Wednesday, October 28, 2009

Cerita Balik Kampung

Harap hari ni tak lah jetlag lagi, tapi tahap kemalasan sudah maksimum. Nak kemas bilik pun malas. Nak tido lagilah malas, sebab kang sakit kepala. Ada satu bakul penuh baju cuma aku tak tau tu baju bersih ke baju kotor sebabnya yang kat atas timbunan tu baju-baju akuatik..ya sila jawab ye cik akuatik, tu baju yang kena dimesin atau tidak? huhuhu.

Cik mimi pulak, hari tu dok tanya-tanya bilalah osmet dia nak balik, bila osmet dah balik dia tinggalkan osmet dia sengsorang kat rumah dua malam berturut-turut.. amacam tu? Sila jawab juga ye cik mimi, hehehe

Tadi dah contact kawan-kawan satu kelas, depa pun dok tak sabar nak tau cerita pasal apa aku lambat balik hahahaha.. Nanti ada mood aku ceritalah pasal apa aku lambat balik ke Glasgow. Sebabkan tu jugak aku tak boleh ambil kelas tangan pendek hehe (shorthand) sebab kelas tu kelas intensif dan sekarang dorang semua dah kat modul 14, memang tak terkejar la.. tapi tak pe sebenarnya memang aku in two minds tak nak ambik ke nak ambik. Sebab dah macam ni memang tak leh ambik la jawabnya hehehe. Kena ambil kemudian atau secara persendirianlah jawabnya nanti.

Glasgow sekarang ni macam selalu gak, langit mendung dan dingin. Hehehe... aku tak komplen tapi alhamdulillah tak hujan, kering. Alu tengok orang dah mula pakai jaket tebal dah. Aisey, hari tu balik lupa pulak nak beli kasut sukan sebab kat sini mahal sikit. Kasut sukan yang ada pun dah berlubang-lubang hehehe... kena beli kasut ke ni? Ohkek, esok boleh tengok kat kedai, cari yang murah.
Hari tu balik sini pun dah extra 3kg sebenarnya. Nasib baik mangga mak tak boleh bawak balik, kalau tidak entah berkilo-kilo aku angkut. Yang berat bukan bawak apa sangat cuma buku-buku.. tu jer lah kerjanya. Hantar buku, angkut buku. Huk aloh baru teringat, buku Shamsiah Fakeh ada kat Izinni.. Weh! Aisey tu ada orang nak bacalah plak. But it is a very good book, highly recommended untuk sesiapa yang nak tahu cerita sebenar tentang perjuangan untuk memerdekakan negara juga perjuangan seorang wanita.
Memang lega sesangat dah dapat balik ke Glasgow. Bukan apa, fikirkan ada satu tahun lagi aje nak habis, sayanglah kalau tak dapat kejar belajar ni. Benda ni yang buat nak holiday kat negara sendiri jadi tak berapa nak best. Walau apapun seronok dapat jumpa mak dan kawan-kawan sehati sejiwa ni hehehe.
Jadi apa aktiviti kat Tanah Malaya?
Tak de apa sangat sebab asyik melayan mak aje. Dari hantar dia pi pasar pagi, pi buat paspot dia, pi book untuk umrah dia, pi antar dia untuk aktiviti dia yang lebih padat dari aku hahaha... Nak online jangan haraplah. Super duper slow walaupun aku beli broadband Celcom dan tempat aku ni kira dekat gaklah dengan universiti. Rasa macam nak tarik-tarik rambut jer tunggu loading. Tu yang aku tak dak update blog ka cek emel selalu. Sedey sebab dah biasa dengan internet connection yang laju ni hehehe.Aktiviti tetap pagi Jumaat, kami pi ziarah kubur arwah abah. Perkh yang ni memang tak ada ponteng. Panas ke hujan ke memang wajib pergi. Cuma aku kalau kat sana tak boleh nak nangis la, kesian kat mak. Tapi bila dah balik sini asyik teringat teringat dan mesti sedey woo...
Dapatlah tengok wayang cerita tahapa-hapa dari Singapore 'Where Got Ghost' (laugh until you scared, scared until you laugh) huhuhu seronok gak walaupun cuma aku ngan Elly jer Melayu kat dalam panggung tu. Tapi memang betul tagline dia, dalam ketawa-ketawa tu ada gak yang menyeramkan kami berdua hehehe. Dah lambat balik ni sempat lah tengok citer Papadom Afdlin Shauki. Oklah jugak cerita dia, terutama dialog-dialog spontan yang aku suka. Cuma cerita tu guna resipi Hollywood untuk teen movies. Ada rugby ganti football dan ada cheerleader squad plak huhuhu. Tapi, yang paling penting ada Harun Salim Bachik hahahaha.. Beliau adalah sangat kelakar gittew!

Tapi yang sangat best mestilah acara makan-makan. Permintaan untuk mak masak ikan aje. Ayam aku tolak ke tepi buat seketika ahaks! Dapatlah makan puas-puas ikan keli goreng berlada, ikan terubuk bakar, ikan parang masak asam pedas - antara ikan yang aku suka. Beli gak perut ngan paru lembu. Perkh! Sangat sedap bila dilemakkan dan di goreng makan dengan nasi lemak kekekeke. Ya, ya... itu makanan yang kurang menyihatkan huhuhu.
Acara makan-makan diteruskan dengan penuh iltizam dan semangat juang yang sangat tinggi hahaha. Viatnamese beef noodle telah diperkenalkan kat aku masa aku pi Saigon dulu, jadi bila balik mesia memang aku suka makan makanan ni. Masa tu yang ada kat Ampang Point jer, tapi sekarang ni dah ada kat Secret Recipe cuma versi Secret Recipe ni terlebih masinla plak.. tapi apa pun tetap habis.#
MyCikguMas plak belanja aku makan steamboat kat Johnnys Alamanda hehehehe... gambor dia ada tapi kang aku tepek kat sini kang kena marah, jadi tepek makanan aje lah ye hahaha. Biasalah aku ni, dah lama tak memandu kat Malaya, asyik sesat barat aje. Jadi untuk mengelakkan tersesat sana sini, aku dok tanya Elly. Sudahnya tetap sesat masa nak balik umah kakakaka. Apa pun best dapat makan steamboat dan akhirnya dapat jumpa Cikgu Mas ni. Boleh masuk kepala. Lawak orangnya. Cik Elly nak ngurat adik kawan cikgu tu, boleh ke? Boleh? hahahaha
Sesi borak kat kedai makan diteruskan. Kali ni kat KL Sentral plak. Dari sarapan sampai nak masuk makan tengahari sampai tokey kedai pun resah tengok kami dok hogging meja tak nak bangun-bangun. Manalah nak laku kedai macam ni kalau ada orang jenis dok lepak yang tak nak bangun-bangun macam kami ni. Nasib baik tak kena halau hahaha.. tu pun dah bagi hint tapi kami ni jenis ketegaq tak paham bahasa hahahaha.

