Bertinggung.
Humpty Dumpty sat on a wall,
Saya kembali bertinggung.
Atas pagar itu.
Tunggu lagi
Bila masa akan jatuh...
Saya selesai temuduga SLAB. Keputusan paling cepat diterima. Tak sampai 10 minit.
Permohonan anda ditolak.
hahahahaha
'Saya dah agak dah!'
Bukankah Allah itu maha mengetahui. Dia tahu apa yang terbaik untuk hambanya. Dan dia juga tahu apa yang tersirat di dalam hati hambanya. Saya. Tak yakin untuk terima bantuan kerajaan Malaysia. Saya. Tidak ada semangat patriotik langsung. Saya. Kembali merajuk.
Saya sebenarnya malas untuk bercerita tentang politik. Terlalu banyak kotor dari bersihnya. Terlalu banyak telunjuk lurus dengan kelengkeng yang bertaut-taut di antara satu sama lain. Muak. Lagipun Puan Izinni pun sudah puas pelik dengan orang-orang di Tanah Malaya, Cik Akira yang separuh cina dan separuh jawa juga sakit hati dengan peniaga-peniaga Melayu. Belum lagi si Ainee yang tak faham dengan sistem pembelajaran di tanah air, bak menggapai bintang di langit lagaknya. Pa'chik juga puas bercerita tentang politik dan Islam. Tapi kali ini biarlah saya bercerita.
Orang Melayu (Hadhari? Glokal? apa-apa sajalah) terlalu memandang tinggi pada peraturan. Wah! Bukankah kita ada undang-undang dan peraturan-peraturan yang ditetapkan, sudah semetinya undang-undang dan peraturan-peraturan ini diikut dan diguna pakai. Setiap urusan haruslah mengikut prosedur dan protokol yang ditetapkan. Setiap orang kenamaan atau berpangkat tinggi haruslah mengikut panggilan pangkat mereka seperti Dato' atau Puan sebagai tanda hormat. (Wah! Polis juga sudah tidak layak dipanggil tuan). Jadi, kerana mengikut mejoriti, saya turut memanggil 'mereka' dengan gelaran-gelaran selayaknya ini. Walaupun dalam hati terasa ingin saja memanggil 'kak', 'encik' 'pakcik (tiada kena mengena dengan kamu, Pa'chik), tok dan sebagainya.
Temuduga dilakukan di Ramada Jarvis Hotel di jalan Ingram tidak jauh dari Dataran George. Orang-orang berpangkat ini datangnya dari London. Menaiki pesawat. Menyewa bilik mesyuarat Miller di tingkat 6, khusus untuk proses temuduga. Ramai juga pelajar-pelajar Malaysia yang hadir. Majoriti dari Glasgow tapi ada juga pasangan yang tiba dari Sterling.
Tiba giliran saya, terus dipanggil masuk ke dalam bilik mesyuarat. Mereka mengucapkan salam pada saya. Dipersilakan duduk mengadap empat ahli panel. Sesi soal jawab bermula. Selalunya saya yang bertanya, tapi kali ini saya pula yang ditanya. Agak seronok mereka kerana jurusan yang saya ambil berlainan dari yang lain-lain. Saya bukan pelajar kejuruteraan, perubatan, farmasi atau sains komputer.
Datuk A : Wah! Ambil jurusan persuratkhabaran.
Saya : Begitulah.
Datuk A : Apa 'first degree' anda?
Saya : Inilah 'first degree' saya. Sebelum ni saya bekerja.
Datuk B : Di mana?
Saya : Suratkhabar Kerajaan.
Datuk B : Kenapa berhenti.
Saya : Sebab sudah tiba masanya saya kembali belajar.
Datuk C : Siapa biaya belajar?
Saya : Sendiri.
Datuk C : Wah! Kayanya.
Saya : Sudah kerja 11 tahun, pasti ada sedikit simpanan.
Datuk C : Selesai belajar bolehlah kembali kerja di Suratkhabar Kerajaan.
Saya : *sengih*
Datuk A : Kenapa tidak teruskan bekerja di Suratkhabar Kerajaan tersebut?
Saya : Saya mahu mencari peluang-peluang lain dan mungkin sebagai pensyarah dan pengelaman yang ada, saya dapat membantu generasi akan datang yang minat dengan persuratkhabaran.
Datuk B : Ya pengalaman awak sangat penting kalau mahu jadi pensyarah. Tapi... awak sudah lebih had umur.
