Friday, September 26, 2008

salam

update update : Ish Glasgow ni, baru jer dipuji-puji, rupanya tetap 'buat perangai'. Yang raya esok cuma kariah untuk satu masjid saja, yang lain pakat raya Hari Rabu. Central Mosque ni ketegaq sungguh. London raya esok lah weh! - di tulis pada 22.22 29 September 2008. Oh! Kami tetap nak raya esok hwahahahaha

update : Buat pertama kalinya Glasgow tak 'buat perangai'. Kami raya esok hari Selasa 30 September 2008. Serentak dengan London. Sekian dimaklumkan.

Selamat Hari Lebaran semua!

Tiap-tiap tahun perkara yang sama berlaku di komuniti Islam di Glasgow. Penetapan Hari Raya Eidul Fitril dan Eidul Adha tak pernahnya sepakat. Masing-masing nak tunjuk lagak, nak tunjuk keras kepala. Sedang masyarakat Muslim yang lain di pulau Great Britain ini sambut Hari Raya pada hari yang ditetapkan, ahli 'lembaga tukang arah' di Glasgow Central Mosque akan buat penetapan anak bulan sendiri, akan beraya satu hari lebih lewat. Selalunya desas desus yang didengar alasan diberi nak sama-sama sambut Hari Raya dengan rakyat di negara Pakistan.

Macam aku katakan, kalau hal-hal sebegini pun tidak muafakat, masih lagi bersemangat negara kau kau, aku aku, macamanalah nak selesaikan masalah yang lain? Jadi tak hairanlah negara mereka dan negara aku pernah dijajah oleh bangsa asing.

Thursday, September 25, 2008

Mohon

sepanjang ramadhan, aku berdoa Allah permudahkan urusan aku di sini. Dalam hati pula aku berkata semoga Allah tak duga aku dengan dugaan yang aku tak termampu membawanya. Dengan mulut aku pernah berkata biarlah dugaan itu datang dari segi kewangan kerana itu saja yang aku rasa mampu aku tanggung. Dugaan lain rasanya mungkin aku tak tertanggung, apatah lagi kiranya jika hati dan jiwa diduga atau tiba-tiba aku jatuh sakit. Ya Allah jauhkan aku dari itu.

Tapi itulah, kata pepatah inggeris, 'be careful of what you wish for, you may end up getting it'. Dan Allah yang maha Pemurah telah memberi apa yang aku doa, detik dan katakan. Dia duga dengan apa yang aku minta. Buat pertama kali dalam 2 tahun ni, air mata aku menitis. Dan pagi tu aku rasa lantai yang aku mop, sangatlah bersih dan berkilat. Bukan disebabkan dicuci dengan air mata aku tapi aku begitu komited menyental lantai sedang otak aku ligat berfikir, mana nak cari duit, mana nak cari duit.

Alhamdulillah, cepat-cepat aku buang rasa keluh itu. Allah beri apa yang hambaNya pinta. Aku yang mintak jadi dia beri, kenapa aku nak mengeluh pula. Ya Rahman, ya Rahim, aku bersyukur akhirnya kerana Dia yang maha mengetahui. Dia telah tentukan nasib aku di sini maka aku kena teruskan usaha aku. Kalau ini tidak berlaku aku rasa aku akan habiskan sisa hidup aku dengan rasa sesal yang amat sangat. Selagi itu aku akan rasa ada yang tidak cukup dengan diri aku. Syukur pada Allah yang maha mengetahui. Semoga aku tidak sia-siakan nikmat yang telah Dia berikan pada aku.

Apa cerita sebenarnya?

Begini, ada kesilapan teknikal dari pihak aku. Mulanya aku ingat universiti akan offer aku biasiswa untuk tahun 3 atau 4, yang mana yang aku rasa akan jadi final year aku. Memandangkan aku tahu dana belajar aku tak cukup, aku mohon untuk jadikan tahun 3 sebagai final year aku, bermakna aku hanya akan graduate dengan general degree dan bukan dengan honours. Bila aku ke jabatan untuk memohon surat biasiswa, mereka beritahu yang aku hanya akan dapat sama ada tahun 4 atau 5. Sekiranya aku berhenti sekarang, tawaran biasiswa akan ditarik balik. Buat beberapa saat, otak aku jammed. Yuran tahun 3 sudah naik ke £8,930. Sedangkan aku baru saja habis bayar yuran 2007/2008.

Itulah sebenarnya yang terjadi. Maka segala perancangan aku terpaksa dibatalkan sehinggalah aku habiskan tahun 3. Sungguh kita hanya merancang, Allah yang tentukan segala-galanya dan dalam hati aku sangat-sangat bersyukur dan gembira sebab Allah sudah 'buatkan keputusan' untuk aku dan aku sangat redha dengan keadaan ini. Malah ikhlas aku kata, aku rasa lega yang amat sangat.

Maaf aku disablekan kotak komen untuk entri ini sebab aku cuma nak luahkan perasaan saja. Aku tak rasa aku mampu terima rasa kasihan dari kalian. Aku cuma mohon kalian doakan untuk aku, permudahkan urusan aku, sihatkan tubuh badan aku, cerdaskan akal aku dan semoga Allah berkati hidup aku di sini, mampu bekerja mencari rezeki dan menimba ilmu. Semoga Allah kuatkan lagi semangat aku, degilkan dan keraskan lagi hati aku supaya aku tidak menjadi manusia yang cepat mengalah dan suka mengeluh. Doakan juga semoga aku gembira supaya aku masih berupaya untuk tersenyum dan ketawa.