Cuti-cuti tu sempat gak lah pi kenduri tunang orang kat Ipoh nuu...

Cik Khairatul Hanim Khairuddin - nak naik pelamin 10-10-2010 tu diaaa...

Pelamin tunangnya

gambar hantaran 1

gambar hantaran 2

gambar hantaran 3


Mak yang khusyuk mendengar adat Perak+Melaka huhu

Sebenarnya memang tak banyak sangat aktiviti dengan kawan-kawan tapi banyak melayan mak aje. Ni yang sebenarnya fikir gak, lepas habis belajar ni nak balik ke tidak. Tak balik kesian kat mak tak de siapa nak layan dia, tapi dia kata hari tu tok sah balik lah, cari kerja kat sana aje tak pun suh cari kerja kat Brunei (dia dah seronok dengar KakSue dan Juli yang kerja kat Brunei).

Haish! Siapa kata jadi anak bungsu ni senang?


Tuesday, October 27, 2009

Alhamdulillah

Alhamdulillah dah tiba di Glasgow tengahari tadi. Alhamdulillah gak tak ada masalah nak melepasi imigresen huhuhu...

sekarang tengah jetlag. Mata kuyu jer ni tapi cuba tahan-tahankan gak. Rasanya tak lama ni mesti surrender la ni.. kang pukul 3am ke 4am terkebil-kebil dan lapar huhuhuhu

huwargh!!! Ngantuk..

Esoklah sambung citer, nak bungkus dah dalam duvet. Yes! Aku cintakan duvet tebalku.

Best!

Cik Elly - Glasgow sejuk dan kau dah tak dengar lagi aku komplen pasal panas huhuhuhu

Wednesday, October 21, 2009

Mari berdoa berjemaah

Dear Allah
Aku masih lagi stuck kat tanah malaya sebab visa tak siap lagi. Dah mati kutu dah kat sini tak buat amenda hahahaha
Mari kita analisa kenapa aku tak dapat visa lagi
1 - atas sebab-sebab yang kalut dan gila spera dan nyampah yang berbakul-bakul, borang visa sudah lambat dihantar ke agen UK Visa
2 - sebab niat memang nak berlama-lamaan sebenarnya sudah tertanam dalam hati. Jadi Allah Taala telah mengkabulkan doa dalam hati itu (yiehah!!) Dan serbab nak makan berbakul-bakul banyaknya maka Allah Taala pun menunaikan hajat yang terpendam selama ini.. Huwaa... sudah ada kesempitan di pakaian-pakaian daku!!!
3 - sebab mak kah? Adakah mak yang nak aku berlama-lamaan di sini supaya senang dan memudahkan urusan beliou? (Oh emak.... redhakanlah anakmu ini terbang kembali ke tanah beku ... sikiiiit jer lagi nak abis ni)
Pekerjaan yang dilangsaikan
1- Jumpa kengkawan
2- makan bukan-bukan
3 -lepak hari-hari sampai jemu
4 - makan macam-macam
5 - beli buku banyak-banyak (errr... cik Akuatik, Chin Peng tak dak dan Abdullah CD ada 3 buku dan setiap satu tu dlm RM30 ke atas huhuhuhu)
6- Beli broadband lalalalala
duit semakin menyusut dan aku semakin mengembang dan otak semakin sempit... Please Allah... berkatilah aku supaya dapat balik Glasgow.
Yang mengharap
Hamba yang hina dan selalu lupa bersyukur

Sunday, September 20, 2009


Salam Eidulfitri. Mohon maaf atas segala keterlanjuran kata dan perbuatan. Semoga bergembira di hari lebaran.

kullu am wa antum bikhair

Eid Mubarak!

Glasgow
1 Syawal 1430

Thursday, September 17, 2009

Bandaraya Glasgow

...... yang akan ditinggalkan buat sementara.

Tadi, balik kerja jer terus turun ke bandar sekejap siapkan urusan sebelum terbang balik bercuti.. ahaks! Seronoknya! Tak sabar nak balik.

Bangunan Glasgow City Council. Bangunan ni menghadap George Square. Dataran di tengah bandar yang menjadi tempat lepak waktu makan tengahari atau tempat permainan musim sejuk.


Monumen untuk pejuang-pejuang Scottish yang gugur di medan perang dari Perang Dunia Pertama sampailah perang Iraq dan di Afghanistan.

George Square. Kalau cuaca baik, tempat ni memang sesak dengan manusia yang duduk-duduk, baring-baring sun baking. Dalam akhir bulan November hingga January, kawasan ni jadi tempat permainan musim sejuk. Biasanya ada ice skating ring kat tengah-tengah dataran ni. Ada carousel berkuda dan macam-macam permainan seisi keluarga.
Goma atau Gallery of Modern Arts. Ada juga beberapa kali aku masuk galeri nak tengok pameran seni kat situ. Tapi, biasanya kalau aku ke sini, aku lebih senang ke perpustakaan awam yang letaknya di bahagian basement. Ada juga cafe kecil kat perpustakaan tu. Sambil membaca sambil minum kopi. Tapi, aku biasanya cuma cari buku ajelah.

Ini patung Duke of Wellington dan selama aku kat sini, jarang aku tengok patung ini tanpa kon jalan kat atas kepala dia. Dah memang semacam tradisi untuk pastikan patung ni pakai kon trafik kuning tu. Tak tahulah macamana depa panjat statue berkuda ni semata-mata nak letak kon trafik kuning tu atas kepala dia.. Haish!

Buchanan Street. Ini kawasan membeli belah terkenal di Glasgow. Banyak kedai-kedai berjenama terkenal macam Monsoon, Zara, kedai buku Borders yang aku selalu pergi pun kat sini.
Awal pagi jadi kawasan ni tak berapa ramai orang. Tapi bila makan tengahari jer, tempat ni memang sesaklah dengan orang membeli belah. Kadang-kadang hairan gak tengok orang kat sini, dalam ekonomi yang merudum ni pun aku tengok larat lagi bawak beg kertas yang sarat tu. Berjenama lagi.. perkh!


Pemandangan menghadap ke Selatan bandar Glasgow dari tingkap tingkat 3, bangunan kolej tempat aku kerja tiap-tiap pagi dari 6am-9am, 5 hari seminggu. Daun-daun pokok dah ada yang berubah warna menandakan dah masuk musim luruh.

Beg yang dah siap dikemas. Tinggal beberapa benda lagi nak settle kan. Rasanya nanti bila hari nak balik pun ada benda yang kena settle last minute huhuhu..

Monday, September 14, 2009

Gembira Suka Hati

Aku sangat-sangat gembira suka hati hari ini.

