Friday, December 01, 2006

Alhamdulillah.

Syukur ke hadrat Allah. Nikmat yang diberikan pada saya amat melimpah ruah pada setiap saat dan setiap hari yang saya lalui di bumi asing ini.
Pertama-tama saya bersyukur kerana Dia membenarkan saya satu hari lagi untuk menikmati dunia. Dia tidak menarik nikmat perasaan dan fitrah saya sebagai hambaNya.
- Rezeki Allah limpahkan pada saya terlalu banyak. Kadang-kadang saya terlalu alpa sehingga sering mengeluh dengan nilai wang yang semakin menyusut. Saya mengeluh kerana tidak mampu membuang wang untuk perkara-perkara yang remeh temeh. Saya terlalu banyak mengeluh dan mengadu sedangkan saya lupa, setiap detik jantung saya berdegup, setiap kali kelopak mata saya berkelip, adalah limpahan rezeki yang Allah bagi pada saya. Yang saya masih diberikan satu hari lagi peluang untuk berbadat dan menyerahkan diri padaNya.
Pada mulanya saya dilanda perasaan kecewa sehingga hampir menitiskan air mata kerana keputusan esei saya yang pertama tidak saya jangkakan sama sekali. Tapi saya bersyukur kerana saya jauh sekali untuk gagal. Akan saya jadikan iktibar untuk masa yang akan datang. Percayalah.
Kedua, Dia membenarkan segala urusan saya berjalan dengan tenang, walaupun tidak semuanya berakhir dengan kegembiraan. Yang khilaf akan saya jadikan pengajaran. InsyaAllah.
- Matahari, walaupun bersembunyi di balik awan tetap menerobos menyimbah bumi dengan sinar dan hangatnya. Awan walaupun bergumpalan tebal tetap tidak menitikkan walau setitis air membasahi hambaNya yang bertebaran mencari rezeki.
Tiada wajah-wajah masam yang saya temui sepanjang saya menjalankan urusan saya siang tadi. Walaupun hati tidak sepenuhnya riang dan gembira, tapi saya lega kerana setiap urusan yang terbengkalai, dapat saya lunaskan dalam masa satu hari.
Ketiga, mendapat seorang kawan yang sangat ikhlas membantu walaupun terpaksa mengorbankan masanya sendiri untuk menemankan saya mencari lokasi sebuah pejabat yang begitu asing bagi saya.
- Kita baru berkenalan. Di sinilah kita dipertemukan, tapi keikhlasan dan kepercayaan sesama kita seolah kita telah terlalu lama bersahabat. Jarak umur yang agak berbeza tidak sedikitpun membuatkan masing-masing kekok untuk berbicara. Mungkin saya yang keanak-anakan atau dia yang matang.
Terima kasih, budi dan jasa baik anda akan saya kenang sampai bila-bila.
Keempat, Dia menemukan saya dengan seorang saudara baru yang mengucapkan syahadah selepas menunaikan solat Jumaat tengahari tadi. Alhamdulillah.
- Kami bertemu di masjid, beberapa hari yang lepas. Agak kekok juga apabila dia menegur dengan tuturan Gleswegian yang terlalu pekat. Tapi, senyumannya sangat ikhlas. Dia kelihatan malu-malu dan kekok. Saya menawarkan diri untuk membantu setakat yang boleh dan dia tersenyum senang. Kami berbual agak lama di luar dewan solat. Dia mengaku, dia ke sini mencari agama. Maha besar Allah, kata saya dalam hati.
Dengan tawa yang agak hambar dia berkata, 'adakah terlambat untuk saya mencari agama?' Saya menggelengkan kepala, 'Allah memberi hidayah pada hamba yang dipilihNya. Bersyukur hati anda terbuka untuk mengenali agama yang satu ini.' Sekali lagi dia melemparkan senyuman pada saya.
Perbualan kami kemudian berkisar tentang perkara-perkara yang biasa. Dia bertanyakan umur dan pekerjaan saya. Saya cerita yang benar dan memberitahunya saya baru kembali ke sekolah. Dia tersenyum lagi. 'Seperti saya, anda masih tidak terlambat untuk menuntut ilmu', katanya. Kali ini saya pula yang tersenyum meleret. Saya tanya pada dia, adakah dia yakin untuk melafazkan syahadah, dia mengangguk saja. 'Bila?' Tanya saya lagi. 'Jika diizinkan Allah, pada hari Jumaat ini selepas solat Jumaah. Anda akan ada di sana?' tanya dia. 'InsyaAllah'.
Saya terpaksa menghentikan perbualan setakat itu kerana tanggungjawab saya sebagai seorang pelajar harus saya utamakan. Lagipun rasanya tidak manis berbual tentang perkara dunia di luar dewan solat. Saya mengucapkan selamat maju jaya dan mengalu-alukan keputusannya untuk mengucapkan syahadah. Dengan senyuman yang masih lagi bersisa, saya menarik dia ke dalam pelukan saya dan mengingatkan dia (dan saya juga) untuk menjadi seorang muslimah yang baik. InsyaAllah.
Alhamdulillah, syukur pada Allah.