Sunday, September 21, 2008

My Love.. gone

Aku suka duit. Duit best walaupun bukan best sangat-sangat, tapi duit tetap best. Bukan setakat duit saja, aku pun suka keluarga monarchy. Kalau kat Malaysia dulu aku sayang Agung, kat sini aku sayang Ratu. Eh! Kan ke muka diorang ada ter-cap kat matawang masing-masing? Oh! Aku sayang duit, rupanya.

Orang yang kata duit tak boleh buat kita sukahati adalah orang yang tak pernah ada duit banyak hahahaha. Sebab bagi aku, duit boleh buat aku senyum dan sengih. Kadang-kadang duit boleh buat aku gembira hahaha.

Dasar mata duitan? Nak buat macamana, aku memang diasuh untuk jadi materialistik. Bonda aku pun pesan 'duit memang tak boleh beli kebahagiaan tapi duit boleh beli keselesaan'. Hahaha.. Sungguh!


Macam gambar kat sebelah ni... macam best je kan? Hasil terkumpul selama hampir sembilan bulan. Cayalah! Dengan gaji yang tak seberapa tu, dalam sembilan bulan aku boleh kumpul macam ni punya banyak. (Eh! Campur dgn belas ihsan seseorang). Agaknya kalau kat tanah Malaya aku boleh ke kumpul banyak ni kalau gaji aku cuma dalam RM800 sebulan? Rasanya tak boleh kot. Entah-entah RM80 pun belum dapat.

Tapi kan, semua tu dah tak ada. Licin dah. Dengan satu klik tetikus, semua tu dah hilang. Meluncur masuk ke universiti aku. La ni tinggal £7 lebih je dalam akaun. Eh! Esok mungkin tinggal £4 aje kot. Kena tolak lagi £3 untuk zakat fitrah tahun ini.

Huhuhu... lusa nak cari tempurung kelapalah, duduk kat Sauchiehall Street sambil nyanyi lagu raya. Agak-agaknya boleh dapat berapa ye?

Thursday, September 18, 2008

Jangan panggil aku sayang

He starts calling me baby (bluwek!).

Should I be flattered or should I be scared? huhuhu

Jangan dia buat gila datang sini, sudahlah hahaha. Pengsan!

Ya ya dia mat salleh. Dari satu benua yang jauh. Berbeza waktu. Berbeza agama.

Erk! Pasal apa aku rasa deja vu?


update : Sebenarnya hari tu si Bantal tetiba galak nyuruh aku ngurat mat salleh. Katanya kalau dia kat tempat aku dah lama dah dia berbinikan minah salleh. Kira skill aku tajam lagi la ek Bantal ? Hahahaha - marilah kita sama-sama sombong, riak dan takbur.

Monday, September 15, 2008

Meh, sembang sat

Pergi sana pergi sini ramai yang dok sembang pasal I.S.A. Baca berita terutama kenyataan Pak Syed Hamid tu pun buat aku rasa macam nak tergelak guling-guling. Tak sangka rupanya masuk I.S.A tu sebenarnya demi keselamatan si 'banduan' bukan sebaliknya. Rupa-rupanya aku silap paham daaa... hahahahaha

Kalau aku jadi Hoon Cheng tu mesti aku nangis guling-guling mintak hantar ke Kamunting. Kesian kat dia, dahlah masa 'dibebaskan' hari tu dapat coverage penuh, mesti orang yang nak ancam nyawa dia tu dok sukahati. Senang buat kerja, Lagi baiklah dia dok kat Kamunting sana 'holiday' sakan. Yalah, dok dalam kem Kamunting, kurang-kurang selamat, ramai pak gad yang jaga dengan senjata api ke cota ke. Macam Pak Nazri pernah beritahu kat pelajar di sinilah dulu, katanya tahanan I.S.A tu macam dok 'holiday' je kat dalam tu. Makan cukup, pakai cukup, tempat pun selesa. Buat apalah nak kisah-kisah lepaskan dorang tu. Hohohoho! Aku heran plak kan, kalau dah tempat tu selamat dan selesa, awat dia tak nak bawak famili dia berkelah, camping sakan kat situ. Takyah pi jauh-jauh holiday. hahahaha. Bengong!

Izinni
, aku rasa School of Journalism kat UiTM tu kena revamplah. Tak payahlah buat kursus Kewartawan tapi join sekali dengan Secretary School. Aku rasa dorang ni semua tahap stenographer jer hahahahaha


p/s Oh buat 'mereka' yang rasa jurugambar NST Sairen Mohamed Nahfis yang deserve kena belasah masa buat liputan penamaan calon Permatang Pauh tempohari, beliau sekarang ni masih lagi MC sampai raya. Retak tulang rusuk dan compression fracture di tulang belakang. Tak boleh angkat benda-benda berat dan pergerakan jadi perlahan.

Tu yang kuat semangat parti tu, boleh gelak lagi ke??
Jangan taksub sangat sebab satu mamat yang namanya Anwar tu takkan boleh selamatkan kau dari balasan Allah.

Amaran : Hah! Jangan ada pulak yang berani tak setuju ngan aku. Tak de kena mengena dengan niat ke, promosi ke, publisiti ke, mock cheque ke, tangan yang memberi lebih baik dari yang menerima ke. (tak paham? tak apa. Aku ngan akuatik je paham ni - hahaha)

Wednesday, September 10, 2008

Aku ada SETAN

Aku sudah ada Satan(ic Verses) dalam tangan untuk selama enam minggu.

Dah lama dah mengidam nak membaca buku yang menyebabkan keluarnya fatwa untuk penggal kepala si Salman Rushdie ni.

First impression aku;
Aku baru baca sampai bab 2 tapi dah mula rasa pening-pening lalat. Kena betul-betul beri perhatian baca buku ni sebab cara penuilisan dia yang sangatlah 'kreatif'. Mana yang fiksyen, mana yang tipu, mana yang fakta harus diteliti dengan hati-hati. Baca buku ni buat aku macam tengok teater pun ada. Terlalu dramatiklah pulak.