Sebab?
Aku dah habis bayar yuran uni untuk sesi lepas hahahaha... Settle dah installment payment untuk yuran £9,000 setahun tadi. Alhamdulillah. Sekarang ni aku papa kedana. Duit cukup-cukup untuk bayar bil elektrik, pemanas, tv, telefon dan talian internet untuk bulan ni. Lega!
Sat lagi bolehlah pi finance counter ambik surat yang mengatakan aku dah selesaikan semua pembayaran dan bawak pi bilik international student plak untuk dapatkan surat scholarship untuk sesi 2009/2010.
Yay! Selepas tiga tahun kerja tunggang terbalik nak bayar yuran, lepas ni aku boleh kerja senang hati untuk simpan duit pulak. Yahuu!
Thank you Allah for giving me the strength both mentally and physically to come thru. And for the best friends that you have bestowed upon me. I am truly blessed! Thank You! Syukur.. phew!

Friday, September 11, 2009

Wednesday, September 09, 2009

10 malam terakhir

Bila dah hampir ke penghujung Ramadhan ni, aku jadi kembali sayu. Teringatkan arwah abah. Masuk saja 10 malam terakhir, arwah abah akan mengimarahkan masjid untuk beriktikaf. Selalunya arwah abah akan tinggalkan rumah sekitar tengah malam dan beribadah di masjid sehinggalah waktu bersahur. Semenjak berpindah di Melaka, masjid pilihan abah mestilah Masjid Kampung Ulu. Selalunya abah memang pergi sendiri. Masa orang lain sedang enak tidur, abah akan hidupkan enjin kereta dan memandu seorang diri ke Masjid.
Biasanya sebelum keluar, dia akan solat tahajud dulu. Kemudian dia akan kejutkan mak dan beritahu dia dulu.
"Ti, abah pergi masjid."
Dan emak akan bertanya, "Abah balik sahur tak?"
"Balik."
Arwah abah memang suka bersahur dengan keluarga sebenarnya. Kita cari pahala lebih di bulan puasa, pesannya selalu pada aku yang selalu malas nak bangun sahur. Memang aku ni jenis yang sayang tidur dari bangun sahur. Sejak dari zaman sekolah hinggalah ke zaman kerja. Sekarang ni bila dah kembali ke zaman sekolah, barulah pesan arwah abah ini aku ikut. Aku bangun sahur.
"Alah, abah.. dah terlepas waktu imsak!"
Dengan tenang abah kata, "Memanglah lebih baik melambat-lambatkan sahur, tapi imsak tu sebagai peringatan. Nak bagi nasi turun nak bagi orang sempat bersugi. Tapi kalau dah terlambat sangat tu nak buat macamana? Selagi belum azan, makanlah, minumlah."
Kadang-kadang abah bawak bekal air kopi setiap kali dia pergi beriktikaf. Buat penambah tenaga tatkala mengalunkan ayat-ayat suci kalam Allah, ataupun ketika penat bersolat sunat tengah malam, hajat atau solat taubat. Seingat aku cuma sekali saja abah balik awal dari selalu. Emak pun terperanjat bila dengar enjin kereta masuk ke perkarangan rumah. Selalunya kalau tak pukul 4am abah tak balik lagi. Ini baru pukul 2am, abah dah memulas tombol pintu rumah.
Bila ditanya kenapa balik awal, abah cuma senyum aje. Dia kata badan tak sedap. Emak akan rasa badan dan dahi abah. Dingin. Tak pulak rasa panas.
"Abah sakit kepala ke?"
Abah memang ada migraine. Malah, abah masuk kelab Migraine di Melaka. Selalunya kalau migraine abah datang, dia akan duduk diam-diam di kerusi di ruang tamu atau tidur terus.
"Tak," jawab abah ringkas.
Bila dengar jawapan abah, emak langsung tidak puas hati. "Mesti ada sebab kenapa abah balik awal," terjah emak. Dia berdiri dan tenung dalam mata abah. Sudah hampir 40 tahun berkongsi kasih, sudah pasti emak dapat baca perangai abah.
"Di tegur tadi, kat masjid," jawab abah ringkas. Dia terus masuk bilik, tukar pakaian dan baring. Emak pula akan terus ke bilik air untuk ambil wuduk dan buat solat tahajjud. Kadang-kadang disambung terus dengan solat hajat dan taubat. Selesai, mak akan duduk di kerusi di ruang tamu dan sambung bertadarus seorang diri.
Bila sudah tiba masa untuk bersahur, emak terus ke dapur menanak nasi. Memang sikap emak tak suka hidang nasi semalam. Dia juga suka masak lauk baru. Memang jarang kami bersahur lauk lebihan berbuka. Selalunya emak akan goreng sayur dengan goreng ikan atau ayam. Ringkas.
"Siapa yang tegur abah?" Tanya emak, bila teringat cerita abah yang tidak habis, tadi.
Abah senyum saja. "Tengah sedap mengaji kat masjid, tiba-tiba ada suara bagi salam. Abah ingat ada orang nak beriktikaf sama..."
"Abah seorang je ke kat masjid tu atau ada orang lain?"
"Seorang."
"Lepas tu?" tanya emak lagi. Air dalam cerek elektrik sudah menggelegak. Punatnya terjentik otomatis. Emak angkat cerek elektrik dan air dicurah ke dalam teko berisi teh dan gula. Emak godak air teh dengan perlahan. Wap panas nipis berputar-putar naik.
"Abah toleh belakang, tengok tak ada orang. Abah teruskan mengaji. Elok aje, dengar lagi suara orang bagi salam lagi."
Abah senyum lagi. "Apa lagi, abah terus angkat kakilah. Dalam hati abah kata ni bukan orang ni. Tak mahulah kena usik macam ni."
Emak ketawa aje dengar cerita abah. "Habis tu, malam esok nak pergi lagi tak?"
"Bagi relaks satu dua malam dulu kot. Lepas tu baru pergi balik," jawab abah.
Abah berseloroh saja, sebab esoknya abah keluar malam lagi. Tapi, kali ini dia kata dia nak pergi ke masjid lain pula. Sayang pula kalau masjid kosong di bulan-bulan mulia macam ni. Datangnya sebulan setahun dan untuk memburu Lailatul-Qadr pun hanya sepuluh malam terakhir. Apa salahnya kita imarahkan masjid.
"Dik, memang perempuan tidak diberatkan untuk beriktikaf di masjid, tapi kalau boleh buatlah solat-solat sunat di rumah," pesannya tiap kali masuk bulan Ramadhan.
"Kalau tak sempat nak berterawih di masjid, buat seorang diri kat rumah pun tak apa. 8 rakaat dengan 3 rakaat witir. Kalau ada masa tu buat sekali solat hajat dan tahajjud. Buat sekali solat sunat taubat. Baca Quran tu jangan lupa. Lancarkan bacaan yang tergagap-gagap."
"Inilah masa kita kumpul pahala sebanyak mungkin. Sentiasa mohon sesuatu dari Allah sebab Dia suka kalau hambaNya memohon dan meminta dariNya. Kalau bercuti pun bukan bermakna kita tak boleh kumpul pahala. Selalu berwirid, berdoa, pahalanya berganda bila dibuat di bulan Ramadhan," pesannya melalui telefon, lewat Ramadhan tahun lepas.
Abah tahu anaknya ini selalu alpa jadi dia selalu mengingatkan. Insya-Allah aku akan cuba buat yang terbaik terutama 10 malam yang terakhir ini untuk memburu Lailatul-Qadr.

