Monday, February 26, 2007

Yang terkorban

Saya teringat, ketika saya berkeputusan untuk melanjutkan pelajaran ke sini dahulu, ramai yang 'kagum' melihat kesanggupan saya untuk bersusah payah di negara orang. Apatah lagi saya sudah lama meninggalkan alam persekolahan ditambah kagi dengan segala urusan belanja yang akan saya tanggung sendiri. Tentu perjalanan hidup saya akan bertambah sukar. Malah saya sendiri pernah bermimpi yang saya berjalan kaki ayam saja di dalam suasana yang sungguh sejuk.

Ada yang bertanya bagaimana saya sanggup berkorban, meninggalkan kerja yang memberi kebebasan pada saya sehingga kadang-kadang saya boleh singgah menonton wayang, makan di restoran yang jauh dari pejabat di hari menerima gaji ataupun mengendeng makanan percuma mengikut sahabat ataupun 'contact' saya. Setiap bulan pula saya pasti menerima gaji yang walaupun dipotong sana sini tetap memberikan empat angka walaupun kadang-kadang hampir tergelungsur ke tiga angka saja. Mengapa saya sanggup tinggalkan dunia glamor yang membenarkan saya berganding bahu dengan insan-insan terkenal, terkemuka dan berpengaruh. Menyimpan terus lesen yang diberi untuk memuji ataupun menghentam sesiapa saja yang dirasakan perlu.

Secara jujurnya, saya tidak rasa apa yang saya lakukan sekarang sebagai satu bebanan atau pengorbanan. Tiada apa yang saya korbankan sebenarnya. Saya berhenti kerja untuk meneruskan cita-cita. Lagipun, setiap manusia yang berurusan dengan saya waktu itu, mempunyai agenda masing-masing. Saya berbuat baik untuk mendapatkan berita dan mereka berbuat baik kembali untuk memastikan mereka mendapat publisiti. Jadi, memang 'win-win situation'. Cuma saya pastikan saya yang 'berkuasa' dalam urusan tersebut kerana saya yang memegang pen dan kertas. Lesen yang tergantung di leher saya kadang-kadang tidak berguna juga bila ada campurtangan orang yang lebih 'berkuasa' dari industri itu sendiri. Makanya, saya juga tidak menyesal menggantungkan lesen mati saya itu di rumah kini.

Ada pula yang bertanya mengapa saya sanggup meninggalkan orang tua saya yang semakin hari dimamah usia. Dalam usia emas mereka, sudah pasti mereka memerlukan saya untuk membantu mereka dalam beberapa hal. Sungguh, itu pasti satu pengorbanan yang sangat besar untuk kami satu keluarga. Hanya kerana saya.

Keputusan meninggalkan ibu bapa saya bukan saya buat sendiri. Mereka juga menyuruh saya pergi. Sejak mula bekerja dahulu, saya sudah 'dihalau' dari rumah kerana ayahanda saya tidak suka saya 'berkepit' dengan keluarga. Sejak bulan ke dua bekerja sehinggalah 11 tahun selepas itu, rasanya sudah lapan kali juga saya berpindah rumah sewa. Paling jauh saya tercampak ketika bertugas, adalah di Johor. Dapat juga merasa 50 hari tinggal di Mutiara Hotel JB. Setahun di sana dicampak balik ke ibu pejabat. Pengorbanan itu lebih pada ibu bapa saya dan juga kakak saya yang terpaksa mengambil alih tugas rasmi saya menjenguk-jengukkan ibu bapa saya disamping terpaksa menguruskan keluarga sendiri.

Apabila di sini, wang masih menjadi isu besar pada saya. Saya ke sini untuk belajar, tapi untuk belajar pula saya perlukan wang. Antara sekolah dengan wang, tiada kompromi. Ia bergerak selari. Jadi, untuk memastikan saya menerima kedua-duanya, saya harus mengorbankan sesuatu. Iaitu, masa. Masa tidur harus dipendekkan, manakala masa belajar harus diselitkan di antara 24 jam yang Allah anugerahkan dalam satu hari. Tapi, memang sepatutnya kita bangun pukul 5 pagi dan mandi sebelum azan Subuh berkumandang (dari laptop). Bukankah elok mandi pagi? Saya anggap bekerja diwaktu pagi itu seperti kita bersenam. Hayun ke kiri, hayun ke kanan. Gosok putaran jam dan anti-putaran jam. Angkat plastik sampah dan humban masuk ke dalam tong. Bukankah itu seperti bersenam juga? Apabila badan bergerak, insyaAllah minda juga turut bergerak. Kalau kepala bergerak atas ke bawah dan mata semakin kuyu, kemam aje dua biji gula-gula terus menerus. Agak-agak tidak dapat dikawal lagi, topangkan dagu di atas lengan tangan dan beri alasan 'I am thinking with my eyes close' atau 'oh! I am in deep thought' pada rakan di sebelah. Hanya pastikan tiada keruhan kedengaran.