Tapi tak apa, aku ada enam minggu untuk habiskan buku ni. Sabar ye.

Monday, September 08, 2008

kerana kau(m) Adam.

Namanya Adam. Suka tersenyum. Manis. Kacak. Dari Poland.

Oh! Dia punya sepasang mata kelabu yang sangat indah. Buat aku terkesima acapkali bertembung dengannya.

Dan telah mengurangkan pahala puasa aku ... huwaaaaaaaaaa!!


(lain hari - lain tempat)

"You're not going for lunch?". Natalie

"Nope, I'm fasting."

"Ah! I remember you did that last year."

"Yep." Tersengih.

"You're crazy woman, you know that?"

Hahahahaha


"Come, you look like you could use a cuppa." Brenda

"Go on hen. I'm fasting." Aku.

"Oh! Is it Ramadhan?"

Angguk. Sengih

"When was the last time you eat?"

"This morning at 4am."

"When can you eat again? Tonight?"

"Yeah, 8pm."

"Crazy woman. I'd died if I didn't have my meals."




"Are you fasting?" Misi lelaki.

"Yes."

"How can you work with an empty stomach?"

Sengih. Masuk lif.


Heh! Itu baru imsak pukul 4am iftar pukul 8pm. Belum lagi tahun depan... mahu imsak pukul 3.30am dan buka pukul 8.30pm.. belum lagi akan datang yang bulan Ramadhannya dalam musim panas bila Maghribnya pukul 10pm ke atas. Huh! Sanggup ke aku puasa kat sini lagi ni?


Tuesday, September 02, 2008

Tiga kali

2006

am = bangun
mamai-mamai pi dapur. Ambik air segelas bawak pi ruang tamu. Cik Mimi tengok Tyra Banks Show. Minum air. Mamai-mamai masuk bilik. Tido

am ke pm = Dalam kelas perut kruk-krak, kruk-krak. Bising.

pm = masak, makan bila azan maghrib berkumandang dari Islamic Finder free azan software.

pm ke am = buat solat terawikh sorang-sorang. Tadarus sorang-sorang.

2007

am = bangun
mamai-mamai pi dapur. Ambil air segelas. minum. Mamai-mamai masuk bilik. Tido.

am ke pm = Dalam kelas perut kruk-krak, kruk-krak. Bising lagi.

pm = berlari balik. Sempat masak ke tak sempat? Bergilir-gilir masak dengan CikSue.

pm ke am = buat solat terawikh sorang-sorang. Tadarus sorang-sorang.

2008

am = bangun
mamai-mamai masuk bilik air. Gosok gigi. Pi dapur. Duduk termenung. Tengok nasi. Ambil sesenduk. Makan.
.
am ke pm = Dok kat library. Tulis. Terlelap. Tulis lagi. Jalan-jalan pi bandarlah pulak.

pm = masak. Buka puasa. Malas nak pi Central Mosque semata-mata nak makan briyani.

pm - am = buat solat terawikh sorang-sorang. Tadarus sorang-sorang.

Nampak gaya kena sahur gak sebab waktu berbuka masih lagi selepas pukul 8pm. dan imsak pula pukul 4am.

Tak berani nak pi solat terawikh kat masjid sebab isya' lambat. Dah ada kes orang kena pukul lepas balik solat terawikh. Terus koma. Tak buat jemaah kat rumah sebab masing-masing takut nak jadi imam. Main tolak-tolak. Jadi jawapannya, buatlah sorang-sorang huhuhuhu sampailah tiba masa ada orang berani nak jadi imam.

Tadi CikSue dah berbohong. Makcik-makcik Jehovah Witness dulu tu datang balik, tapi aku kat depan so tak sempat nak angkat buzzer bila berbunyi. CikSue yang tolong jawab. Dia kata aku tak balik dari uni lagi. Dia kesian aku kang kena pulak berdiskusi dalam bulan Ramadhan ni pulak. Hahaha. Adeh!


Saturday, August 30, 2008

Kau, aku dan mereka

http://animalsclubfreedom.org/myPictures/MadCowMomentCommentary.jpg Nak jadi macam dia ke? Ikut saja ke mana ditarik?

ATAU







Macam dia?

Berani bila beramai-ramai.







ATAU





Kawan ni?

Sungguh setia pada tuan?









BAGAIMANA DIA?






Yang cuma setia pada makanan?
















Kalau kita binatang? Agak-agak kita masuk kategori mana?

SELAMAT HARI MERDEKA MALAYSIA


DAN

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL MUBARAK.

Thursday, August 28, 2008

Oh!

Patutlah aku rasa sangat bahagia semalam, rupa-rupanya hari ulangtahun.

To my dear Sayang,
Happy Second Anniversary. I miss you so much!

xxx

Wednesday, August 27, 2008

OMEGA

Yep! Bukan jenama terkenal jam tangan ye, tapi tetap 'mahal', penuh kandungan Omega-3 hihihi.
Dah tiga hari berturut-turut dapat makan ikan (dibetulkan atas teguran). Dua hari dapat makan sea bass buat sweet sour dan semalam makan ikan mackerel dan kali ni buat masak asam pedas huhuhuhu.. nasib baik ada daun kesum sepasu. Ahhhhh.. sedapnya.
Jadi hari ni mood aku sangatlah bahagia walaupun tadi;
a - kena marah dengan mandur sebab katanya aku buat kerja tak betul (huh! Dia tipu)
b - kena tegur dengan perpustakawanis (hahaha) sebab dah kat kaunter baru terkial-kial nak keluarkan kad perpustakaan.
c - dapat pinjam buku Satanic Verses tapi rasa macam tak ada masa nak habiskan malam ni (547 mukasurat tau!)
Bos! Ada peningkatan. Sudah 50% siap. Akan di update nanti.