Diriwayatkan dari Aisyah ra. Sesungguhnya Rasulullah saw. telah bersabda : berusahalah untuk mencari lailatul qadar pada sepuluh malam terakhir. (HR Muslim )
Diriwayatkan dari Aisyah ra. dia berkata : Adalah Rasulullah saw mengamalkan i'tikaf di dalam masjid pada sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadhan. (HR Muslim )
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda (yang artinya), “Barangsiapa berdiri solat pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap pahala dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari dan Muslim)
Diriwayatkan dari Aisyah ra. dia berkata, "Ya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, apa pendapat mu jika aku tahu bila akan berlaku malam Lailatul Qadar, apa yang harus aku ucapkan?” Beliau menjawab, “Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘annii". ("Ya Allah, Engkau Maha Pengampun dan mencintai orang yang meminta ampun, maka ampunilah aku.”) (HR Tirmidzi)

Monday, September 07, 2009

Innalillahi wa inna illahi roji'un

Antara politik dan agama.

Antara kasih sayang dan benci




Al-Fatihah dan semoga rohnya Mariam Johari mendapat belas dari Allah swt.

Hanya Allah yang maha mengetahui derita dan siksa yang dia tanggung. Ya Allah lapangkanlah kuburnya, jauhkan dia dari siksa kuburMu, jauhkan dia dari azab api nerakaMu. Hanya kau yang maha Mengetahui.

Sabda Rasululullah:
Apabila seseorang itu mati, terputus segala amal solehnya kecuali tiga perkara
sedekah jariah
ilmu yang dimenfaatkan
doa anak yang soleh.

Semoga anak-anaknya tetap mendoakan kesejahteran ibu mereka.

link
Mariam Meninggal - Berita Harian
Tua - http://ohmegosh.blogspot.com/2007/06/tua.html

Saturday, September 05, 2009

Beras

Tadi masa dalam perjalanan balik dok citer pasal makanan ngan Effa. Huhuhu.. ini memang topik semasa dan err... nak citer apa lagi kan? Takkanlah nak ngumpat dalam bulan-bulan posa ni hahahaha
Kali ni topik makanan berkisar pasal beras aje. Bandingkan kualiti beras kat Malaysia dengan beras basmati yang kami makan hari-hari kat sini. Aku ingat dulu masa mula-mula dok kat UK ni, aku rasa macam orang kaya jer hari-hari makan beras jenis basmati. Panjang, peroi dan kalau digoreng memang cantiklah nasi tu. Nak tanak nasi dari jenis beras basmati ni pun senang, tak berkanji sangat. Masa mula-mula dok sini, beras tu dalam 60p sekilo kat Tesco tapi sejak krisis makanan dan cuaca yang tak menentu kat sub-continent tu, harga beras basmati dah melambung dalam £1.40 sekilo. Cuba tukar ke beras long grain tapi aduhai... rasanya tak sesedap basmati.

Masa aku balik Malaysia awal tahun hari tu, dan kembali makan nasi dari beras yang biasa mak gunakan, memanglah rasa payah nak lalu kat tekak. Bukan sombong. Cuma aku terasa sangat yang orang Malaysia disogokkan dengan beras yang berkualiti rendah. Nak beli beras kualiti tinggi, harganya pulak melambung-lambung. Aku rasa macam rakyat marhain di Tanah Melaya ni ditindas sangat-sangat la pulak.

Bila dah dibiasakan dengan beras basmati ni, aku jadi sayu tengok nasi yang berketul-ketul yang mak makan hari-hari. Nasi tu aku tengok macam layak dibuat nasi himpit jer, bukan nasi untuk makanan biasa. Berketul-ketul dan berkanji jauh bezanya dengan basmati yang aku makan hari-hari, peroi dan tak berkanji sangat, walaupun itu jenis basmati low grade yang aku beli kat Tesco aje. Bayangkanlah kalau aku beli yang high grade atau second high grade. Beras tahap orang millionaire kat Mesia kot.

Effa kata nampak gaya kita kena bayar zakat fitrah lebih sikit sebab kita makan beras lebih baik dari kat Malaysia. Hmm... mungkin juga. Tapi kat sini zakat fitrahnya £3 err... campur tolak kali bahagi lebih kurang RM18. OK ke?

Dokumentari

Hari tu aku tengok dokumentari tajuk Future of Food yang berkisar tentang masalah krisis makanan dunia. Dijangkakan masalah ini akan meruncing sekitar tahun 2050.dan akan berlaku femine satu dunia sebab bekalan makanan yang tak mencukupi. Pertengahan kurun ini, jumlah penduduk dunia akan mencecah 9 billion. Macamana nak bagi makan?

Negara-negara kaya dah mula nak beli tanah kat negara-negara miskin macam kat Afrika untuk menampung bekalan makanan untuk penduduk mereka. Contohnya Qatar nak beli tanah kat Nigeria. Kalau kerajaan Nigeria benarkan, apa kes dengan penduduk mereka sendiri?

Lain cerita kat Havana Cuba. Sekarang ni depa berjaya produce 90% daripada sayur-sayuran dan buah-buahan untuk kegunaan sendiri. Cuma 10% yang diimpot. Macamana berjaya? Mereka gunakan setiap tanah yang kosong untuk bercucuk tanam. Hebatkan?

Kita? Simpanan bekalan makanan pun tak ada. Rasanya 90% bekalan makanan, kita impot dari negara jiran. Dari beras, sayur-sayuran sampailah makanan laut.. hampir semua kita impot dari Thailand atau Indonesia. Heck! Even Singapore!

Aku nak ucapkan tahniahlah pada Mahathir dengan mentornya si Margaret Tatcher yang atas idea bernas yang nak propel negara masing-masing ke arah kekayaan dengan menukar tanah-tanah agriculture ni jadi tanah industri. Dulu sawah yang saujana memandang dengan padi yang menguning sekarang ni dah bertukar jadi deretan rumah yang pelbagai warna. Takpun jadi bangunan kilang yang tak habis-habis pollute setiap elemen alam.

