Sunday, March 11, 2007

Cerita tadi.

Baru sebentar tadi berbual dengan bonda. Bertanya khabar. Tapi seperti biasa, pasti mendapat cerita-cerita pelik dari bonda.

Bonda kata nenda kerasukan.

Heh?

Nenda memang sudah sangat uzur. Tinggal dengan kami sejak setahun yang lepas. Makan minum senang disuap dan sering lupa-lupa ingat. Nenda sering terkenang cerita-cerita lama, bertanyakan kawan-kawan dan jiran tetangga yang sudah meninggal dunia. Itu perkara biasa bagi orang tua yang sudah terlalu uzur. Harinya dihabiskan dengan tidur sehingga tidak tahu siang atau malam. Kudratnya semakin meninggalkan tubuh kurus dengan tulang mengerekot. Begitulah uzurnya nenda yang berpiut dua.

Satu malam, menurut bonda, nenda tiba-tiba bangun tidur. Kudrat tiba-tiba melimpah ruah, pandai berjalan, pandai membuka pintu. Duduk dibirai katil memanggil 'mak, mak'. Sejak nenda tinggal bersama bonda, dia menganggap dirinya anak dan memanggil bonda ibunya. Memang peranan bonda pun ibarat ibu menjaga anak kecil. Terperanjat bonda melihat nenda duduk elok di birai katil.

Terdetik juga dihati bonda, apa yang merasuk nenda hingga mampu bangun sendiri, jalan tanpa berpimpin dan berupaya membuka pintu yang agak ketat. Cepat-cepat bonda ambil air wuduk dan terus duduk mengadap nenda. Melafaz nama Allah dan mula membaca Alif Lam Mim. Surah Al-Baqarah, satu juzuk, hingga habis.

Di tengah-tengah bacaan, kepala nenda terlentok, mata tertejam dan nafasnya tenang. Bonda berhentikan bacaan seketika untuk menguruskan nenda. Membetulkan tidurnya, menarik selimut hingga ke dagu. Memastikan nenda selesa. Kemudian, bonda teruskan bacaan surah Al-Baqarah hingga selesai. Dan nenda terus tidur dengan tenang sehingga selepas Subuh.

Syaitan masuk dalam tubuh dari beribu rongga yang terbuka. Melakukan onar bukan pada jiwa saja malah tubuh badan manusia juga. Yang bonda risau, sekiranya apa orang Melayu gelarkan 'saka'. Tinggal dan mengacau susur galur keturunan.

Tadi bonda ingatkan, bacalah surah Al-Baqarah selalu. Ada sebab mengapa ia diletakkan sebagai surah pertama selepas Al-Fatihah.

Di petik dari http://www.as-sidq.org/practice/002/003.htm

18 comments:

CikguAndey said...

Memang cerita yang pelik. Cukup pelik bagi aku.

Azhar Ahmad said...

Komen 1 : Wahhh, ngeri sungguh, kalau saya mahu tercirit takut!

Komen 2 : Seperti membaca cerita mutiara hati lagaknya!

akirasuri said...

oh oh ngeri juga rasanya..seperti membaca cerita-cerita dalam mastika rasanya :)

umur nenda akak sudah berapa ya?

Pa'chik said...

semuga keluarga kau terus dalam peliharaan Allah yang Esa. Amin.

Iman Mawaddah said...

Salam Kak Khairyn,
Iblis dan syaitan sememangnya berjanji untuk menganggu keturunan Adam sehingga ke hari akhirat. Sedangkan Adam dan Hawa lagikan tertewas inikan pula kita manusia biasa. Cumanya kita kena yakin dan sentiasa berpaksikan kepada Allah dan juga Rasulullah agar kita terpelihara dari godaan Iblis dan syaitan durjana.

Memang benar surah Al-Baqarah antara surah yang iblis, syaitan dan yang seangkatan dengannya gentar tatkala kita menperdengarkannya. Elok diamalkan terutama apabila kita memasuki ke rumah/kawasan baru.

Semoga kita semua terpelihara daripada ancamannya...Ameen

khairyn said...

salam

cikgu PK,
Tak tau la pelik ke tidak. Tapi, gitulah kalau dah datang 'angin'nya.

encik Azhar,
sebenarnya kami tak takut... err... lebih pada gelihati adalah.

akirasuri,
Dia sudah nyanyuk, tu yang kadang2 perangainya sukar diramal. Ada kawan yang pernah bekerja sebagai pemberita Mastika. Kalau mendengar cerita dia, saya pasti terkekeh kekeh ketawa.
Oh! Umur nenda saya sudah melangkau 100 tahun.Bayangkanlah cicitnya sudah ber-anak 2.