Wednesday, August 20, 2008

Summer ends


Musim panas sudah tiba di penghujung. Langit semakin hilang keceriaan. Cuaca semakin mendung. Hujan turun hampir setiap hari. Suhu juga sudah semakin menurun walaupun masih lagi dalam lingkungan dua digit.

Sudah tiba masanya untuk kemas baju-baju nipis dan keluarkan kot-kot tebal, basuh dan keringkan. sediakan sarung tangan sama ada kulit atau pun yang tebal. Kain pelilit leher perlu dicari. Kasut but juga perlu diperiksa. Mana-mana lubang perlu dihantar ke tukang untuk ditampal. Cari payung. Kalau sudah rosak, perlu diganti dengan baru. Selimut tebal juga perlu dihampar di atas katil.

Musim panas sudah tiba dipenghujung.

Musim luruh bakal menjelma dan musim sejuk akan menyusul.


Tuesday, August 19, 2008

Kau malu tak??

Sepanjang musafir aku di bumi Glasgow ini, belum lagi pernah aku alami kelaparan kecuali atas sebab pilihan aku hendak berlapar. Belum pernah lagi aku terpaksa merayu untuk sesuap makanan. Belum pernah lagi aku meminta-minta belas ihsan insan yang lalu lalang memberi sekeping dua duit 'emas' untuk mengalas perut. Alhamdulillah nasib aku masih di dalam golongan manusia yang beruntung. Tapi, tak semua insan bernasib baik seperti aku. Masih ada yang terpaksa meminta, merayu dan berlapar kerana mereka golongan yang tidak berdaya.

Dengan ini aku mohon belas ihsan rakan-rakan yang sentiasa cukup makan, malahan berlebih-lebihan untuk menghulurkan sedikit bantuan untuk mereka. Sekiranya di dalam hati masih ada sekelumit perasaan MALU pada mereka, hulurkanlah bantuan. Harga RM50 itu sangat rendah bagi kita tapi dapat mengalas perut mereka selama dua minggu. Dua minggu saja! Kalau sumbangan anda terhenti di situ, bermakna mereka akan berlapar lagi di Hari Raya sedangkan anda mungkin MEMBAZIR makanan di waktu itu.

Ayuh! Rakan-rakan di Glasgow dan yang berdekatan (Aku tahu ramai bloggers yang singgah dari Edinburgh atau mana-mana kawasan di UK ni). Hulurkan sumbangan anda untuk mereka. Buat kawan-kawan di Glasgow ini, aku dengan akuatik akan cuba buat kutipan sebelum Ramadhan menjelma. Kami minta dalam £10 saja seorang. £10 saja! Takkan tak mampu?? Kalau boleh organise makan boleh sampai dekat £20 seorang takkan tak boleh derma separuh dari harga makanan tu kan?? Yep! Dengan tak malunya aku minta duit sebab aku SANGAT MALU dengan mereka;




Untuk maklumat penuh boleh ke laman Islamic Relief Malaysia. Atau ke blog DrBubbles

Sunday, August 17, 2008

Hari BBQ

Tahun ni, BBQ Family Day untuk warga Malaysia Glasgow dibuat di Strathclyde County Park. Rumah kami kena perap 16 pasang kaki ayam huhuhu. Kira dekat 20kg jugalah semuanya. Jenuh setengah malam memerap ayam. Belum lagi masuk kena buat benda lain untuk potluck, ais dan air gula. Apa lagi, sambil mengerjakan ayam, buat pasta salad, jerang air gula dan isikan air dalam bekas untuk air batu, aku ngan Cik Akuatik melalak suka hati lagu-lagu rock kapak kat dapur untuk menghiburkan hati hahaha. Tugas untuk meratakan perapan tandoori pada ayam diberikan kepada Cik Mimi dan Cik Sue.

Kami dah sepakat hendak menaiki keretapi saja ke Motherwell, lepas tu baru mintak sesiapa jemput kami untuk ke Strathclyde park tu. Tiba di Motherwell, hujan masih renyai-renyai dan rasanya macam awal lagi. Jadi, kami jalan-jalan dulu kat bandarnya dulu. Hehehe... macam bestlah pulak pekannya. Kecik aje High Street tapi macam-macam kedai ada. McD, kedai judi, Woolie, Clarks, Primark, Dorothy Perkins dan Farmfoods. Ada juga kedai Peacocks yang tak ada kat Glasgow.

Selesai jalan-jalan kat situ, kami terus jalan ke Park. Dalam 1.4km dari bandar. Cuma bila dah tiba kat Park tu tak tahu pulak kat mana tempat BBQ kami. Nampak ada kumpulan yang buat BBQ juga, rupa-rupanya kumpulan Arab.. huhuhu masing-masing bawak Merc deng Bimmer. Huh! Salah kumpulan rupanya kami. BBQ kami letaknya ke dalam, jadi terpaksa panggil orang jemput kami pulak hehehe. Tapi, yang bestnya sampai jer kat tempat BBQ, terus ambik ayam. Makan time! Macam-macam ada. Banyak pencuci mulut pulak tu huhuhu.. ada kek coklat, kek batik, sedapnya.