Masa berblog pula diselitkan diantara masa belajar tadi. Masa bersantai dan menonton tv dihadkan ketika makan malam saja. Selebihnya samada saya memegang batang mop dan baldi, menghadiri kuliah, membaca buku-buku ilmiah yang semakin bertambah di atas meja, mengetik papan kekunci dan membaca bacaan tambahan di laman web atau berlingkar di dalam duvet. Itulah rutin harian saya sekarang. 24 jam sehari, tujuh hari seminggu. Sudah tiada istilah hari santai dalam kamus hidup saya sekarang.

Jadi, bila difikir-fikirkan balik 'kekaguman' rakan saya itu, jawapan yang saya dapat ialah, tiada pengorbanan besar yang telah saya lakukan untuk meneruskan cita-cita di sini. Berhenti kerja itu bukan pengorbanan malah satu kelegaan, meninggalkan ibu bapa saya juga bukan pengorbanan kerana mereka mahu saya pulang dengan wang yang banyak! (Ya! Kami materalistik!!). Bekerja tujuh hari seminggu juga bukan pengorbanan kerana sekiranya saya mahu belajar saya perlu duit dan sekiranya saya mahu bekerja di sini, saya perlu belajar. Mungkin satu benda yang saya sungguh-sungguh korbankan di sini, saya sudah tidak boleh lagi jadi hantu tv seperti dulu.

Sebenarnya, hari ini cukup enam bulan saya di sini. Cepatnya masa berlalu tapi saya tak berasa rindu kerana kecanggihan teknologi komunikasi merapatkan kami dengan harga yang paling murah sekali!

19 comments:

Pa'chik said...

kamu memang kuat dan tabah sungguh. Semuga apa yang dicitakan diperkenankan oleh Allah. Amin.
Apa tak kerja kat hotel, buleh lelap-lelap kat katil bila penat keje. atau di waktu rehat.

khairyn said...

Amiin.

Itulah, tiada kekosongan di hotel. Ada juga bilik kosong di tempat saya bekerja di hari minggu. Tapi sejuk sungguh. Beku.

Di bilik mayat. Mahu?

Anonymous said...

Mak mesti bangga dgn ko...ada gak ciri2 wanita besi dlm diri mak dah masuk dlm diri ko (tdo 4 jam sehari)..kekekeke
Walaupn sebelum ni mak ckup risau bole ke ko bgn awal pi keje,nak belaja lg...tp nampaknya sekarng mak xperlu risau lg :-))
Sesunguhnya penghijrahan itu sememangnya dituntut

kingbinjai said...

sesungguhnya hijrah itu perkara yang baik

izinni said...

kan aku dah cakap .. ko memang sepatutnya kena lontar jauh2 ke sana. hehehehe .. kalau tak ko asik membuta je!hohohohoho

6 months eh? tak rasa pun dah 6 bulan. aku rasa macam ko gi jb dulu .. berapa lama kita tak jumpa?? berbulan kan sampai aku kematu takde member nak rewang2, gi makan besar. asik bergayut kat tepon je. just sekarang tak buleh nak bergayut macam dolu2. :-D

along,
kirim salam kat mak ek? hehehehe

Sya said...

Salam kenal.. melompat dr blog Jun

Iman Mawaddah said...

Tahniah..atas ketabahan akak. Semoga Allah merahmati setiap apa yang diperjuangkan. Saya? belum cukup kuat untuk bertindak sedemikian rupa :)

Anonymous said...

wah malu deh membaca blog yang kali ini. aku ni bercita-cita nak buat master, tak jugak bergerak kaki yang malas ni. ha pokoknya malas, bukan apa. teringin juga nak buat degree law, menyambung minat dan cita-cita yang tersangkut di tengah jalan, pun tak nampak bayang.

sudahnya sang kekasih bertanya, tidak mahukah aku menyambung belajar. jawapanku, lepas kawin boleh tak. kalau sambung sekarang, jawapnya awak kena tunggu sayang lagi tiga tahun.

terus terkedu. maklumlah, organ reproduksinya masih lancar. mungkin terfikir, sanggupkan dia 'berpuasa' lagi tiga tahun menunggu aku yang nak sambung belajar.

tapi entahlah, takut juga kalau otak ni dah berkarat, tak leh nak mentelaah buku ilmiah lagi seperti dulu.