Tahniahlah! Sebab walaupun dah berpuluh-puluh tahun cuba nak jadi negara industri, sampai sekarang masih tak berjaya lagi. Korea yang belakang dari kita pun sekarang ni dah maju, cuma kita saja kat takuk tu.. Betul-betullah macam kisah Pak Kadok. Akhirnya dua-dua tak dapat. Industri tak berkembang maju, tanah terlelong macam tu aje. Nampak gaya lepas ni makan batu ngan simen aje la kan sebab tanah tak de nak buat agriculture.

Memang Betullah janji Allah. Kita sekarang ni hidup kat akhir zaman. Planet kita dah melarat sangat. Tapi, tu lah kata mat salleh;

This planet is for our children and generation.

Takkanlah kita tak nak tinggalkan 'wasiat' untuk dorang kan? Kan?

p/s
Hos rancangan ni George Alagiah (pix). Tak tahulah orang kat Mesia boleh tengok dokumentari ni. Tapi ini linknya.

Wednesday, September 02, 2009

Bosan

Hari-hari makan nasi briyani pun bosan gak kan?


Hari-hari makan nasi hidang pun boleh rasa bosan gak kan?

Hari-hari makan ayam, boleh tak raya bosan?

Tak kut... hahahaha

Dah beberapa hari aku tak ke Sumsa untuk iftaar. Bukan apa, asyik hujan aje petang-petang.. sejuk pula nak keluar. Nak lepak library saja pun tak boleh sebab sementara sekolah belum buka ni, library tutup pukul 5pm. Jadi, nak tak nak, tengahari aku balik rumahlah. Tu yang nak keluar balik petang-petang dekat waktu Maghrib tu agaklah lemah sikit, terutama bila hujan kat luar huhuhu.

Memandangkan kemalasan tu dan berseorangan berbuka, aku masak ajelah makanan yang aku teringin nak makan. Ahad lepas berbuka kat rumah akuatik sebab dia teringin nak makan nasi dagang. Percubaan pertama buat nasi dagang guna ketuhar gelombang mikro. Jadi juga. Cuma kurang masin sebab si akuatik guna garam bukit kasar. Gulainya pula guna ikan mackeral. OK jer masuk tekak aku.

Isnin plak sebab sorang je kat rumah, aku pulun buat nasi lemak je. Sambal ikan bilis, goreng ayam dan telur. Sahur plak? huhu.. aku makan jagung manis dalam tin hahaha..

Semalam, akuatik bawa tetamu dia datang rumah. Aku pun berkira-kira nak masak apa agaknya. Hari tu aku ada beli tiga tin jagung manis, jadi aku ingat nak buat apam balik jer. Dan oleh kerana ada kebosanan dengan nasi, aku tukar menu. Buat meehoon goreng je. Campak sayur campak udang. Kayuh!

Jadi pagi tadi pun aku taklah makan jagung manis dalam tin, aku habiskan meehoon jer hahaha.

Apam balik
2 cawan tepung
1 1/2 cawan gula
1 biji telur
1 camca teh soda bicarbonate
1 camca teh baking powder
1 1/2 cawan air
taburan - gula, kacang (kisar kasar) dan jagung

Cara
1 - pukul telur dengan gula sampai kembang
2 - masukkan soda bicarbonate dan baking powder
3 - masukkan air
4 - masukkan tepung
Adunan siap.

Lebih senang kalau gunakan non stick pan. Sapukan minyak sikit dan masukkan adunan ikut suka ketebalannya.

Satu adunan boleh dapat lebih kurang 5 apam (guna pan sederhana kecil)

Monday, August 31, 2009

Catatan Ramadhan - 2

Sabtu lepas, group Charles Street buat iftaar jamai'e. Berjemaah. Beramai-ramai. Di rumah lama/baru cik akuatik.

Err... layan gambar aje lah ye. Tetiba saja terlebih busy pula hari ini

Dan err... Selamat Hari Mendeka, Malaysia. Cuti lagi ek?












Menunya
Nasi putih
Kari kambing
Ayam
bubur lambuk
buah-buahan - anggur, epal, plum
pelbagai aneka kuih
kek
sebuku roti

err... tu aje yang aku nampak sebenarnya. Sebenarnya banyak lagi lauk-lauk dan kuih muih terhidang, aku aje yang tak berapa makan sebab bila dah ramai-ramai tu aku tak reti nak ambik makanan huhuhu

Wednesday, August 26, 2009

Catatan Ramadhan - 1

Masuk aje bulan Ramadhan, kawan-kawan aku kat Tanah Melaya dok pakat ramai-ramai tanya, buka pukul berapa hari ni? Bila aku jawab 8.40pm, mereka akan tanya pulak sahurnya pukul berapa? Lingkungan pukul 4am. Respons seterusnya 'ooo... lamanya!"

Kalau ikut waktu memang sangat lama berbanding kalau berpuasa kat Tanah Melaya tu tapi kami yang kat sini tak terasa pulak letihnya, walaupun berpuasa lingkungan 16 jam sehari. Inilah masa untuk muhasabah diri dan reflect balik indahnya alam ciptaan Allah. Sangat sempurna dan sangat adil untuk hamba-hambaNya.

Ramadhan kali ini buat kami di hemisfera utara jatuhnya di penghujung musim panas. Walaupun masa berpuasa tu agak panjang, tapi cuaca kat sini agak dingin dan masih selesa berpuasa tanpa rasa letih yang teramat sangat. Untungnya untuk mereka yang tinggal di hemisfera Selatan seperti di New Zealand dan Australia, puasa kali ini jatuh di musim sejuk hampir masuk ke musim bunga maka untuk mereka, masa berpuasa agak singkat. Untuk yang tinggal berdekatan dengan equator atau garisan Khatulistiwa yang masa malam dan siangnya sama panjang, tiada pertukaran masa yang melampau sepanjang tahun. Adilkan Allah?

Ramadhan dalam musim-musim yang bergilir.

Dalam beberapa tahun lagi, Ramadhan akan disambut pada kemuncak musim panas. Maghrib mungkin sekitar 10pm dan subuh sekitar 2am. 20 jam berpuasa. Rasanya masa tu lagi mencabar. Dan aku pun tak tahu kat mana aku waktu tu. Entah-entah di benua lain pula. InsyaAllah... aku mohon yang terbaik saja.

Iftar

Sumsa - Iftar 2008
Mungkin ada yang tak sependapat dengan aku tapi inilah yang aku rasa. Aku lebih suka ber-iftar di perantauan ini. Memang tak sama dengan berbuka dengan keluarga tapi bila di sini, mereka yang di sinilah keluarga aku. Sama-sama berkasih dan sayang. Sama-sama rindu juga.