Pa'chik.
Amiin. Kami sukar nak percaya apatah lagi dia 'emosional' orangnya. Tapi bila dikenang2, nenda memang pernah ada 'sejarah'. Dukun dan tabib sering dipanggil ke rumah untuk mengubat.

Iman,
Amiin. Semoga kita semua dalam lindunganNya.

izinni said...

duh!!

lama tak dengar kesah nendamu. Moga Allah lindungi dia.

Saka. hmmm ... saka keturunan belah mak dua ekor harimau setinggi budak berusia 7 tahun. Lebih 20 tahun tak balik ke lenggeng jadi tak tau pulak apa kisahnya sekarang. Tapi macam bondamu, bunda ku selalu juga berpesan serupa. Risau dia saka yang tak sempat diturunkan ke ayah sebab atuk meninggal, datang bertandang. Aku cucu kesayangan arwah atuk ... tu yang mak double concern sebab aku ni katanya kuat semangat. hehehhehe ..ye ke? lawak pun ada.

errr takburkah aku?!! seperti ko, aku pun geli hati juga tapi pesan mak tak pernah lupa .. insyaAllah.

khairyn said...

izinni,

aku sebenarnya kurang arif sikit pasal 'saka' ni. Aku taulah pasal 'syaitan/jin' yang jadi kononnya 'sahabat' orang yang membelanya. Tapi sebenarnya famili aku ni jenis sceptical benda2 macam ni. Terutama ayahanda aku tu. Kami diajar untuk tak ambil pusing dengan benda2 ni semua. Tapi... tak tahulah kan. Orang tua2 ni kadang2 suka menuntut ilmu yang pada mereka amat penting tapi boleh menjurus pada syirik dan khurafat.

Kalau balik Melaka memang aku tidur ngan nenda aku tu. Pernah satu malam dia mengigau panggil nama anak kawan mak aku kat kampung. Abang tu memang dok melaka. Hari minggu tu dia sekeluarga datang bertandang. Masa berborak dia cerita, dia tergerak nak datang melawat nenek aku. Dia tiba-tiba teringat dan rasa macam dipanggil-panggil suruh datang. Hahahaha.. nenek aku psikik.

Pa'chik
ralat : dukun dan tabib (zaman dia muda) selalu dipanggil. Kata mak, nenek saya dulu sering kerasukan. Mak saya yang masa tu baru berumur 4 5 tahun jadi tukang panggil bomoh kampung.

March 11, 2007 9:47 PM

BaYu SenJa said...

insyaAllah, semua ok..
memang surah Al-Baqarah merupakan amalan yang dipesan alim ulama' untuk bertarung dengan jin. cuma satu yang penting, bacaan biar tenang dan betul tajwid.. kalau tak, nanti jin tu tegur ;)

INDERA KENCANA said...

Wahh.. saya terlepas satu entri yang bergambar Oliver Kahn tu..

Hairan ya bagaimana orang yang sudah tidak berkudrat boleh bangun dan berjalan...

(Berdoa agar dimatikan seusia orang biasa yang lain. Mak mertua saya apabila demam sering bermimpi dikunjungi oleh adik beradiknya. Adik beradiknya 10 orang. Dia anak ke 9. Apabila dia menerima berupa kunjungan orang-orang tersayang yang telah pergi buat selamanya ini, nampak kesedihan di wajahnya. Saya juga kalau boleh tidak mahu mengalami kesedihan seumpama itu)

ZaKiN said...

uiksss.. lama tak kesini.
betoi ke kena rasuk kak..?? ngeriiiiiiiiiiiiii.. lariiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii

izinni said...

khairyn,

aku pun jenis susah nak percaya. tapi aku pernah nampak sinaran mata "saka" tu di bawah rumah kampung arwah nenek. masa tu dah nak tido. dinding rumah kampung biasalah dinding kayu yang agak renggang. mak kata dia tengah jaga cucu-cucu dia. aku teruja nak nengok tapi tak pernah jumpa.

but again .. Wallahualam. :)