Macam biasa acara BBQ biasanya diikuti dengan mesyuarat Kelab Umno Glasgow. Dan dengan sukachitanya aku sudah tidak lagi menjadi AJK Kelab Umno. Woohoo! Seronok. Tugas terakhir aku tadi mengambil minit mesyuarat untuk separuh masa pertama. AJK untuk sesi 2008/2009 sudah dilantik. Ah! Lepas ni aku mesti rindu mesyuarat makan-makan kakakakaka. Oh! Tadi pun makanan banyak lebih. Tak menang tangan kaum lelaki yang dok mengipas bara BBQ. Tadi pun bawak balik ayam sikit.

Hehehe... minggu depan kami nak pi acara makan-makan kat Edinburgh pulak. InsyaAllah.

Thursday, August 14, 2008

Rock Kapak

Kebelakangan ni suka sangat dengar lagu rock lama-lama. Lagu yang orang gelar Rock Kapak (kami panggil rock kapak, beliung, cangkul, keris, pisau dsb). Lepas tu bila dengar lagu lama-lama ni mesti teringat cerita lama-lama jugak, cerita zaman sekolah. Zaman belakang kelas budak-budak lelaki jadikan medan wrestling. Mentang-mentang kaum Adam dominasi kelas aku (Science stream), memanglah kecoh. Asal cikgu keluar aje, kat belakang tu mesti jadi wrestling ring. Kadang-kadang empat lawan satu. Si lizal, atau orang panggil Bob (kenapa ek kalau orang tu badan besar, nama dia otomatik jadi Bob?) akan berdiri tegak, lepas tu ada empat orang akan cuba bergayut kat badan dia. Kira terer gak lah si Bob ni.

Ingat kat Ayin yang pernah nyanyikan lagu untuk aku hahaha. Kononnya memujuk sebab semalamnya kami gaduh besar. Entah apa lagu dia nyanyi aku tak ingat, tapi masa tu aku dok pejam mata. Dia ingat aku marah kat dia padahal aku tido hahaha. Si Ayin jejaka idaman ramai masa tu, kononnya rocker alim huhuhu alim taik kucing adalah. Jual nama sebab dia juara menghafal surah Yaasin, aktif pengakap ngan aktif drama. Hehehe.. best friend aku dari tingkatan tiga. Tak tahulah aktif menyanyi lagi ke tak lepas jadi bapak ni. Adeh!

Sorang lagi kawan rapat aku, si Zul. Bercita-cita nak jadi rocker. Itulah idaman dia, nak jadi rocker. Sama aje dia ngan Ayin, simpan jambul panjang lepas tu tarik ke belakang hahaha. Tapi kelebihan Zul ni dia orangnya lembut dan pandai melukis. Cuma benda yang dia selalu lukis tu mestilah gambar katun rocker rambut panjang, macam Gayour zaman dolu-dolu. Sayang Zul tak kembangkan bakat melukis dia. Apa agaknya cerita dia sekarang?

Masuk Tingkatan 6, geng aku dah ramai perempuan dari lelaki. Tapi yang perempuan ni pun sama hebatnya dengan geng lelaki yang dulu. Si Elly, kawan katil atas. Peminat tegar Awie dan Wings. Pagi-pagi jer dah melalak dengan lagu Bazooka Penaka. Naik pening kepala kotak aku. Hebat sungguh penangan Awie ni sampai aku kena temankan dia pi bergambar ngan Awie kat Odeon kot masa Awie datang untuk promosi pilem. Oh! Dengan aku aku sekali dok bergambar ngan Awie. Nasib baik rumah aku kat Ampang, jadi balik aje, dua-dua bengong, tersengih sana tersengih sini, guling-guling atas katil. Kira happy tahap maksimum masa tu.

Bila zaman hip hop melanda, semua jadi hip hop. Pakai topi, gantung CD lip lap buat rantai. Nasib baiklah geng aku tak ada yang gila spera macam tu. Cuma si Intan terjatuh cinta dengan AC Mizal 4U2C. Bila KRU keluar, dia berpaling tadah. Masa tu cakap pun mesti ada Yo! Yo! Siap ngan gaya-gaya sekali. Peace!

Bila Bon Jovi datang Malaysia, aku excited sangat-sangat. Oh! Masa tu tak kira, ada kawan ke tak de kawan ke nak ikut, aku tetap nak pi tengok konsert. Hah! Tu diaaaa... aku terselit sengsorang antara beribu riban umat kat Shah Alam Stadium pi tengok konsert. Habis konsert, servis bas pun dah tak ada. Tapi malam tu, aku rasa pemandu bas ngan konduktor bas yang nak balik depot buat duit lebih. Angkut kami dengan harga RM2 sampai Armada Hotel (PJ) RM3 sampai Bus Stand Klang kekekeke. Itu pengalaman aku pi tengok konsert sengsorang, tiket berdiri kat padang. Pi sengsorang, balik pun sengsorang. Ingat dah insaf lah kan, tapi bila Michael Jackson datang Mesia, aku pi tengok konsert dia gak hahahaha. Gila dan bodoh!

Tu yang buat aku sengih sengsorang kalau dengar balik lagu-lagu rock kapak ni. Er.. korang ada idea lagu-lagu rock kapak yang lain ke? Tak nak lah yang terlalu fames. Ada dua tiga lagu yang aku download tapi si Imeem ni bengong, tak nak upload kat playlist.


Tuesday, August 12, 2008

Makan

Dah lama sungguh tak makan ketam. Dekat tiga tahun dah.


Hari Ahad hari tu Leyha buat makan-makan tapi aku tak dapat hadir. Alasan = kerja. Dah pesan kat Leyha, mesti tapau untuk aku.

Balik kerja, tengok ada satu beg plastik makanan untuk aku. Happy!

Ada pepahat, ada ketam, ada udang masak sambal tumis petai. Sedap. Sangat sedap. Semua binatang tu besar-besar saiznya.

Duduk makan dengan tekun. Menikmati ketam yang besar dan keras. Ambil anak lesung batu nak pecahkan sepit dan nikmati isi yang manis.