Datuk C : Beginilah. Kami tidak dapat meluluskan permohonan awak kerana faktor usia. Untuk SLAB, awak harus berusia 30 tahun ke bawah. Sekarang, bila awak selesai 'first degree' umur awak sudah 34 atau 35 tahun. Lagipun awak tidak mempunyai 'first degree'. Saya sebenarnya 'admire' orang macam awak ni, berani datang ke sini untuk melanjutkan pelajaran. Tapi macam saya kata tadilah, faktor usia menghalang.
Saya : *sengih* dan *mentol di kepala tiba-tiba menyala*. Oh kalau begitu tidak mengapalah. Lagipun saya cuba-cuba nasib. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.
Datuk C : Dari cara awak menjawab soalan kami ini, saya percaya awak boleh jadi pensyarah yang berwibawa. Betul saya kata, saya 'admire' pelajar-pelajar Melayu macam awak ni. Nanti saya ingat, balik Malaysia saya mahu menulis tentang semangat bangsa Melayu yang sanggup bersusah payah mencari peluang belajar di negara orang seperti awak ni.
Saya : *Sengih semakin lebar* *Mentol semakin terang.*
Datuk C : Beginilah, cuba awak tulis surat pada Dato Mokhtar (*Wah, saya semakin silau dengan lampu yang menyala lebih 100 watt kuatnya*). Dia suka bantu pelajar-pelajar yang bersemangat seperti awak.
Saya : Ya saya faham. Sebabkan faktor usia, saya tidak dapat bantuan SLAB ni. Tak apa. Iya. 'Maybe you're afraid that I'll drop dead on a busy street in Glasgow because of old age?'
Mereka : *Ketawa ramai-ramai.*
Lawak kah?
Rosie mempunyai masalah yang sama seperti saya. Dia pernah mengadu yang dia tidak dapat bantuan kewangan belajar di universiti hanya kerana umurnya sudah melebihi 50 tahun. LIMA PULUH TAHUN. Kerajaan British hanya beri bantuan untuk pelajar-pelajar belajar di universiti sehingga usia 45 tahun. EMPAT PULUH LIMA TAHUN. Rosie sedang cuba mendapatkan khidmat peguam untuk melawan kesnya menentang kerajaan. Menurut Rosie, beliau didikriminasi kerana mereka yang belajar kejururawatan masih boleh menerima bantuan kewangan walaupun belajar ketika usia 50 tahun.
Saya?
Saya bukan anak menteri. Bukan juga anak buah menteri. Di awalan nama ayahanda saya tidak ada Datuk, Tan Sri, Tun ataupun YB. Hanya gelaran Haji yang itupun ayahanda saya segan-segan mahu mengaku. Agaknya kalau ayahanda saya ada gelaran Datuk, saya senang-senang saja menerima skim latihan akademik untuk bumiputera. Rasanya akronim SLAB tu tak bersesuaian. Guna sajalah SLAP, coz for me it's like a slap on the face.
Tapi tak mengapalah. Saya pun bukan bumiputera sepenuhnya. Darah saya mengalir dari seberang. Seberang Selat dan seberang tambak. Mungkin sebab itulah juga saya tak layak. Lagipun waktu masih ber'uniform' putih biru dulu pun bantuan buku sekolah sangatlah terhad. Saya juga bayar yuran sekolah dan yuran periksa. Wah! Memang sejak dari kecil saya tidak mendapat bantuan kerajaan secara total untuk belajar.
Nampak gaya saya akan terus menghayun batang mop selagi kudrat mengizinkan. Dan ingatlah wahai tuan-tuan penemuduga sekalian, kerana Allah itu berkuasa dan atas izinNya sekiranya semangat saya tak luntur, saya akan pastikan saya tidak menjadi antara 60,000 graduan-graduan penganggur di Malaysia. Juga, saya tak akan ikut saranan cik Menteri Sasa untuk memandang ke Asean kerana pandangan saya lebih jauh dari cik. Saya lihat globalisasi. Mungkin ke tempat di mana orang Islam Melayu belum tiba lagi. Tapi saya janji, saya tak akan tanam Al-Quran. Malah dengan izinNya, saya akan junjung isi kandungannya sehingga akhirnya. InsyaAllah.
oooh... jangan salah sangka, ini bukan entri marah. Saya biasa saja. Masih boleh tersenyum. Cuma saya cuak saja, orang Malaysia yang majoritinya mempunyai nama Islam kalau mahu bantuan belajar kena ada had umur, tapi di negara-negara yang majoriti mempunyai nama bukan Islam had umur bantuan belajar ditingkatkan atau di setengah-setengahnya, tiada had langsung.
p/s : Bayu, kamu mengetag saya ye? Tunggu ye. InsyaAllah saya lunaskan 'hutang' tersebut.