Berbuka puasa di bulan ramadhan di perantaun terasa sangat manisnya. Semanis rutab yang dihidangkan bersama-sama kuah bijan. Isnin hingga Jumaat, aku akan cuba sedaya upaya untuk berbuka di SUMSA.

Alhamdulillah, tahun ini SUMSA masih berupaya untuk membuat jamuan iftar lima hari seminggu hasil dari wang sedeqah muslimin dan muslimat sekitar Glasgow. Ada juga komuniti Islam yang menderma makanan untuk iftar, macam malam tadi. Komuniti dari Libya membuka tirai bersedeqah, memberi makan musafir-musafir yang datang ke sini untuk menuntut Ilmu. Alhamdulillah dan semoga mereka mendapat imbuhan berlipat ganda dari Allah atas rezeki yang dikongsi bersama.

Selepas mengalas perut dengan rutab dan menikmati segelas air susu, solat maghrib secara berjemaah dilakukan. Selesai bersolat baru sambung makan balik. Jamuan biasanya nasi briyani dengan kari ayam. Bila ada sedeqah, merasalah kami, pasta bakar, kus kus daging kambing dan makanan Arab atau Greek yang paling aku suka - stuffed grape leaves with meat and rice. Beraneka kuih atau roti manis hidangan terakhir sebagai pencuci mulut.

Sambil duduk, sambil berbual. Ada yang datang dari Perancis, Libya, Iraq dan Turki, juga kami dari Malaysia. Ada masanya bersembang dalam bahasa Inggeris, ada kalanya menggunakan bahasa isyarat saja. Macam ayam dengan itik, tapi tetap meriah. Duduk ramai-ramai mengelilingi saprah kertas putih.

Kalau tak cukup pinggan, kita kongsi saja, makan berdua. Kalau tak cukup cawan, bergilir-gilir minum. Walaupun kadang-kadang makanan terpaksa dicatu, tapi tetap mencukupi. Malah, kadang-kadang ada lebih pula dan boleh dibawa balik untuk santapan sahur sebagai persediaan berpuasa keesokan harinya.

Seronok kan?

Embrace life and live life to the fullest. Cintailah kehidupan yang Allah anugerahkan dengan mengucapkan syukur atas setiap nikmat yang diberikan.

Alhamdulillah. Syukur ya Allah!

Monday, August 24, 2009

Aku suka -- makan (hahahaha)

Siapa yang tak suka makan?!
Huhuhu... rugilah satu nikmat Allah beri pada sesiapa yang tak suka menikmati makanan. Ish ish ish no talking.

Biasalah kan, kalau kat tanah air tu, bulan Ramadhan ni dah jadi macam pesta makanan. Macam-macam juadah tersedia. Pilih dan bayar saja. Sebab dek banyak sangat pilihan, mata pun jadi rambang. Terus lupa pengajaran berpuasa itu untuk apa sebenarnya hahahaha.

Aku tak tahulah dah ada berapa agaknya pasar Ramadhan kat KL la ni, tapi dalam banyak-banyak pasar Ramadhan yang aku pergi dulu, yang kat Bandar Baru Sentul yang agak best bagi aku.

Dulu pasar tu bawah rumah sewa aku aje. Masa tu, tiba saja bulan Ramadhan, aku cuma ada dua pilihan, samada balik awal (sangat awal) ataupun balik lewat (lepas maghrib) sebab kalau aku balik sama dengan orang lain balik kerja, alamat aku tak dapat nak pakir kereta kat tempat pakir haram tu hahahaha. Tapi, selalu aku memang ambil opsyen balik awal la. Pukul 4pm jer dah tiba rumah hahahaha... Biasalah... nature of my job requires me to be creative lalala.

Anyway, yang sangat best nya pasar Ramadhan kat situ disebabkan adanya satu abang yang baik hati menjual nasi lemak kukus Melaka or is it nasi lemak Melaka kukus? huhuhu. Entah. Tapi ada kukus dan ada Melaka. Kesimpulannya, nasi lemak yang beliau buat adalah sedap dan menepati citarasa kami seisi rumah. Masalahnya, kalau lambat beli confirm abis. Sebabkan kesedapan hasil tangan tukang masaknya dan kebaikan hati penjualnya dan juga proses mencuci mata pun terlaksana, nasi lemak beliau memang sangat laku.

Tu yang aku suka tu. Lagipun, menu berbuka aku memang sangat simple. Aku rasa sesiapa yang pernah merasa duduk dengan aku memang dah bosan dengan menu berbuka aku. Dah memang terpahat dalam sanubari. Ya tak Elly, Dura? hahahaha.
Main course - nasi lemak/ayam/goreng ayam.
Drink -
air tebu
Dessert - kuih keria

Disebabkan mudahnya menu aku tu, aku selalu jugak tukar-tukar supplier, cari mana yang sedap dan masuk dengan selera aku. Yang paling susah nak cari yang sedap, adalah dessert aku. Kuih keria tu sebenarnya mudah sangat tapi, selalu aku dapat yang kureng... ada saja yang tak kena. Keraslah, kurang gulalah. Haish!

Dan masalah aku dengan kuih keria ni berterusan hinggalah kini. Aku tak taulah keledek spesis dari US ni jenis lembik longeh. Aku ingat spesis dari Israel aje yang lembik, rupanya yang datang dari sekutunya pun sama juga. Tak boleh digentel nak buat keria langsung. Ikut petua mak aku pun, masih lembik lagi. Letak tepung pun masih benyek, bila letak banyak, keras pulak jadinya. Jadilah keria yang tak rupa keria. Tapi, tak apalah... pulun sajalah kalau dah teringin sangat tu kan? oh go on

Sekarang ni aku belum lagi berbuka dengan nasi lemak/nasi ayam/nasi goreng ayam dan mungkin takkan minum air tebu. Hari puasa pertama, dapat jemputan makan ayam percik huhuhu dan semalam berbuka nasi dan ayam paprik di rumah akuatik. Isnin sampai Jumaat pula berbuka nasi briyani di SUMSA.

Huhuhu... the story of my life so far... not bad eh? thumbs up

Saturday, August 22, 2009

Ahlan wah Sahlan!

Wah... wah... wah....

Kali ini Glasgow tak degil, tak ikut kepala sendiri. Tapi, tak tahulah kan, nanti kalau nak raya buat perangai balik. Bukan boleh diramal Glasgow ni.

Kalau tahun lepas aku sambut raya dalam keretapi, adakah tahun ini aku akan beraya dalam satu lagi mode pengangkutan awam? Bermaaf-maafan dalam perjalanan? Keluar aje dari Glasgow, terus makan? Sebab tempat lain dah raya, Glasgow saja tak raya! Hmmm.... menarik juga kalau nak buat lagi tahun ni.

Sengih sana sengih sini sambil ucap Eid Mubarak! Hahahaha..

Ahlan wah sahlan Ramadhan! Ketibaanmu memang kutunggu!