Lupa nak ambil gambar sebab begitu menekuni makanan yang sedap. Sangat sedap. Sedap sangat.

Terima kasih Leyha walaupun mengelat masak sebab import chef istimewa. Lain kali buat lagi ek? hihihi

opocot: Hari Jumaat buat kerpok lekor.Guna ikan makeral saiz sederhana enam ekor. Cicah sos cili sambil tengok pembukaan sukan Olimpik di televisyen. Hummm.. gambar? Ada-ada... nanti akan upload. (Lepas habis cari lagu rock kapak ye)



Friday, August 08, 2008

Siri Jelajah Scotland - Episode Tiga



Akhirnya kita sudah tiba ke penghujung perjalanan hehehe... Sebulan nak habiskan cerita. OK sambung balik kisah merentas bumi Glasgow. Dalam entri yang lepas aku ada cerita pasal handheld vakum yang aku beli kat carboot Lanark hari tu kan. Yep, harinya sudah tiba untuk kami menggunakan sepenuhnya khidmat vakum ni.

Pagi hari ke 10 kami sepatutnya dalam perjalanan ke Peebles untuk terus ke Berwick-Upon-Tweed. Sedang elok memandu di A721 tak silap aku, dalam 50mph, bila tiba-tiba saja bunyi dentuman kuat dan serpihan kaca dari cermin tingkap aku menghambur masuk mengenai badan. Jantung dah dup dap. Aku perlahankan kereta dan terus berhenti di tepi. Memang cermin tingkap sudah completely shattered. Bunyi dentuman tu mamang kuat sungguh sampai tiga serangkai yang tidur kat belakang terjaga instantly.

Rupa-rupanya kami lalu di sebelah golf course dan rasanya ada bola golf yang tersesat sampai menghentam tingkap kereta kami. Jadi, tak ada pilihan lain kami terpaksa tukar kereta. Pilihan adalah kami pulang ke Glasgow untuk tukar kereta atau ke Edinburgh saja. Memandangkan laluan Edinburgh adalah lebih dekat untuk ke destinasi seterusnya, kami terus ke lapangan terbang untuk tukar kereta di sana. Maka dapatlah kami kereta baru Peugeot 206. Huh! Sepanjang perjalanan aku rasa macam tak de connection aje dengan Peugeot ni. Tak user friendly sangat macam Golf 1.6FSI. Aku rasa satu geng rasa kurang feel dengan kereta ni. Cik Akuatik rasa dia kena buat stretching tiap kali nak ambil gambar sebab windscreen terlalu slanted. Cik Mimi yang suka duduk tengah terus tak suka dok tengah dalam kereta ni sebab absorber dia tak selembut Golf. Huh! Macam-macam!

Tapi, perjalanan harus diteruskan juga. Kami terus ke North Berwick untuk menikmati pantai. Huhuhu... tak serik-serik dok bawah matahari terik. Kira lepak aje kat pantai ni. Setakat piknik tuna sandwich (huh! lagi!! lepas ni sapa sebut jer tuna sanwich memang nak kena luku ngan aku hahahahaha). Kemudian perjalanan diteruskan ke Tantallon Castle. Cantik sungguh pemandangan dari kastil ni. Lautnya biru. Dari situ kami terus ke bahagian England pula untuk ke Berwick-Upon-Tweed. Kawasan ni termasuk dalam jajahan England tapi mereka nak di bawah Scotland... uh! Pening. Lepas berjalan-jalan di situ, perjalanan di teruskan ke Kirk Yelthom. Hah! Cik Garmin pening sebab tak wujud dalam pengkalan data beliau. Pekannya kecik aje lebih kurang 1km radius aje. Adoi! Tapi kat sinilah kami menjumpai penginapan ketiga yang best Kirk Yelthom Youth Hostel hahaha. Dapat satu bilik untuk kami saja.



Paginya selepas makan sarapan dan driver and nevigator buat protes sebab tak tahan lagi telan tuna sandwich, kami meneruskan perjalanan ke Kelso, Melrose, Gretna Green, Sandyhill dan seterusnya untuk bermalam di Newton Steward. Satu lagi Youth Hostel (Minnigaff).

Sepanjang perjalanan kami memang dihidangkan dengan pemandangan laut yang sangat cantik. Memang indah sungguh alam ciptaan Allah. Perfecto! Selepas berjalan-jalan di Melrose, kami mengambil jalan alternatif ke Gretna Green, ini disebabkan ada tanah runtuh di highway. Jalan alternatif ni jalan bukit. Huh! Sekali lagi kami dihidangkan dengan pemandangan yang sangat sangat sangat indah. Kami disarankan berpiknik di St Marys Loch. Jadi berbekalkan arahan kasar yang diberikan oleh pegawai pelancong di pejabat pelancongan di Melrose, kami pun cubalah cari tempat ni. Yay! Jumpa. Dapatlah berpiknik makan tengahari mengadap tasik. Yep! Tak makan tuna sandwich.

