorang rakyat biasa seperti dia pasti aku bebas melakukan apa yang aku ingin lakukan antaranya minum di warung tepi jalan, menaiki lrt dan membeli belah di tempat yang standardnya biasa2 sahaja.

Tetapi bagi saya tidak salah menjadi tamak dari sudut pencarian ilmu dan pengalaman yang baik untuk kehidupan. Asalkan kita mampu lakukan, teruskan sahaja. Cermin dan nilai kemampuan diri kita dahulu, selebihnya banyakkan tawakkal kepada Allah agar memudahkan urusan kita.

Apa2 pun sentiasalah bersyukur dengan apa yang Allah berikan. Sebab sesuatu perkara pasti ada hikmah yang tersembunyi. Pokok pangkal sebuah kebahagiaan itu datangnya dari hati. Hati yang suci dan ikhlas terhadap Rabbu Izzati

Anonymous said...

biasalah mek, manusia ni kan apa yang orang punya itulah yang dia nak walaupun yang dah ada di tangan lebih banyak sampai melambak2 macam yang berlaku di Malaysia ni lah kan (hmmm siapa agaknya tu ye).

Anyway, aku ada satu cara yang praktikal, kalaupun tidak mudah untuk menanganinya, kalau aku iri hati tengok orang shopping, aku tak gi shopping masa sale (satu hal orang macam ulat mayat, satu hal sebenarnya semua kita ni kena tipu dengan tokey kedai), or kalau tak pun, aku g window shopping. ala masa try2 baju tu bukan ko kena bayar pun kan. ha tetap lah merasa nak pakai handbag prada ke, mink coat ke apa ke.

kedua, setiap bulan pamper diri kita dengan sesuatu yang kita tau fullfilling, contohnya kalau ko tu giler buku macam aku ni, sesekala dalam list buku tu belilah buku yang ko nak walaupun regenya mahal yang amat, or kalau ko suka makan, (macam aku la jugak kan) sesekali pergilah menikmati juadah di tempat yang mahal (provided ko dah kumpul duit selepas puasa enam bulan tak makan lah kan hehehe) ala bukan selalu pun kan.

tapi kan, kadang kita ni tak sedar, orang yang banyak harta benda dan duit melimpah suah ni bukan semuanya yang bahagia, bukan semuanya gembira. contoh terdekat kes razak baginda tu. Ko pikir sekarang ni isterinya gembira ke suaminya terpaksa merengkok dalam penjara sementara nak tunggu permohonan jaminan?

kurang-kurangnya kita yang tak berapa nak berada ni masih lagi tidur atas tilam empuk, dibuat bayu buatan kipas angin dan memeluk sang mr teddy kecilku (sebab teddy yang beso lambat sangat nak tidur sekatil sebab belum sah ikatan hehehe). tak rasa ke, dalam keadaan suami di penjara, semua tilam vono, slumberland, dreamland, kereta beso, rumah beso sudah tidak bermakna lagi?

khairyn said...

salam

iman,
Hmm... memang kadang2 kita terlalu iri dengan apa yang orang ada sampai kita abaikan apa yang kita ada. Saya pun cuba positifkan sifat iri yang memang sedia ada dalam iri. Dan saya nak 'concentrate' lebih pada apa yang ada dalam pinggan saya supaya orang lain yang tengok pula akan rasa iri hati hehehehe... Dan saya juga akan jadi tamak. Mahu ilmu lebih. InsyaAllah.

diva,

Apa cerita di Jepun? Seronok?
Ah! Apa yang kau suka, aku pun suka. Buku? Tadi pergi bandar masuk Borders and WHSmith. Dok ralit membaca buku tapi tak mampu nak beli hehehe. Bukan macam dulu ada 'book vouchers'. Macam biasa sisa-sisa Christmas and Menumbuk (Boxing) Sales masih ada lagi. Belek-belek juga jeans2 yang berharga £3-5 tapi urut-urut kocek, nantilah dulu.

Betul gak wang tidak menjanjikan kebahagian tapi wang menjanjikan keselesaan. Bukan akulah itu sekiranya aku kata wang tidak dapat membuatkan aku bahagia, sebab tanpa wang tak bolehlah aku beli buku-buku untuk membahagiakan aku... er kan kan kan?? :p

Dan aku juga suka tidur di atas tilam vono, dreamland atau slumberland hatta tilam yang dijual oleh apek naik lori sekalipun. Namun aku juga masih boleh terlelap tidur beralaskan tikar mengkuang, bantal satu dan selimut kotak-kotak tanpa teddy bear kecik ataupun besar untuk dipeluk huhuhu.

p/s - aku doakan kau dan mr teddy cepat-cepatlah 'halal' hehehe. Aku rindu paluan kompang dan jidur.

Anonymous said...

wah nampak gayanya harus aku mengubah lokasi honeymoon nanti. itu pun kalau jadi. ni pun asyik bertekak jer.

macam2 isu aku dan dia, aku lagi dengan segala hal mak nenek yang perlu kufikirkan, dia dengan segala masalah yang perlu dibereskan.

ada juga tindakan2 yang aku buat dan kini aku tertanya sendiri apakah kewajarannya. isu yang perlu diselesaikan selalunya berkaitan kewangan, kadang terfikir juga haruskan aku back off, tapi kalau tiap kali mcm tu harus aku tidak berkahwin.

selain itu isu anak2 dia, bolehkan menerima ibu tiri yang selayaknya digelar kakak? kalau yang dua bungsu itu mungkin bolehlah memanggil ummi, yang sulung itu, bagaikan adik saja. entahlah.

isunya banyak, tapi aku yang semakin stress. tak tau la. pasal jepun, sipnopsis sudah dititip di blogku, singgah2 la. gambar2nya nak di post ke blog lagi satu, tapi laptop buruk pemberian company yang berangan nak membeli company orang tu asyik pula membuat hal. letih aku