Untuk semua, aku mohon ampun dan maaf sekiranya ada tulisan aku yang menyakiti hati samada tidak sengaja ataupun... ahem! Sengaja. Ya, aku adalah hamba yang lemah yang sering gagal mengekang nafsu. praying



Bilik dengan tema 'The Ramadhan Look' huhuhu peace sign

Wednesday, August 19, 2009

Pulang

Tadi, menghantar CikMimi ke airport. Cadangan asal cuma dia mintak tolong bawak turun beg besar yang berat ittew, tapi terus tukar cadangan, minta hantar sekali ke International Airport Glasgow sebab takut beg terlebih berat. Dia upah bayar tiket bas balik. Huhuhu... CikMimi, ai dapat diskaun pelajar. Cuma £3 saja naik Arivva Bus no 500. best tak?


CikMimi balik untuk sebulan setengah sebab kebetulan dia ada conference di KL dan sambil tu, teruslah berpuasa dan beraya dengan keluarga terchenta! Dan sekarang, apabila entri ini ditulis, CikMimi masih di awan biru, lagi dua jam nak sampai Dubai. Mungkin.

Mari kita lihat chronology of events, hari ini.


Tu dia... beg dah macam nak molotup. Penuh dengan makanan aje tu. Macam tulah kami. Nak ke Glasgow beg akan penuh dengan makanan, nak balik Malaysia pun beg akan penuh dengan makanan. Cuma nak balik ni, 'bekal' makanan tu mestilah aneka biskut, coklat dan teh. Heh? Teh? Macam kat Malaysia tak ada teh... hehehehe... Tapi tak sama kan? Pilihan utama, sama ada Earl Grey atau Scottish Blend.
Dan macam biasalah, aku akan jadi supplier beg tiap kali dia balik Malaysia hahahaha. Nampak gaya beg aku balik dulu dari tuannya.


Last minute check.
Tiket? Check!
Paspot? Check!
Duit? Check!
Telefon? Check!
Bila semua dah sedia, barulah boleh telefon teksi untuk ke airport. Kunci rumah dan angkut beg turun. Biasalah, aku ler yang kena bawak turun beg besar dia tu. Upah, bila dia balik Glasgow, dia kena masak untuk 21 hari berturut-turut hahahaha.

Sebenarnya agak confusing sikit kalau nak menunggu teksi prebet kat rumah kami ni sebab ada dua jalan ke sekumpulan blok perumahan kat sini. Kadang-kadang teksi akan menunggu di seberang dan kadang-kadang di belakang rumah. Jadi, tadi kami bahagi dua. CikMimi ke Armadale Street dan aku menunggu di Roebank Street. Akhirnya, sebuah kereta Skoda Octavia putih dengan lesen teksi prebet lekat kat fender depan berhenti di Roebank Street. Terpaksalah aku beramah tamah dengan pemandu teksi sementara tunggu CikMimi tarik beg besarnya datang huhuhu.




CikMimi bergaya dengan tiket print-out sambil beratur untuk check-in di kaunter penerbangan Emirates ke Dubai. Emirates ni popular kat Glasgow. Selalu flight akan penuh. Macam tadi, ramai juga yang check-in hendak ke Dubai. Masing-masing bawa beg-beg besar. Buat masa ini Emirates sangat bermurah hati bagi 30kg untuk setiap penumpang. Beg CikMimi pun nyaris-nyaris melepasi mark 30kg tadi. Huhuhu... nampak gaya penimbang beg di rumah itu hampir-hampir tepat juga ye.



Sebab masih awal, kami berkeputusan untuk mengopi dulu. Memandangkan adik naqibah sudah mengingatkan jangan beshubahat dengan Israel, kami ingat nak mengopi di Sandpiper Coffee saja tapi err.... ada bar pula di situ... maaflah adik naqibah, kami terpaksa memilih lesser of two evils, Starbucks jadi pilihan miahahahaha. Duduk minum kongsi satu mug sederhana besar coklat panas dengan harga £2.45. Kira okeylah tu ye.

Jam 12:45 tengahari, kami bergerak ke tingkat atas untuk ke Departure Hall. CikMimi meneruskan perjalanan ke Dubai dan aku pulang ke pusat bandar. Ngelinter di pusat bandar sekejap dalam hujan renyai dan tiba di rumah tepat jam 2 petang.

Okey CikMimi, kronologi perjalanan yu selesai. Nanti bila yu buat open house, calling-calling la ye. Kalau tak ada aral dan ada kenderaan ai datanglah huhuhu... Wah! Mesti padat dengan aktiviti raya ni ek? huhuhuhu

Tuesday, August 18, 2009

Amaran masa

Malam tadi tidur aku terganggu sekitar jam 1am akibat satu sms yang 'tidak penting' masuk dalam inbox. Sms pasal selsema babi atau H1N1. Terperanjat aku bila hp aku menyanyi-nyanyi sebab aku lupa nak letak dalam silent mode. Pening sat, jantung pun berdegup kencang. Aku ingatkan ada emergency. Emak ke? Tapi, bila aku tengok sms yang masuk bukan sesuatu antara 'hidup dan mati', barulah lega. Tapi, bila bangun beberapa jam kemudian, badan aku penat dan kepala aku sakit.

Bukan sekali sms masuk ketika dinihari dan sms-sms ini semuanya perkara yang remeh-temeh. Yang boleh ditunggu untuk dihantar dalam masa yang sesuai. Mungkin tiga jam lagi? Bersabarlah, jangan gopoh demi memuaskan hati kamu. Berkali-kali aku beritahu, kita dalam satu planet yang sama tetapi benua yang berlainan. Masa aku bangun dan beraktiviti adalah masa kamu tidur dan berehat, begitulah sebaliknya. Kita harus hormat menghormati masa-masa ini dan perbezaan waktu antara siang dan malam. Ya,Allah sendiri mengingatkan betapa pentingnya masa itu pada manusia dalam Surah Al-Asr, tapi hormatilah jua manusia-manusia yang lemah seperti aku.

Bagaimana agaknya kalau aku sms kamu ketika kamu sedang beradu merehatkan minda dan tubuh badan dan rehat itu amat-amat perlu bagi kamu kerana esoknya kamu akan menghadapi tekanan kerja di pejabat? Perlukah aku ingatkan perbezaan masa ini setiap masa? Bukankah masing-masing sudah tahu? Maklumat yang ada dihujung jari anda - bukankah itu tagline sedia maklum untuk talian internet? Gunakanlah.