Lepas makan tengahari, kami terus ke Gretna Green. Tak ada apa sangat yang menarik kat sini cuma sejarahnya tempat ini adalah tempat orang dari England kawin lari. Sekarang yang tinggal cuma kedai besi (blacksmith) yang jadi tempat kawin lari ni. Huh! Nak masuk kena bayar la pulak. Pakat-pakat makan aiskrim jer la kat situ. Haish! Itu jer yang mampu hahahaha




Dari Minnigaff, kami teruskan perjalanan melalui jalan pantai. Macam biasalah, berhenti di tempat-tempat menarik yang ada dalam buku Historic Scotland sebab dah ada kad ahli, jadi kira nak masuk percuma sajalah kan. Mulanya hari agak suram dan hujan turun tiba-tiba. dalam perjalanan tu kami nampak satu bandar kecil yang tercatat sebagai bandar yang paling banyak kedai buku. Namanya Wigtown (Scotland's national book town) Tak berhenti pun sebab destinasi seterusnya adalah di Whitorn. Tiba di Whithorn hujan masih tak berhenti. Dan yang tak best, kami cuma boleh dapat masuk ke muzium, tapi benda-benda lain kat Whithorn Priory tu kena bayar. Adeh. Terpaksalah berlindung dari hujan dan tengok kubur-kubur lama jer kat situ hehehe. Lepas hujan berhenti, kami pi minum coklat panas. Yay!

Dari situ kami ke Glenluce Abbey. Yang ni pun Cik Garmin sengaja nak sesatkan kami. Pi bawak kami kat ladang orang. Ish ish ish Cik Garmin ni, tak pasal-pasal kami ni boleh kena marah sebab jadi penceroboh tau. Nasib baik tak dak orang kat ladang. Macam biasalah tak ada apa sebanarnya kat Glenluce Abbey ni, cuma penjaganya yang sangat baik dan ramah tamah. Oh! Juga lembu-lembu yang peramah dan seksih! Tu gambar cik Sanna cuba nak bermanja-manja dengan lembu tapi penakut.

Perjalanan diteruskan lagi mengikuti jalan pantai. Dah tak ingat dah nama tempat dan malas nak pi cek kat peta. Tapi kami ada beli fish and chip yang mahal dan tak sedap. Dari situ kami terus menyusur pantai sampailah ke Troon. Dari situ kami berkejar ke Dundonald Castle semata-mata nak kumpul cop dalam buku Historic Scotland. Tu yang sesat barat sampai masuk ILS tu. Tiba aje kastil memang dah tutup, tapi pakcik yang baik hati sudah cop kat buku dan benarkan kami naik ke atas untuk ke kastil hehehe.



Sampai kat rumah, hari dah hampir Maghrib. Seronok campur sedih. Seronok sebab dapat berjalan-jalan menjelajah Scotland dan pergi ke tempat-tempat yang menarik, penuh kenangan. Ada yang menyeramkan dan ada yang kelakar. Ada juga yang buat aku terharu terutama bab-bab gotong royong memasak dan solat tak kira tempat. Rasa kerdil tiap kali melihat keindahan alam ciptaan Allah. Dalam setiap kejadian seperti bencana alam yang berlaku beribu-ribu tahun yang lalu, ada hikmahnya. Satu bentukan muka bumi yang unik dan indah dan bercerita tentang agungnya Pencipta dan aku diberi peluang untuk menikmati keindahan ini. Syukur juga sepanjang perjalanan, kami tidak ada selisih faham. Kawan-kawan geng The Pipits memang semuanya punya sense of humour dan toleransi yang tinggi.

OK kita akan jadi geng jalan-jalan yang tetap, InsyaAllah. Lepas ni ke mana kita? Bahagian Selatan Tanah Ratu pula?

p/s - The Pipits nama diambil sempena spesis burung yang terdapat di Scotland Highlands.


THE END

Thursday, August 07, 2008

Warna- warni

1. Bumi Scotland, langitnya selalu kelabu. Kadang-kadang membiru. Cerah. Cantik.

2. Sebulan lepas, kami berlima merentas bumi Scotland. Panas. Terik. Kulit terbakar. Hitam. Tak cantik dahhhh. Ish ish ish.

3. Elly, aku sudah warna rambut. Kali pertama. Inai, biru indigo. Tak berjaya. Balik pada warna asal. Aisey.

4. Geram. Aku inai kuku di lima jari. Biru indigo. Berjaya! Yay! Ala-ala Gothic.

Semalam Amang nampak. Dia tegur.

"Eh, kenapa dengan kuku awak? Tersepit pintu ke?"

Argh! Amang tak faham konsep Gothic Muslimah aku! Hahahaha... erk! Alahai

Saturday, August 02, 2008

Siri Jelajah Scotland - Episode 2



Hari Sabtu, kami bertolak dari Kampung Armadale menghala ke St Andrews dan Dundee. Tapi menyinggah dulu ke Falkirk untuk Episode bahagian tengah Scotland. Tarikan utama di Falkirk, ialah Falkirk Wheel iaitu lift berputar yang membawa bot ke atas dan ke bawah. Memang satu engineering design yang menarik dan ringkas tapi praktikal. Nak tahu lebih boleh ke sini. Tak naik feri ke atas ni sebab tiketnya sangat mahal. Sudahlah cuba nak kurangkan belanja.

Dari Falkirk kami teruskan perjalanan ke St Andrews, tempat golf tertua di dunia. Sasaran aku cuma nak bergambar kat titi batu tua, tapi kechiwa sebab cuma pemain golf saja yang boleh ambil gambar kat atas titi tu. Orang ramai tidak dibenarkan masuk. Terpaksalah ambil gambar kat luar jer. Ah! Yang penting dah sampai St Andrews hehehe. Sayangnya cuaca tak berapa baik sangat. Selain kat padang golf tu, kami berjalan-jalan sekitar Universiti St Andrews.

Tak lama juga di St Andrews, kami teruskan perjalanan ke Dundee pula. Cadangnya nak berpiknik saja kat Dundee tapi tak jumpa tempat yang sesuai. Nak cari parking kat bandar Dundee pun susah. Berkeputusan untuk mencari padang untuk makan tengahari, tapi padangnya pula tidak berapa friendly. Tak ada meja, cuma padang luas dan cuaca pula hujan. Akhirnya makan dalam kereta saja. Aktiviti di Dundee - mencari ayam halal. Beli ayam terus balik ke Glasgow.