13may said...

no pain no gain:)

Syabas!

Pa'chik said...

bilik mayat tu... mayatnya ada dalam bilik ke tak?

INDERA KENCANA said...

Nanti saya cerita perkembangan saya terutama MABEC yang saya kunjungi minggu lepas..

Sekarang ini saya sedang mencuri. Mencuri masa. Agak-agak boleh kena potong tangan, tak?

khairyn said...

salam

along,
hahahaha... bangun pagi sudah jadi macam makan kacang kuda yang mak suka sangat tu walaupun tadi errr... terlajak 10 minit hehehe. Dah dapat kerja baru belum?

king,
hijrah jasmani dan rohani. Tapi rohaniah tu yang paling pentingkan?

izinni,
Itulah kelebihan aku. Tak de problem tidur di mana2 pun. Ha'ah cepat betul dah 6 bulan. Pejam celik pejam celik nanti dah 3 tahun. Aku balik, anak2 buah aku dgn anak2 ko dah besar. Tapi apa pun aku tetap akan tuntut janji makan dari ko.

sya,
salam perkenalan kembali. Seronok lompat melompat ni, jumpa ramai kawan :)

13May,
yep, no pain no gain. Masalahnya saya tak rasa pain nya lagi. Gain? Macam2 'gain' dah saya dapat di sini hahaha.

pa'chik,
mayatnya pasti ada, tapi laci lain-lain. Kamu tak muat untuk berkongsi satu laci hahaha.

Indera
Tahniah!! Langkah pertama sudah selesai. Saya doakan langkah Indera seterusnya semakin mudah. Cubalah dapatkan 'tips' dari 'orang itu' yang akan pulang dari Netherlands tidak lama lagi. Waaah! Saya cemburu dengan 'orang itu'! Perjuangannya bergelut dengan buku-buku akhirnya selesai.

khairyn said...

Iman,
Kadang-kadang kita tak tahu potensi kita setakat mana. Hanya apabila kita sudah dilontar dalam situasi yang tegang, baru kita tahu sebenarnya kita kuat dan berkebolehan. Saya tahu Iman juga kuat dan tabah orangnya.

Diva,
hahaha.. kamu, dia, organ reproduksi masih lagi membara! Elok juga nikah cepat2 dan kemudian boleh sambung belajar. Sebab? Ada si dia yang boleh menjadi pembakar semangat yang setia. Apa tunggu lagi weh?

Anonymous said...

Siapa seru saya? He he he.

Belum habis lagi Khairyn. Viva 8.30 am 7 Mac 2007 tapi buat-buat sardin jer macam semua kerja dah selesai.

Berada di 'luar' sebenarnya menguji tahap diri sendiri. Pushing the limit!.

Senyum-senyum saja sambil diiring doa...

Akhirannya...pasti manis!

Azhar Ahmad said...

Wahh kamu sungguh hebat!

Anonymous said...

hmmm sekarang ni ada isu. mak aku nak suruh aku kawin cepat, tapi bila dapat tahu sang kekasih mamak, terus menangis tak suka. dah tu aku macam mana?

kadang terfikir juga, yang nak kawin ni siapa? itu belum kira soal status dudanya tu.

izinni said...

heheheh div,

kali akhir kita jumpa we did talk about you furthering study. jenuh aku ayat, galak, sokong .. rupanya liat gak ek? hehehhe ... aku ni lain la .. banyak commitment. aku tumpang seronok kawan2 sambung belajar .. dah bonus untuk aku tu. tak sia2 aku dok batu apikan si khairyn tu ... hehehehe

khairyn,
pasal janji makan insyaAllah... ditanggung beres .. errr kalau aku ada lagi kat dunia ni lagi la time ko balik. hehehhe.
errrr .. kat sana takde loceng dengan piring ke? hehehe .. aku ingat laa

khairyn said...

div,
alahai, macam tu la plak. Pujuklah mak kau baik2. Kita tahu dia nak yang terbaik untuk kita.

izinni,
Aku tahan diri aku jangan cari loceng. Mak aku tak mahu rumah di Melaka jadi macam kuil Hindu. hahaha. Tunggulah aku balas dendam, aku bawak balik sekotak loceng, gantung kat rumah. Jangan ada orang sesat datang sambil bawa dulang dengan api sudahlah hahaha

D said...

saya faham pengorbanan itu sebab hijrah saya ke bumi ini pengorbanan yang tak ramai faham. at the end of the day, pada Allah saja tempat kita berlindung.