Walaupun bersahabat, itu bukan tiket untuk mengambil enteng perasaan dan masa orang lain. Sesekali kita harus lupakan kepentingan diri kita demi seorang sahabat. Hargai setiap waktu dan pemberian yang diberikan untuk kita. Jangan anggap sebab bersahabat, kita tidak akan berkecil hati sekiranya masa yang dihabiskan, bersengkang mata, mengeluarkan wang untuk mencari pemberian yang 'sempurna' itu tidak dihargai. Sesekali kita harus letak ke tepi tentang 'aku, aku' dan fikir tentang perasaan 'dia, dia.'

Tapi mengapa ye? Apabila benar-benar terjadi kecemasan, sms yang pertama aku terima, hanyalah pada jam 8.41am, 17-01-09, masa aku sudah dalam bas ke tempat kerja? Kenapa pula tidak dihantar jam 2am atau 3am?

Mungkin kamu tak faham kerana kamu tidak mengalaminya - tak apalah. Kamu tidak merasa tinggal jauh beribu-ribu batu dari keluarga tercinta. Kamu tidak mengalami rasa ingin pulang yang membuak-buak apabila mengetahui salah seorang ahli keluarga kamu yang sangat kamu cintai sedang menghadapi sakratul maut, tapi kamu tidak berdaya hendak pulang. Ia bukan satu perjalanan yang kamu mampu lakukan dengan hanya memulas kunci kereta atau membeli tiket bas.

Namun, aku tetap hargai keprihatinan kamu. Sungguh!

Tuesday, August 11, 2009

Go Green


Mari menghijaukan bumi! hehehehe.

Ahad lepas aku, cik mimi ngan akuatik ekspedisi berbasikal ke Kirkintilloch. Ekspedisi satu hari suntuk. Ini kali pertama aku berbasikal selepas dalam 20 tahun. Kali terakhir aku berbasikal, seingat aku, masa aku tingkatan dua atau tiga sekolah menengah. Perkh! Mencabar sungguh.

Mentang-mentang baru beli basikal dari sportsdirect.com, tu yang teringin nak ngetest tu. Tapi, baru kali pertama berbasikal dah teringin nak pergi jauh-jauh. Kirkintilloch, kalau ikut dalam peta jauhnya lebih kurang lapan batu dari pusat bandar.

Memandangkan nak menikmati pemandangan kampung konon-kononnya, kami ikut laluan basikal yang lebih panjang perjalanannya kalau dibandingkan ikut laluan kereta.

Ekspedisi dimulakan pukul 7.30am. Masa tu lah nak check basikal tu ok ke tak, seat sedap ke tak dan belajar guna gear. Huhuhu.. dulu basikal hitam tu tak dak gear, la ni guna mountain bike kena plak belajar gear huhuhu. Dari rumah, kami lalu Royston Road nak ke Sighthill. Saja je lalu Royston Road tu sebab jalan situ agak landai. Tapi, basikal aku plak buat hal, handle bar asyik longgar jer. Jenuh ketatkan.

Sepatutnya jumpa akuatik kat satu lokasi ni, tapi kami dok sesat barat membuatkan makcik tu hangin satu badan dan terpaksa berpatah balik ke Sighthill Park huhuhu sorry!! Dari situ meneruskan perjalanan ke Port Dundas dan terus ke Possil Park. Belok masuk ke cycle route menyusur terusan Forth & Clyde. Off road ni sangat popular untuk orang berbasikal, berjalan-jalan atau training maraton. Laluan kecik ni mengingatkan aku jalan kat kampung. Sebelah kanan parit sebelah kiri tanah gambut huhuhu. Tapi yang ni sebelah kiri tu tanah marsh (err.. marsh dalam bahasa Melayu apa ek?) Oh! Kat terusan ni pun tempat orang memancing juga.

Seronok berbasikal kat tepi terusan ni. Sekurang-kurangnya nampaklah itik, burung, pokok-pokok, lebah dan serangga-serangga yang sewaktu dengannya. Walaupun cuma lapan batu (atau lebih) jauhnya dari pusat bandar, suasana kat sini dah memang macam kampung. Ladang-ladang cereal menguning. Aku panggil cereal saja sebab aku tak tahulah tu ladang gandum ke atau barli untuk buat malt. Masa dalam perjalanan tu pun loceng kat satu gereja tepi terusan tu pun tengah rancak berbunyi nak panggil orang suruh sembahyang. Berbondong-bondonglah mereka dengan Sunday clothing yang cantik-cantik pi sembahyang secara jamak satu minggu.


Ini lagu tema ekspedisi berbasikal kami hee hee

Sampai kat pekan Kirkintilloch tu dah pukul 11.30am tapi bandar dia masih lagi sunyi sepi. Kedai pun tak buka lagi. Yang buka cuma Tesco Metro jer. Apa lagi, itulah tempat dituju. Meriah aje kat Tesco. Lepas beli air kami ke Peel Park kat seberang jalan. Duduk-duduk kat situ sambil ambik gambar. Kisahnya nak buat gambar raya tahun ni hahahaha... entahlah.

Dah lepak barang sejam dua terus bergerak nak balik pulak. Masa ni lutut aku dah cramp tak hengat dunia. Sakitnya Allah aje yang tahu. Tu lah! Tak dak senam ka, regangkan kaki ka, terus jer mengayuh beskat sesuka hati hahaha. Tapi memang perjalanan balik tu memang menyiksakan sungguh.

Mulanya nak naik tren jer balik Glasgow jadi berkayuh dan berjalanlah ke Lenzie. Beli tren tiket yang harganya £2.55. Mahal sungguh. Tapi, bila tren datang, pakcik tiket tak bagi naik. Ceh! Suruh tunggu tren lagi satu. Dah la tren sejam satu. Takkan nak nunggu sejam lagi kot? Akhirnya buat keputusan mengayuh balik.

Perkh! Perjalanan balik tu memang laa... Dah la jalan kampung, pas tu plak berbukit-bukit. Asal naik bukit jer aku dok sorong beskat. Tak mampu weh. Tinggi bukitnya. Turun tak pa. Tapi disebabkan bahagian belakang lutut pun dah krem, nak berkayuh jalan landai pun siksa. Jadi, perjalanan balik melalui Lenzie ke Stepps terus masuk ke Royston Road dan tinggal beskat kat kawasan rumah lama - Charles Street. Elok jer letak beskat, hujan pun turun dengan mencurah-curah. Perkh! Tak dapat dibayangkan kalau hujan lebat masa kami tengah mengayuh tu.. mau meraung tiga-tiga orang kakaka.

Tiba kat rumah, aku pun penuhkan bath tub dengan air panas. Dok berendam bagi otot yang tegang kendur balik. Lepas tu aku ngan CikMimi pakat lumur kaki ngan minyak hangat. Sesi mengurut badan sendiri dimulakan. Kalau aku tak mengurut malam tu alamat pagi esoknya aku tak bekerjalah jawabnya hahahaha.

Overall, kami telah berbasikal lebih kurang 40km dalam masa satu hari. Perkh!