Sepatutnya ada BBQ untuk warga Malaysia di Glasgow tapi tarikhnya terpaksa diubah atas sebab-sebab teknikal, jadi kami teruskan plan B. Pergi ke Carboot di Lanark. Kali ini kami pergi agak lewat sikit sebab agenda hari ni agak relaks. Cuma ke Carboot saja.

Cik Akuatik sudah awal-awal dapatkan lokasi carboot ni. Memandangkan dia seorang saja yang pernah ke sini, jadi kami terpaksa bergantung sepenuhnya pada daya ingatan dia dan juga bimbingan Cik Garmin. Masa ni lah aku rasa macam nak ketuk-ketuk cik Garmin. Cik Akuatik dah letak dah alamat penuh lokasi carboot ni, tapi Cik Garmin sudah membawa kami ke perumahan baru berkilometer-kilometer jauhnya dari destinasi sepatutnya.

Adoi. Dahlah perjalanan berliku, naik turun bukit dan yang paling aku tak suka, aku jadi ketua rombongan dengan kereta berderet-deret kat belakang. Terpaksalah Cik Akuatik menelefon sahabat pengunjung tetap carboot ini untuk dapatkan lokasi sebenar, dan kami terpaksa berpatah balik. Huh! Rupanya tempatnya sebelah ladang strawberi petik sendiri.

Carboot di Lanark ni terkenal sebab booters terdiri dari orang perseorangan dan bukan peniaga runcit, jadi barang-barang tu memang pemilik yang punya dan murah. Cik Akuatik jadi pemborong terbanyak hari tu. Antara barang belian beliau adalah kasut mendaki, baju, hand blender dan juicer dengan harga £2 jer. Aku beli dulang ngan penyepit (£5) sebab nak galakkan cik Mimi buat kek hehehe. Jumpa kasut Doc Mart tapi saiz tak ada untuk anak buah aku, jadi tak belilah. Sorry Afiq ye, kurang satu nombor jer hahaha.

Dan yang paling penting, aku beli handheld vacuum cleaner for car kat carboot ni dengan harga £2 juga. Berguna vakum ini nak membersihkan kereta Golf yang penuh dengan rumput, pasir dan cebisan makanan.

Memang tak sangka betul, sehari selepas ia dibeli, kami terpaksa menggunakan sepenuhnya vakum ini disebabkan satu tragedi. Tragedi yang berlaku pada hari pertama Episod ke 3 - Siri Jelajah Scotland.

Friday, August 01, 2008

Percubaan Ke-Tiga

Via telefon:


"Tak dapat nak hantar baju raya kat kawan nak datang tu. Mahal kalau nak mak pos."

"Tak apa, tak payah pos. Lagipun Hari Raya, ada kelas."

"Pakai baju lama aje, tak boleh ke?"

"Boleh, boleh je. T-shirt dengan jeans biasa je. Lagipun pagi tu mesti kerja." (Oh! Ada projek lain yang tak boleh diberitahu pada bonda!)

"Hmm... nanti kalau balik, mak ganti. Buatkan dua baju raya."

"Waaahhhhh! Terharu! Err... cakap pasal balik, rasanya nak balik kot dalam bulan *toot*"

"Ish! Tak payahlah" (Bebelan hendak dimulakan)

"Tak lama kot, dalam 2 minggu kat Malaysia lepas tu 2 minggu lagi ingat nak buat umrah."

"Hmm.."

"Sebab dah niat dah hari tu, sebelum final year ingat nak settlekan buat umrah dulu. Asyik tertangguh aje. Lagipun rasanya itu aje masa yang sesuai, lambat lagi kang dah masuk final exam."

"Tak boleh pergi dari sana?"

"Dah cuba, tapi tak dapat sebab tak ada mahram. Tak ada pulak kawan-kawan yang berfamili kat sini yang nak pergi."

"Nak pergi dengan siapa dari Malaysia?"

"Ada dua tiga orang yang berminat. Mak nak ikut ke?" (Pancing! Pancing!!)

"Kalau mak pergi pun tak boleh juga, tak ada mahram. Abah kena pergi sekali. Kena tanya dia." (Umpan mengena!)

"Jadi, bolehlah kalau balik sekejap ni?"

"Hmmm..." (Dia tukar topik)

Huhuhu aku anggap ini adalah perubahan positif dan tidak tidak berubah menjadi negatif pula sebab bonda aku ada tendency untuk mengubah fikiran dengan sekelip mata. Bukan tak nak ke tanah suci dari sini, tapi aku dan cik mimi sudah cuba tahun lepas tapi tak dapat sebab tak terjumpa dengan keluarga Malaysian yang hendak mengerjakan umrah dan bila kami cuba tanya agensi, jawapan yang kami dapat "it has to be your brother or your husband, sister. You can't go without mahram." huhuhuhu sedey tau!

Kawan-kawan, mohon doa kalian untuk dipermudahkan urusan aku dan ada rejeki untuk aku tunaikan niat aku ni dan semoga aku menjadi seorang Muslimah yang lebih baik lagi. Serasa semakin kuat pula panggilan kaabah dalam hati ni. Semoga Allah jemput aku jadi tetamuNya.



p/s - pada mereka yang dah tahu bila tarikh tentative untuk aku pulang tu, tak payahlah war-warkan dulu ye. Simpan dulu dalam hati hehehe. Nanti bila dah confirm, akan aku beritahu dan sesiapa yang berjanji hendak belanja aku makan tu, simpanlah duit dari sekarang sebab dalam masa dua minggu di tanah air, agenda utama aku adalah makan, makan dan makan dan aku pun orangnya kuat makan. Bersedialah!