11 comments:

Fadh Rahman said...

Alhamdulillah...sesungguhnya nikmat Allah kepada kita begitu banyak dan tak terhitung jumlahnya...cuma kekadang kita alpa dan leka dengan nikmat yang diberikan...hinggakan bila Allah tarik balik nikmat yang Dia kurniakan...walau sedikit...kita dah mengeluh dan berasa putus asa...sedangkan selama ini...kita lupa untuk mengucapkan syukur kepada-Nya...!

khairyn said...

Itulah yang saya cuba ingatkan pada diri sendiri. Sejak kebelakangan ini saya terlalu banyak mengeluh sehingga saya letih. Sedangkan nikmat yang saya terima sangat melimpah ruah.

.

INDERA KENCANA said...

Saya teringatkan seorang teman saya yang sangat terpengaruh dengan idea sufi. Dia pernah berkata kepada saya, "Ingatlah. Sewaktu engkau memulakan hari pagi, engkau akan melihat Allah tersenyum padamu melalui senyuman orang-orang yang berpapasan denganmu.."

Semoga dia menjadi muslimah yang solehah. Terharu saya apabila jumlah saudara kita akan bertambah lagi seorang. Insya-Allah.

Miss Aini said...

for her, she's blessed and loved.

are you going to join PUISI this year? I heard they involved muslim community in ire area.

khairyn said...

salam

indera
semoga syiar Islam terus berkembang dan keimanan kita semakin kuat. Amiin, ya robbul alamin.

ainee
I don't really know about PUISI. I'm so bogged down with essays and can't even joined a muslim group when they held a protest to boikot israel products at the uni last 2 weeks. I never knew that first year could be this hard. argghhhh! hang in there... another half a year to go hahaha

abiumar said...

Assalamualaikum....

Terima kasih kerana "terlompat" ke blog ustaz... Dah lama di sana??
Salam perkenalan kembali..

Tq

Iman Mawaddah said...

Assalamualaikum Kak Khairyn,
Salam ukhuwah. Syukur alhamdulillah di atas rahmatNya jua kita berkenalan walaupun kita jauh beribu batu.Terima kasih kerana mengunjungi "iman mawaddah".

AKMA said...

Assalamualaikum.

Terima kasih bertamu di AKMA. Saya terkesima...damai...damai sungguh blog ini. Teruskan menulis...

Miss Aini said...

go to this link: http://www.youtube.com/watch?v=lqZiLqgubpE

i think u'll managed to get there as they're doing it during xmas time (i bet ire will hv holiday during that time~)

Anonymous said...

ooo.. patutlah tahu pasal ca. hak hak hak.

rocky tu bekas bos ya. dalam MM dulu?

AKMA said...

AKMA datang lagi...dengar lagu SyurgaMu ni...dengar lagi dan lagi....

tersentuh...