Pa'chik said...

dulu, masa kat machang, ada orang tua ni, memang tak dah larat berjalan dah pun, satu malam tu, dia kata nak pergi jauh. Masa anak dia ke dapur dalam lima minit saja, orang tua tu hilang.
Bila orang cari seluruh pelusuk kampung, tapi tak jumpa, sampailah mereka panggil seorang bomoh wanita ni, dia suruh pegi satu tempat yang agak jauh dari rumah tu, dekat lereng bukit dah, dia suruh mereka acukan golok yang selalu makcik tu bawak masa dia sihat dulu.
Bomoh tu kata, banyak benda yang dok keliling orang tua tu, tu pasal orang kampung tak nampak dia. Bila tunjuk ngan golok tu, baru lah mereka buleh nampak orang tua tu.
Dia dah mati masa tu, yang pelik, macam mana dia buleh lepas sungai tu, dan pegi ke kaki bukit tu, dia mati dalam keadaan sedang cuba nak panjat bukit tu.

memang untuk beberapa ketika lepas dia meninggal tu, ada orang nampak dia datang balik.

kingbinjai said...

amalkan kursi dengan sembilan wukuf.

jika tahu ayat ruqyah itu lagi bagus.

Sya said...

Khairyn.. Datok sedara pernah memakai susuk buluh dulu.. orgnya dah uzur tapi makannya macam org berkerja sawah. Sehinggalah perlu dipanggil anak kepada org yg memasukkannya utk bantuan mengeluarkannya.

Org dulu2 banyak memakai sebagai pelindung.. wallahualam

13may said...

hehhe....penah melalui situasi camni:))

dasat...org tua tetiba menjadi hulk hogan:D

khairyn said...

salam

Bayu,
Masih lagi dalam tahap belajar membaca dengan sempurna. InsyaAllah. Uish! Janganlah ditegur.

indera,
Ah! Oliver dari negara yang saya suka, itu saja.
Pesan ayahanda saya, sekiranya kita bermimpi orang yang sudah meninggal dunia, sedekahkan saja Al-Fatihah untuk si mati. Itu juga peringatan untuk kita yang bakal menemuiNya. Peringatan untuk saya juga yang iman dan amalnya senipis halus kulit bawang.

Maniq,
Tak tahulah. Antara nyanyuk dan kerasukan. Dalam sedih melihatkan dia, terasa gelihati juga melihat telatahnya. Saya mohon bonda saya sabar menjaganya. Semoga Allah lipat gandakan pahala mereka yang menjaga orang-orang tua dengan penuh kasih sayang dan ikhlas.

izinni
Ya lah nak tengok. Sekali dia aci ligan kau, dey kici mana mau lari?
Kata orang, 'saka' ni dia ikut susur galur darah kau. Jadi kalau tercampak ke mana sekalipun, dia pandai cari keturunan penjaganya. Hah! Tak payah pakai DNA!

Pa'chik,
Kasihan orang tua tu. Kadang2 terfikir bela hantu pun tak kaya-kaya. Nyusahkan diri adalah. Nak perasap kemenyan setiap minggu, nak bagi makan pulut kuning, ayam golek, borak2 dengan dia tapi orang tengok macam orang tu borak2 sorang diri - dah dikatakan gila pula. Jadi kesimpulannya. Jagalah diri sendiri. kan?

Kak Sya,
Saya pernah tengok juga orang macam ni. Badan sudah lemah longlai tapi nafsu makan ada lagi. Bukan takat tu je, pemarah pula tu. Janganlah pandai2 nak bangkang arahannya, sekali dijegil, fuh! Seram juga. Bila dibacakan surah Yaasin, bengkeng. Katanya dia tak mati lagi buat apa dibacakan Yaasin. Aduh! Lama jugalah roh nak tercabut dari nyawa. Mohon dijauhkan perkara yang sama dalam keluarga kita.

King,
InsyaAllah. Alhamdulillah nenda saya didalam jagaan ayahanda dan bonda. Mereka warak orangnya err... tak macam anaknya ni yang kadang2 juga boleh 'kerasukan'! ;)

Encik May,
Kamu bukankah pernah tinggal dengan entiti yang tak boleh dilihat tu? hehehe

izinni said...

hmmmm kekadang rasa macam ada yang merenung. "dia" kah itu? huhuhuhuhuhu ...